📝 Ringkasan
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menggalakkan alumni terus berbakti kepada alma mater mereka mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing. Beliau menegaskan bahawa sumbangan kepada UTM tidak semestinya dalam bentuk kewangan, tetapi juga melalui perkongsian kepakaran profesional, jaringan industri, pemindahan ilmu, pembangunan pelajar, penerbitan dan kolaborasi lain-lain.
KOTA KINABALU, 6 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan usaha mendekati komuniti alumninya di seluruh negara menerusi UTM Alumni Connect: Bersama Naib Canselor & Alumni UTM di Sabah, yang menghimpunkan kira-kira 60 alumni UTM di The Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu.
Program bersama Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menjadi ruang interaksi secara langsung antara kepimpinan universiti dengan alumni di Sabah, di samping berkongsi perkembangan semasa UTM serta meneroka ruang untuk alumni terus menyumbang kepada universiti dan masyarakat.
Dalam ucapannya, Naib Canselor menegaskan komitmen UTM terhadap kebajikan dan keprihatinan warga universiti, khususnya pelajar yang memerlukan sokongan. Komitmen tersebut antaranya diterjemahkan melalui bantuan kepada pelajar UTM di Penampang, sekali gus mencerminkan kesungguhan universiti dalam menyantuni pelajar dan komuniti alumninya di Sabah.
“UTM sentiasa mengambil berat tentang kebajikan warga kita, termasuk pelajar dari Sabah. Kita mahu mereka tahu bahawa walaupun berada jauh dari kampus, UTM tetap bersama mereka dan bersedia membantu apabila diperlukan,” jelas beliau
Beliau seterusnya menyarankan alumni agar terus berbakti kepada alma mater mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing, dengan menegaskan bahawa sumbangan kepada universiti tidak semestinya dalam bentuk kewangan.
Menurut Prof. Shafry, alumni boleh memainkan peranan melalui perkongsian kepakaran profesional, jaringan industri, pemindahan ilmu, pembangunan pelajar, penerbitan serta pelbagai bentuk kolaborasi yang memberi manfaat kepada universiti.
“Sumbangan kepada UTM bukan hanya dalam bentuk wang ringgit. Alumni mempunyai pengalaman, kepakaran dan jaringan yang sangat bernilai. Ada alumni yang menyumbang melalui penerbitan buku, ada yang membantu pelajar dan ada yang membuka jaringan serta peluang kepada universiti. Semua ini adalah bentuk sumbangan yang kita hargai,” katanya.
Naib Canselor turut mahu lebih banyak kisah kejayaan, perjalanan kerjaya dan pengalaman inspirasi alumni UTM diketengahkan melalui platform media universiti.
“Saya mahu alumni UTM berkongsi cerita mereka. Jangan malu untuk berkongsi perjalanan dan kejayaan masing-masing. Kita mahu kisah-kisah ini diketengahkan supaya dapat menjadi inspirasi kepada pelajar, warga UTM dan juga masyarakat,” tambah beliau lagi.
Prof. Shafry  turut menyarankan alumni Sabah supaya terus terhubung dengan UTM, termasuk melalui LinkedIn, bagi membantu universiti mengenal pasti kepakaran, pencapaian dan potensi kerjasama dalam kalangan alumni.
Hubungan berterusan dengan universiti turut membuka peluang kepada alumni untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui kursus, program pembangunan profesional serta Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) yang ditawarkan UTM, sejajar dengan aspirasi pembelajaran sepanjang hayat.
Penganjuran UTM Alumni Connect Sabah merupakan antara pendekatan UTM dalam membawa universiti lebih dekat kepada komuniti alumninya dengan menyediakan ruang untuk mendengar suara alumni, menghubungkan kepakaran, mengetengahkan kejayaan dan membuka peluang kolaborasi yang memberi manfaat bersama kepada alumni serta universiti.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar; Pengerusi Persatuan Alumni UTM Cawangan Sabah, Datuk Ar. Hj. Shahriman Abdullah; Wakil Presiden Persatuan Alumni UTM, Datuk TPr Hj. Lokman Hj. Omar; serta Pengarah UTMAlumni, Prof. Madya ChM. Dr. Che Rozid Mamat.






