Kepimpinan pendidikan perlu seiring kemajuan AI dan pembangunan insan

SDGSDG4SDG8SDG9SDG16

📝 Ringkasan

Pemimpin pendidikan perlu mengimbangi tuntutan prestasi sekolah dengan keperluan menyediakan guru dan pelajar untuk menghadapi masa depan yang dipengaruhi teknologi digital. Mereka perlu menentukan teknologi yang sesuai, membina kapasiti warga sekolah dan memastikan perubahan dilaksanakan secara terancang. Kepimpinan yang berpusatkan manusia perlu menjadi asas kepada setiap keputusan berkaitan transformasi digital. Pemimpin perlu memastikan inovasi teknologi melengkapi, bukannya menggantikan, hubungan kemanusiaan yang menjadi teras pendidikan.

Kecerdasan buatan (AI) sedang mengubah landskap pendidikan dengan pantas, membawa peluang besar serta cabaran baharu kepada sekolah di seluruh dunia. Daripada platform pembelajaran diperibadikan (personalised learning) dan sistem tutor pintar (intelligent tutoring systems) hingga automasi tugas pentadbiran serta pembuatan keputusan berasaskan data, AI semakin mempengaruhi cara pendidikan disampaikan, diurus dan dinilai.

Perkembangan ini meletakkan pemimpin pendidikan pada persimpangan penting kerana mereka perlu mengimbangi tuntutan prestasi sekolah pada masa kini dengan keperluan menyediakan guru dan pelajar untuk menghadapi masa depan yang semakin dipengaruhi teknologi digital. Dalam keadaan ini, kepimpinan pendidikan bukan lagi sekadar berkaitan pengurusan sekolah dan peningkatan pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi keupayaan membimbing warga sekolah melalui perubahan sambil memastikan teknologi terus menyokong pembangunan insan.

Sekolah kini perlu beroperasi dalam dua horizon masa secara serentak. Pada masa ini, sekolah perlu memastikan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti, menyokong pencapaian pelajar, mengekalkan kecekapan operasi serta memenuhi tuntutan akauntabiliti. Pada masa yang sama, sekolah perlu mempersiapkan pelajar untuk menghadapi dunia pekerjaan pada masa hadapan yang dijangka semakin dipengaruhi AI, automasi dan teknologi digital.

Cabaran sedemikian memerlukan pemimpin pendidikan yang mempunyai pemikiran strategik, kebolehsuaian dan visi yang jelas tentang masa depan pendidikan. Mereka perlu menentukan teknologi yang sesuai, membina kapasiti warga sekolah dan memastikan perubahan dilaksanakan secara terancang tanpa menjejaskan keperluan pendidikan semasa.

Namun begitu, walaupun integrasi AI sering dibincangkan dari sudut inovasi teknologi, kejayaan transformasi pendidikan akhirnya bergantung kepada manusia. Guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti sekolah mengalami perubahan pada kadar dan dengan cara yang berbeza. Sebahagian guru melihat AI sebagai alat yang berpotensi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan mengurangkan beban pentadbiran, manakala sebahagian yang lain mungkin mempunyai kebimbangan terhadap implikasinya terhadap peranan profesional mereka.

Dalam kalangan pelajar pula, kecekapan menggunakan teknologi digital tidak semestinya bermakna mereka mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk menilai penggunaannya secara kritis dan bertanggungjawab. Mereka masih memerlukan bimbingan untuk membangunkan pemikiran kritis, kreativiti dan kesedaran etika. Keadaan ini memperlihatkan bahawa transformasi pendidikan ialah proses yang melibatkan dimensi kemanusiaan. Teknologi sahaja tidak menjamin perubahan yang bermakna tanpa kepimpinan yang mampu membina kepercayaan, keyakinan dan hala tuju bersama.

Sehubungan itu, dalam era perubahan yang pesat, kepimpinan yang berpusatkan manusia perlu menjadi asas kepada setiap keputusan berkaitan transformasi digital. Pendekatan ini menekankan empati, keterangkuman, integriti serta kesejahteraan guru dan pelajar. Pemimpin perlu memastikan inovasi teknologi melengkapi, bukannya menggantikan, hubungan kemanusiaan yang menjadi teras pendidikan.

AI boleh membantu dalam perancangan pengajaran, pentaksiran dan urusan pentadbiran, namun teknologi tidak dapat menggantikan kecerdasan emosi, bimbingan, inspirasi dan hubungan peribadi yang diberikan oleh guru. Oleh itu, pemimpin sekolah perlu menyampaikan mesej yang jelas bahawa AI bertujuan menyokong guru, meningkatkan keupayaan profesional serta memberi lebih banyak ruang kepada mereka untuk memberikan tumpuan kepada keperluan pelajar.

Pada masa yang sama, pemimpin pendidikan perlu membudayakan pembelajaran berterusan dan inovasi dalam organisasi. Kepesatan perkembangan teknologi menjadikan sukar bagi seseorang individu untuk menguasai setiap alat atau perkembangan baharu. Pemimpin yang berkesan tidak semestinya perlu dilihat sebagai individu yang mempunyai semua jawapan, sebaliknya perlu menunjukkan sikap ingin tahu dan kesediaan untuk belajar bersama-sama warga sekolah.

Langkah tersebut boleh dilaksanakan dengan menggalakkan penerokaan dan percubaan yang terkawal, menyokong pembangunan profesional serta menyediakan ruang untuk pembelajaran secara kolaboratif. Pembangunan kompetensi digital dan literasi AI dalam kalangan guru juga penting bagi meningkatkan keyakinan dan kesediaan mereka menghadapi perubahan. Pendekatan ini selari dengan kepimpinan transformasional yang menekankan inspirasi, pemerkasaan dan pembentukan visi bersama untuk penambahbaikan sekolah.

Selain keupayaan menyesuaikan diri, daya tahan turut menjadi ciri penting kepimpinan dalam era AI. Sekolah beroperasi dalam persekitaran yang dicirikan oleh ketidakpastian, kerumitan dan perubahan berterusan. Pemimpin yang berdaya tahan perlu mengekalkan fokus terhadap misi pendidikan sambil menyesuaikan diri dengan realiti baharu.

Dalam keadaan ini, mereka perlu mengenal pasti amalan yang wajar dikekalkan serta aspek yang memerlukan inovasi. Pada masa yang sama, pemimpin perlu membantu komuniti sekolah menghadapi ketidakpastian tanpa kehilangan keyakinan dan momentum perubahan.

Usaha tersebut juga perlu disertai dengan persediaan terhadap keperluan pelajar dalam dunia yang semakin dipengaruhi automasi. Pemikiran kritis, kreativiti, kolaborasi, komunikasi, kebolehsuaian dan pembuatan keputusan secara beretika semakin penting kerana kemahiran tersebut dapat melengkapi keupayaan AI. Justeru, pendidikan tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada keupayaan menggunakan teknologi, tetapi turut membangunkan keupayaan manusia yang penting untuk menghadapi perubahan.

Dalam pada itu, aspek etika tidak boleh dipisahkan daripada kepimpinan berkaitan AI. Penggunaan teknologi berasaskan AI menimbulkan persoalan berkaitan privasi data, bias algoritma, kesaksamaan digital dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab. Pemimpin pendidikan perlu memastikan keputusan berkaitan AI selaras dengan prinsip etika serta menyediakan peluang yang adil kepada semua pelajar.

Pemilihan, pelaksanaan dan pemantauan teknologi perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil kira keselamatan, kebajikan dan hak pelajar. Dasar sekolah yang jelas juga penting supaya inovasi dapat berkembang dalam batas yang bertanggungjawab. Kepimpinan beretika menuntut keseimbangan antara kecekapan dan keadilan agar kemajuan teknologi benar-benar menyokong hasil pendidikan yang lebih baik.

Dalam konteks pendidikan Malaysia, agenda pendigitalan pula perlu bergerak seiring dengan pembangunan profesional guru, pengukuhan infrastruktur dan akses digital yang saksama. Pemimpin sekolah perlu mengambil kira perbezaan kemampuan, latar belakang dan keperluan murid supaya penggunaan AI tidak berpotensi melebarkan jurang sedia ada.

Pendekatan yang inklusif, berperingkat dan berasaskan keperluan setempat dapat membantu sekolah memanfaatkan AI secara lebih berkesan tanpa mengabaikan nilai pendidikan serta kesejahteraan warga sekolah. Keputusan berkaitan penggunaan teknologi juga perlu mengambil kira kesediaan sekolah dan kapasiti warga pendidik supaya pelaksanaannya dapat dilakukan secara bertanggungjawab dan berterusan.

Akhirnya, masa depan pendidikan tidak ditentukan oleh teknologi semata-mata, tetapi turut bergantung pada kualiti kepimpinan yang mengemudi penggunaannya. Sekolah yang berjaya bukan semestinya sekolah yang paling pantas mengadaptasi AI, sebaliknya sekolah yang mampu mewujudkan persekitaran yang memperkasakan guru dan pelajar untuk menggunakan teknologi secara bijaksana, beretika dan bermakna.

Kepimpinan dalam era AI memerlukan komitmen terhadap inovasi dan kemanusiaan secara serentak. Pemimpin yang mampu membina kepercayaan, menggalakkan pembelajaran, memupuk daya tahan dan mempertahankan prinsip etika akan lebih bersedia membimbing institusi pendidikan menghadapi masa depan. Sesungguhnya, masa depan pendidikan bukan hanya bergantung pada keupayaan mengadaptasi teknologi, tetapi pada keupayaan menghubungkan kemajuan digital dengan pembangunan insan.

 

Penulis bersama Prof. Madya Dr. Hanifah Jambari dan Dr. Ariff Hidayat Osman, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM

Explore More

UTM Open Day