Enam alumni UTM melangkah ke tahap Profesor

SDGSDG4SDG8SDG9

📝 Ringkasan

Enam alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang kini berkhidmat sebagai ahli akademik dan pentadbir akademik universiti diraikan atas kenaikan pangkat sebagai Profesor Gred Khas B (VK6) dan Profesor Gred Khas C (VK7). Merentasi kepakaran daripada kejuruteraan proses, bioteknologi dan teknologi membran hingga geomatik serta sains bahan, keenam-enam profesor ini berkongsi satu perjalanan istimewa — bermula sebagai mahasiswa UTM dan kini kembali menyumbang sebagai penyelidik, profesor serta pemimpin akademik di alma mater sendiri.

JOHOR BAHRU, 30 Sep – Enam alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang kini berkhidmat sebagai ahli akademik dan pentadbir akademik universiti diraikan dalam Sesi Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat Profesor Gred Khas B (VK6) dan Profesor Gred Khas C (VK7) di  Pejabat Naib Canselor, UTM Johor Bahru, hari ini.

Sesi penyerahan surat kenaikan pangkat itu disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dengan turut dihadiri Pendaftar UTM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah.

Kenaikan pangkat yang berkuat kuasa pada 18 Ogos 2026 itu melibatkan Prof. Ir. Ts. Dr. Sharifah Rafidah Wan Alwi, Prof. Dr. Zainul Akmar Zakaria, Prof. Dr. Mukhlis A. Rahman, Prof. Ir. Dr. Mazura Jusoh, Prof. Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa dan Prof. Ts. ChM Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek.

Apa yang menarik, keenam-enam profesor berkenaan berkongsi satu persamaan iaitu mereka pernah menjadi mahasiswa UTM sebelum kembali membina kerjaya sebagai ahli akademik, penyelidik dan pemimpin akademik di alma mater sendiri.

 

Prof. Ir. Ts. Dr. Sharifah Rafidah Wan Alwi, pakar kejuruteraan sistem proses dan pemuliharaan sumber, menerima surat kenaikan pangkat sebagai Profesor Gred Khas B (VK6).

Prof. Ir. Ts. Dr. Sharifah Rafidah Wan Alwi merupakan satu-satunya daripada enam alumni berkenaan yang dinaikkan pangkat sebagai Profesor Gred Khas B (VK6). Beliau memperoleh PhD dalam Kejuruteraan Kimia dari UTM pada 2007 dan kini merupakan Profesor di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT). Kepakaran beliau merangkumi kejuruteraan sistem proses, pemuliharaan tenaga dan sumber, simbiosis industri serta ekonomi kitaran. Seorang Fellow Akademi Sains Malaysia (FASc), beliau turut mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi pelbagai anugerah dalam bidang sains dan kejuruteraan serta disenaraikan dalam kelompok 2% saintis terbaik dunia. Beliau juga pernah menerajui Process Systems Engineering Centre (PROSPECT) dari 2011 hingga 2021 dan kini menyumbang sebagai Exco Majlis Profesor UTM.

 

Prof. Dr. Zainul Akmar Zakaria, pakar bioteknologi alam sekitar, rawatan sisa dan pemulihan sumber, menerima surat kenaikan pangkat sebagai Profesor Gred Khas C (VK7).

Sementara itu, Prof. Dr. Zainul Akmar Zakaria merupakan alumni UTM yang memperoleh pendidikan di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah di universiti ini. Berkhidmat di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), kepakaran beliau tertumpu kepada bioteknologi alam sekitar, rawatan sisa dan pemulihan sumber, termasuk penyelidikan berkaitan valorisasi biojisim, bioremediasi logam berat dan pengurusan air sisa. Selain menerajui kumpulan penyelidikan Environmental Biotechnology (EnvBIO), beliau turut memainkan peranan dalam penglibatan global dan hubungan luar FKT, sekali gus menggabungkan kepakaran penyelidikan dengan kepimpinan akademik serta jaringan antarabangsa.

Prof. Dr. Mukhlis A. Rahman, pakar teknologi membran seramik dan bahan mikropori, menerima surat kenaikan pangkat sebagai Profesor Gred Khas C (VK7).

Prof. Dr. Mukhlis A. Rahman merupakan alumni UTM yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Sarjana Kejuruteraan Gas dari universiti ini sebelum melanjutkan pengajian PhD dalam Kejuruteraan Kimia di Imperial College London. Kini berkhidmat di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), beliau membina kepakaran dalam teknologi membran seramik dan bahan mikropori untuk proses pemisahan, dengan aplikasi merangkumi rawatan air sisa, pemisahan gas, teknologi hijau dan tenaga boleh baharu. Beliau turut memegang peranan kepimpinan sebagai Timbalan Pengarah, Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC), salah sebuah pusat penyelidikan UTM yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi membran termaju.

 

Prof. Ir. Dr. Mazura Jusoh, pakar teknologi pemisahan dan progressive freeze concentration, menerima surat kenaikan pangkat sebagai Profesor Gred Khas C (VK7).

Prof. Ir. Dr. Mazura Jusoh merupakan alumni UTM yang memperoleh PhD dalam Kejuruteraan Kimia dari universiti ini pada 2010, selepas menamatkan pengajian ijazah pertama di University of Bradford, United Kingdom. Berkhidmat di Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), kepakaran penyelidikan beliau tertumpu kepada teknologi pemisahan, khususnya progressive freeze concentration, yang mempunyai aplikasi dalam pemprosesan dan pengekalan kualiti bahan. Dalam kepimpinan penyelidikan, beliau kini menerajui Centre for Lipid Engineering and Applied Research (CLEAR) sebagai Pengarah serta mengetuai Advanced Material and Separation Technologies Research Group (AMSET). Beliau turut menyumbang kepada komuniti profesional kejuruteraan sebagai Naib Pengerusi IChemE Malaysia National Board.

 

Prof. Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa, pakar geomatik, geodesi dan teknologi GNSS, menerima surat kenaikan pangkat sebagai Profesor Gred Khas C (VK7).

Prof. Sr. Dr. Tajul Ariffin Musa merupakan alumni UTM yang memperoleh ijazah pertama dan sarjana dari universiti ini sebelum melanjutkan pengajian PhD di University of New South Wales (UNSW), Australia. Berkhidmat di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), kepakaran beliau tertumpu kepada geomatik dan ukur tanah, khususnya dalam bidang geodesi, Global Navigation Satellite System (GNSS), geodinamik dan teknologi penentududukan. Selain aktif dalam penyelidikan menerusi GNSS & Geodynamics Research Group dan Centre of Tropical Geoengineering (GEOTROPIK), beliau turut memegang tanggungjawab kepimpinan di Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) sebagai mantan Pengerusi yang menerajui pengurusan aset universiti, sekali gus memperluas sumbangannya daripada bidang akademik dan penyelidikan kepada pengurusan serta pembangunan institusi.

 

Prof. Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek, pakar bahan berstruktur nano dan sains bahan gunaan, menerima surat kenaikan pangkat sebagai Profesor Gred Khas C (VK7).

 Prof. Ts. ChM. Dr. Nik Ahmad Nizam Nik Malek merupakan alumni UTM yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kimia Industri, sarjana dan PhD dalam bidang Kimia dari universiti ini. Berkhidmat di Fakulti Sains, kepakaran beliau tertumpu kepada bahan berstruktur nano dan sains bahan gunaan, termasuk zeolit, tanah liat, sistem pelepasan terkawal serta bionanoteknologi. Beliau kini memegang amanah sebagai Timbalan Dekan di Fakulti Sains dan berpengalaman sebagai  mantan Pengarah Centre for Sustainable Nanomaterials (CSNano). Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Profesor Adjung di Universitas Airlangga, Indonesia. Sumbangan penyelidikan beliau turut mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Top Research Scientist Malaysia (TRSM) 2023 oleh Akademi Sains Malaysia, selain menerajui penyelidikan strategik Malaysia-China dalam pembangunan teknologi pencetakan 4D bahan hidup.

Keenam-enam alumni ini mewakili kepelbagaian bidang kepakaran UTM, daripada kejuruteraan proses, kelestarian dan bioteknologi kepada teknologi membran, geomatik, geodesi dan sains bahan. Pada masa yang sama, pengalaman mereka dalam pelbagai peranan pentadbiran akademik memperlihatkan sumbangan yang melangkaui pengajaran dan penyelidikan.

Kenaikan pangkat ini bukan sahaja merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian akademik dan profesional mereka, malah mencerminkan kesinambungan hubungan antara alumni dengan universiti. Ilmu dan pengalaman yang bermula di UTM kini kembali menyumbang kepada pembangunan institusi, penyelidikan dan generasi mahasiswa seterusnya.

Kredit Foto: Pusat Komunikasi Korporat

Explore More

UTM Open Day