Forum Intelektual Diraja UTM 2026 tekankan adab dan akal dalam dunia digital

SDGSDG4SDG8SDG9SDG16

📝 Ringkasan

Forum Intelektual Diraja UTM 2026 telah diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan tema “Adab dan Akal dalam Dunia Digital: Membina Masyarakat Berhikmah”. Forum ini telah menarik kira-kira 1,500 peserta dan telah membincangkan isu-isu seperti berita palsu, pengaruh algoritma, buli siber, integriti dalam penggunaan AI, kesejahteraan mental dan pembentukan jati diri generasi muda. Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim telah menekankan bahawa kemajuan teknologi perlu dipandu oleh akal dan adab, dan penggunaan AI perlu mengambil kira manfaat dan mudaratnya.

JOHOR BAHRU, 9 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkasa wacana ilmu yang berteraskan adab, akal dan nilai kemanusiaan menerusi penganjuran Forum Intelektual Diraja UTM 2026 bertemakan “Adab dan Akal dalam Dunia Digital: Membina Masyarakat Berhikmah” di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru, hari ini.

Penganjuran forum ini menerima keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Canselor UTM. Turut berkenan berangkat dalam majlis ini ialah Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pro-Canselor UTM.

Memasuki penganjuran kali kelima, forum anjuran Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM dengan kerjasama Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan Perbadanan Islam Johor itu menghimpunkan kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan universiti, ahli akademik, agensi kerajaan, pemain industri serta masyarakat umum.

Sebahagian peserta yang menghadiri Forum Intelektual Diraja UTM 2026 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru

Penganjuran kali ini memberi tumpuan kepada keperluan mengimbangi kemajuan kecerdasan buatan (AI), media sosial dan inovasi berasaskan data dengan adab, pemikiran kritis serta tanggungjawab. Antara isu yang dibincangkan termasuk berita palsu dan deepfake, pengaruh algoritma, buli siber, integriti dalam penggunaan AI, kesejahteraan mental serta pembentukan jati diri generasi muda.

Dalam sembah ucapannya, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menzahirkan penghargaan atas limpah perkenan Tuanku untuk menganjurkan forum yang temanya bertepatan dengan perkembangan kecerdasan buatan yang semakin mempengaruhi cara manusia belajar, bekerja dan berinteraksi.

Beliau menegaskan bahawa kemajuan teknologi perlu sentiasa dipandu oleh akal dan adab, dengan teknologi sewajarnya dimanfaatkan untuk memperkasa pemikiran manusia, bukan menggantikan daya fikir, menghakis integriti akademik atau mengetepikan pertimbangan moral.

“Akal membolehkan manusia menilai dan membuat pertimbangan, manakala adab memandu cara ilmu dan teknologi digunakan. Tanpa akal, masyarakat mudah ketinggalan; tanpa adab, kemajuan kehilangan tujuan dan boleh menghakis maruah insan,” jelas beliau.

Menurut beliau, penggunaan kecerdasan buatan juga perlu mengambil kira manfaat dan mudaratnya, terutama apabila masyarakat berdepan risiko penyebaran maklumat palsu dan peniruan identiti yang menuntut setiap individu menyemak sumber serta berkongsi maklumat secara bertanggungjawab.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyampaikan sembah ucapan pada Forum Intelektual Diraja UTM 2026

Forum berkenaan turut menampilkan tiga ahli panel, iaitu Prof. Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy dari Universiti Malaya, Dr. Fakrul Azren Azhar, pakar psikiatri dan kesihatan mental, serta Ustaz Mohd Hambali Abd Rahman, pelajar Sarjana Pengajian Islam Akademi Tamadun Islam UTM. Sesi berkenaan dimoderasikan oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, Prof. Dr. Arieff Salleh Rosman.

Dalam sesi perbincangan, Prof. Dr. Sharifah Hayaati menekankan kepentingan proses tabayyun, iaitu pengesahan maklumat sebelum dikongsi, selari dengan formula 3T, iaitu “Tunggu, Tenang dan Tanya”, yang menurut beliau turut melambangkan istilah “AI” sebagai Amanah dan Ihsan selain makna sebenar, kecerdasan buatan.

Sementara itu, Dr. Fakrul Azren berkongsi bahawa penggunaan media sosial secara berlebihan berpotensi menjejaskan kesejahteraan mental golongan muda, manakala Ustaz Mohd Hambali menyeru generasi muda supaya beralih daripada sekadar celik digital kepada kematangan digital, dengan pemikiran kritis kekal sebagai asas penting dalam penggunaan AI.

Perbincangan turut menyentuh bagaimana perkembangan teknologi menguji nilai, kesejahteraan jiwa dan keupayaan manusia membuat pertimbangan, selain mengemukakan cadangan tindakan pada pelbagai peringkat. Perkara itu sekali gus menekankan bahawa masyarakat bukan sahaja perlu celik digital, malah perlu berupaya menilai, memilih dan menggunakan teknologi secara bijaksana serta bertanggungjawab.

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor berkenan bergambar kenangan bersama Naib Canselor UTM dan barisan panel Forum Intelektual Diraja UTM 2026

Selain sesi forum, program berkenaan turut membawakan Showcase AI Transliterasi Manuskrip, iaitu projek UTM yang memperagakan penggunaan AI untuk mentransliterasi manuskrip Melayu Johor daripada tulisan Jawi kepada Rumi.

Berteraskan pendekatan Digital Humanities, projek berkenaan menggabungkan teknologi dan bidang kemanusiaan bagi memperluas akses kepada khazanah ilmu, di samping memberi perhatian terhadap kesahihan sumber, konteks budaya dan hak berkaitan.

Dr. Najwa Hanani memberikan penerangan di reruai pameran sempena keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor

Turut dipamerkan adalah dapatan kajian berkaitan penggunaan gajet yang menunjukkan manfaatnya dalam membantu pelaksanaan tugasan dan pemerolehan ilmu, namun pada masa sama dikaitkan dengan keletihan, penurunan motivasi, kekurangan aktiviti fizikal serta gangguan terhadap ibadah.

Dapatan kajian berkenaan turut diterbitkan dalam dua buku, iaitu Gajet dan Masa Depan Remaja Malaysia dan Jiwa Digital Muslim: Panduan Etika Media Sosial. Setiap peserta menerima satu naskhah Jiwa Digital Muslim yang diterbitkan hasil dana wakaf ilmu Waqaf An-Nur Corporation Berhad sebagai usaha memperluas pendidikan etika digital berteraskan nilai Islam.

Secara keseluruhannya, Forum Intelektual Diraja UTM 2026 memperlihatkan usaha memperkukuh jaringan antara universiti, kerajaan, sekolah, industri dan komuniti dalam memperluas literasi AI, meningkatkan kesejahteraan digital serta memberi perhatian terhadap perlindungan generasi muda.

Penganjuran forum itu turut menegaskan kepentingan memastikan perkembangan teknologi berjalan seiring dengan adab, akal dan hikmah supaya kemajuan digital dapat dimanfaatkan secara bertanggungjawab demi kepentingan masyarakat dan negara.

Explore More

UTM Open Day