📝 Ringkasan
Pelajar perlu mengetahui cara belajar dengan berkesan untuk mencapai kejayaan akademik. Lima teknik pembelajaran yang praktikal ialah Teknik Feynman, Matriks Eisenhower, Active Recall, Teknik Pomodoro dan Deep Work. Teknik Feynman membantu memahami konsep dengan menerangkan sendiri, Matriks Eisenhower membantu menentukan keutamaan tugasan, Active Recall membantu mengingat maklumat, Pomodoro membantu mengurus fokus dan Deep Work membantu menghasilkan kerja berkualiti.
Dalam dunia pembelajaran yang semakin mencabar, pelajar di sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi bukan sahaja perlu rajin belajar, malah perlu mengetahui cara belajar dengan berkesan. Masa yang panjang di hadapan buku tidak semestinya menghasilkan pemahaman yang mendalam. Ada pelajar yang membaca berulang kali, menanda hampir setiap ayat dan menghabiskan berjam-jam membuat nota, tetapi masih sukar menjawab soalan apabila nota ditutup.
Oleh itu, kemahiran mengurus masa, mengekalkan fokus, memahami konsep dan mengingat maklumat perlu dibangunkan secara sedar. Lima teknik yang praktikal untuk diamalkan ialah Teknik Feynman, Matriks Eisenhower, Active Recall, Teknik Pomodoro dan Deep Work.
Teknik Feynman membantu pelajar memahami sesuatu perkara, bukannya sekadar menghafalnya. Caranya mudah, iaitu pelajar perlu memilih satu konsep yang sedang dipelajari, kemudian cuba menerangkan konsep tersebut menggunakan bahasa sendiri seolah-olah menerangkannya kepada seorang kanak-kanak. Elakkan penggunaan istilah yang terlalu kompleks.
Jika pelajar tersekat ketika menerangkan, bahagian tersebut boleh menunjukkan terdapat jurang dalam pemahaman. Pelajar boleh kembali kepada buku, nota atau bahan pembelajaran untuk mempelajari semula bahagian tersebut sebelum cuba menerangkannya sekali lagi dengan bahasa yang lebih mudah.
Teknik ini amat berguna untuk mata pelajaran yang melibatkan konsep, teori, prinsip dan proses. Pelajar sekolah boleh menggunakannya untuk mata pelajaran seperti Sains dan Sejarah, manakala pelajar kolej dan universiti boleh mengaplikasikannya dalam memahami teori akademik, penyelidikan dan konsep profesional.
Teknik kedua ialah Matriks Eisenhower yang membantu pelajar menentukan keutamaan tugasan. Semua tugasan boleh dibahagikan kepada empat kategori, iaitu penting dan segera, penting tetapi tidak segera, segera tetapi tidak penting, serta tidak penting dan tidak segera.
Tugasan yang penting dan segera perlu dilakukan terlebih dahulu, manakala tugasan yang penting tetapi belum segera perlu dijadualkan. Tugasan yang segera tetapi kurang penting pula boleh diminimumkan atau, jika sesuai, dibantu oleh orang lain. Sementara itu, tugasan yang tidak penting dan tidak segera boleh dielakkan atau diketepikan.
Teknik ini sangat berguna apabila pelajar mempunyai banyak tugasan, peperiksaan, aktiviti kokurikulum, projek berkumpulan dan komitmen lain. Prinsipnya adalah untuk memastikan perkara yang paling bising atau mendesak tidak semestinya menentukan perkara yang paling penting.
Seterusnya ialah Active Recall atau pengingatan aktif. Teknik ini mengubah pembelajaran daripada proses membaca secara pasif kepada proses mengeluarkan semula maklumat daripada ingatan.
Selepas membaca satu bab atau menghadiri kuliah, pelajar boleh menutup buku dan nota, kemudian menulis atau menyebut sebanyak mungkin perkara yang masih diingati. Pelajar boleh bertanya kepada diri sendiri seperti, apakah idea utama, apakah konsep penting, apakah contoh yang diberikan dan bagaimanakah konsep tersebut boleh digunakan?
Selepas itu, buka semula nota dan semak perkara yang tertinggal atau tersilap. Proses ini membantu pelajar mengenal pasti tahap sebenar pemahaman mereka. Kad imbas, soalan kendiri dan latihan tanpa melihat jawapan merupakan antara kaedah mudah untuk melaksanakan Active Recall.
Pomodoro urus tempoh fokus dan rehat. Pelajar boleh menetapkan pemasa selama 25 minit dan memberikan tumpuan kepada satu tugasan sahaja. Telefon boleh diletakkan jauh daripada capaian dan gangguan yang tidak diperlukan dielakkan. Selepas 25 minit, berehat selama kira-kira lima minit. Tempoh rehat boleh digunakan untuk berdiri, berjalan, melakukan regangan atau minum air.
Selepas empat kitaran, pelajar boleh mengambil rehat yang lebih panjang, sekitar 20 hingga 30 minit. Walaupun tempoh 25 minit hanyalah satu cadangan, prinsip yang lebih penting ialah bekerja dalam tempoh fokus yang jelas dan mempunyai waktu rehat yang dirancang.
Teknik kelima ialah Deep Work atau kerja mendalam, iaitu memperuntukkan blok masa khusus untuk melakukan satu tugasan yang memerlukan tumpuan tinggi tanpa gangguan. Pelajar boleh menetapkan satu hingga beberapa jam untuk membaca bab yang sukar, menulis esei, menyiapkan projek, menganalisis data atau mengulang kaji untuk peperiksaan. Dalam tempoh tersebut, notifikasi boleh dimatikan, aplikasi yang tidak berkaitan ditutup dan telefon diletakkan di tempat lain jika perlu.
Masa tersebut boleh dianggap sebagai satu komitmen penting kepada diri sendiri. Deep Work mengajar bahawa perhatian ialah sumber yang berharga. Jika perhatian sentiasa terganggu oleh mesej, media sosial dan pemberitahuan, kualiti pembelajaran boleh terjejas.
Kelima-lima teknik ini sebenarnya boleh digabungkan menjadi satu sistem pembelajaran yang mudah. Sebagai contoh, seorang pelajar universiti yang perlu memahami teori kepimpinan boleh menggunakan Matriks Eisenhower untuk menentukan keutamaan tugasan. Kemudian, pelajar memperuntukkan satu blok Deep Work untuk membaca teori tersebut.
Selepas itu, Teknik Feynman boleh digunakan untuk menerangkan teori dengan bahasa sendiri. Seterusnya, Active Recall digunakan untuk menguji perkara yang masih diingati tanpa melihat nota. Pomodoro pula boleh digunakan untuk mengurus tempoh fokus dan rehat sepanjang sesi pembelajaran.
Namun begitu, pelajar juga perlu memahami bahawa teknik pembelajaran bukanlah formula ajaib. Keberkesanannya bergantung pada konsistensi, tidur yang mencukupi, kesediaan untuk belajar dan kesesuaian teknik dengan tugasan yang dilakukan.
Pelajar tidak semestinya perlu menggunakan semua teknik sekali gus sehingga proses pembelajaran menjadi rumit. Sebaliknya, pilih satu atau dua teknik, amalkan secara konsisten dan perhatikan perubahan yang berlaku. Matlamat utama bukan untuk belajar dalam tempoh yang lebih lama, tetapi untuk belajar dengan lebih fokus, memahami dengan lebih mendalam dan mengingati dengan lebih berkesan.
Akhirnya, kejayaan akademik bukan hanya bergantung pada berapa banyak masa yang dihabiskan untuk belajar, tetapi juga bagaimana masa dan perhatian tersebut digunakan. Teknik Feynman membantu memahami, Matriks Eisenhower membantu menentukan keutamaan, Active Recall membantu mengingat, Pomodoro membantu mengurus fokus, manakala Deep Work membantu menghasilkan kerja yang berkualiti.
Jika diamalkan secara konsisten dan disesuaikan dengan keperluan pembelajaran, kelima-lima teknik ini boleh membantu pelajar sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi menjadi lebih teratur, berdikari dan yakin dalam pembelajaran. Yang penting, pelajar tidak hanya belajar untuk tempoh yang lebih lama, tetapi membina cara belajar yang lebih berfokus, terancang dan berkesan.
Oleh Prof. Madya Dr. Jamilah Ahmad dan Prof. Madya Dr. Hanifah Jambari, Pensyarah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM