📝 Ringkasan
Program ECOWASTE 2.0 telah dianjurkan di Balai Raya Kampung Kuala Pangsun, Hulu Langat, sebagai kesinambungan program ECOWASTE 1.0. Program ini bertujuan untuk memperkukuh kemahiran komuniti dalam pengurusan sisa domestik dan amalan kelestarian. 50 peserta, termasuk 25 orang komuniti setempat dan 25 pelajar UNITEN, telah mengikuti program ini dan didedahkan kepada kemahiran menghasilkan baja kompos, penerapan semangat kesukarelawanan, dan usaha memperkukuh sekuriti makanan komuniti melalui amalan sifar sisa.
HULU LANGAT, 12 Sept. – Program ECOWASTE 2.0: Empowering Community Resilience and Long-Term Sustainability diteruskan melalui penganjuran fasa kedua di Balai Raya Kampung Kuala Pangsun, Hulu Langat, hasil kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Pangsun.
Program pemindahan ilmu itu merupakan kesinambungan dan replikasi daripada penganjuran ECOWASTE 1.0 yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kemahiran komuniti dalam pengurusan sisa domestik serta amalan kelestarian.
Diketuai Pengarah Program, Mohd Norazrin Zahrin, program selama lapan jam itu disokong sembilan staf UTM dan tiga staf UNITEN dengan memberi tumpuan kepada kemahiran menghasilkan baja kompos daripada sisa domestik, penerapan semangat kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda serta usaha memperkukuh sekuriti makanan komuniti melalui amalan sifar sisa (zero-waste).


Program dimulakan dengan sesi ucapan alu-aluan oleh barisan kepimpinan program yang terdiri daripada Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS), Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip; Pengurus Strategi dan Hubungan Luar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM Kuala Lumpur, Ts. Mohd Hazri Ishak; Ketua Projek UNITEN, Ts. Dr. Herda Yati Katman; serta Pengerusi JPKK Kampung Kuala Pangsun, Mohamad Hanafiah Hussin.
Edisi kali ini melibatkan 50 peserta yang terdiri daripada 25 orang komuniti setempat dan 25 pelajar UNITEN, sekali gus mewujudkan ruang pemindahan ilmu dan perkongsian pengalaman antara generasi.
Peserta kemudiannya mengikuti sesi teori menerusi slot “Mudahnya Tanam Sayur Organik” yang disampaikan oleh Ts. Dr. Herda Yati dan “Sisa Makanan Bukan Sampah” oleh Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul. Sesi teori diteruskan dengan aktiviti amali yang dibimbing oleh Ts. Mohd Hazri, termasuk pembuatan tong kompos mini DIY berkapasiti empat liter menggunakan sisa bahan hijau domestik yang dibawa peserta dari rumah.
Antara bahan yang digunakan ialah kulit buah-buahan seperti pisang, cempedak dan duku, sisa sayuran termasuk kulit bawang dan sawi, kulit telur serta serbuk kopi dan teh.
Peserta turut didedahkan kepada kaedah menghasilkan kotak semaian DIY 12 lubang, teknik penyemaian benih dan kaedah memindahkan anak pokok ke dalam pasu dengan betul.


Bagi mengukuhkan pemahaman peserta, program turut diserikan dengan kuiz spontan berkaitan pengomposan yang menyaksikan 10 peserta menerima cenderamata. Sebagai galakan untuk meneruskan amalan tersebut di rumah, setiap peserta turut menerima set yang mengandungi baja kompos, kit kompos mini DIY, kit semaian DIY 12 lubang, dua jenis benih sayur, cecair EM4, serbuk bokashi, set anak pokok sayur serta sijil penyertaan.

Pengarah Pentadbiran, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM Kuala Lumpur, Prof. Ir. Dr. Muhamad Ali Muhammad Yuzir, turut menzahirkan sokongan terhadap penganjuran ECOWASTE 2.0, khususnya usaha meneruskan dan memperluas pendekatan pemindahan ilmu kepada komuniti.
Beliau menyifatkan usaha replikasi program berkenaan sebagai salah satu pendekatan untuk menterjemahkan kepakaran dan hasil penyelidikan universiti kepada manfaat yang dapat diterokai bersama komuniti.
Penganjuran ECOWASTE 2.0 turut menyokong usaha memperkukuh amalan kelestarian dalam komuniti melalui pengurusan sisa domestik, pengomposan dan penanaman sayur secara berskala kecil.
Inisiatif itu juga menyumbang kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, SDG 13: Tindakan Iklim, SDG 15: Ekosistem Daratan serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.