Mahasiswa UTM perkasa kemahiran digital murid SKPT2 menerusi program pemindahan ilmu

SDGSDG4SDG8SDG17

📝 Ringkasan

Mahasiswa UTM Kuala Lumpur telah menganjurkan Program Pemindahan Ilmu (KTP) bertemakan “Perisian dan Multimedia” di Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 2 (SKPT2). Program ini melibatkan 26 mahasiswa UTM yang membimbing 30 murid Tahap 2 SKPT2 dalam aktiviti berkaitan teknologi maklumat, termasuk penggunaan aplikasi Canva untuk menghasilkan poster kreatif dan kuiz dalam talian berkaitan projek STEM. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid terhadap penggunaan teknologi digital secara praktikal dan kreatif, serta membuka minda mereka untuk lebih celik IT dan bersedia mendepani arus teknologi kecerdasan buatan.

KUALA LUMPUR, 8 Sept. – Sekumpulan mahasiswa Diploma Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi kursus Sains dan Komuniti (ULRF 2172) di bawah Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) UTM Kuala Lumpur (UTMKL) menganjurkan Program Pemindahan Ilmu (KTP) bertemakan “Perisian dan Multimedia” di Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 2 (SKPT2), di sini.

Program yang berlangsung di Makmal Komputer SKPT2 itu memberi tumpuan kepada penguasaan kandungan digital dan kemahiran multimedia dalam kalangan murid sekolah rendah.

Seramai 26 mahasiswa UTM Kuala Lumpur terlibat sebagai fasilitator bagi membimbing 30 murid Tahap 2 SKPT2 sepanjang program yang berlangsung selama dua jam setengah.

Pelbagai aktiviti berkaitan teknologi maklumat dilaksanakan secara interaktif, antaranya penggunaan aplikasi reka bentuk Canva untuk menghasilkan poster kreatif serta aktiviti membangunkan kuiz dalam talian berkaitan projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Mahasiswa UTM membimbing murid SKPT2 dalam aktiviti perisian dan multimedia

Pengajar kursus ULRF 2172, Dr. Muhammad Aizi Mat Salim, berkata penggunaan aplikasi seperti Canva memberi peluang kepada murid meneroka teknologi digital secara praktikal dan kreatif.

“Pemilihan aplikasi Canva dalam modul KTP kali ini amat bertepatan kerana platform ini kini telah berevolusi dan termasuk dalam ekosistem Kecerdasan Buatan (AI) Generatif menerusi koleksi Magic Studio. Pendedahan awal kepada alat canggih seperti ini bukan sahaja memudahkan proses kreativiti pelajar, malah membuka minda murid-murid SKPT2 untuk lebih celik IT dan bersedia mendepani arus teknologi kecerdasan buatan,” katanya.

Murid SKPT2 dibimbing menghasilkan kuiz STEM menggunakan aplikasi Canva

Sementara itu, Pengarah Program, Jazlynn Hanim Jamaluddin, berkata penglibatan secara langsung dalam program khidmat komuniti memberi pengalaman baharu kepada mahasiswa, khususnya dalam aspek membimbing murid di persekitaran sekolah.

“Ini merupakan kali pertama kami turun padang memberikan khidmat komuniti secara langsung di sekolah. Ia adalah satu pengalaman yang sangat manis dan berharga buat kami sebagai mahasiswa, terutamanya apabila dapat melihat sendiri riak wajah gembira serta kesungguhan murid-murid SKPT2 mempelajari ilmu baharu,” katanya.

Dr. Muhammad Aizi memberi penerangan mengenai program pemindahan ilmu berkaitan Canva kepada murid SKPT2 dengan bantuan fasilitator UTM

Program tersebut turut mendapat sokongan Guru Penolong Kanan SKPT2, Noraziza Abd Hamid, serta guru-guru STEM yang hadir bagi memantau perjalanan program. Penglibatan pihak sekolah mencerminkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan sekolah dalam melaksanakan aktiviti pemindahan ilmu dan memperluas pendedahan murid terhadap penggunaan teknologi dalam pembelajaran.

Inisiatif yang dilaksanakan menerusi kursus ULRF 2172 itu turut menyokong usaha UTM memperkukuh hubungan dengan komuniti melalui perkongsian ilmu dan kepakaran. Program berkenaan selaras dengan aspirasi UTM melalui Pelan Strategik UTM ASCEND 2030 untuk memperluas peranan universiti dalam memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya melalui penglibatan mahasiswa dalam aktiviti berasaskan komuniti.

Melalui pendekatan pembelajaran secara langsung, program itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada murid terhadap penggunaan perisian dan multimedia, malah memberi ruang kepada mahasiswa mengaplikasikan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pengurusan program dalam situasi sebenar.

Explore More

UTM Open Day