📝 Ringkasan
73 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) Ke-44 Tahun 2026 di UniMAP, Arau, Perlis. Dua pegawai kadet UTM, Muhammad Haikal Japri dan Muhammad Akmal Azhar, telah menerima pengiktirafan sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UTM Darat dan Laut.
ARAU, 12 Sept. – Seramai 73 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Pasukan Simpanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) Ke-44 Tahun 2026 di Padang Kawad Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau, Perlis, baru-baru ini.
Daripada jumlah berkenaan, 44 Pegawai Kadet PALAPES UTM adalah daripada pasukan Darat, manakala 29 lagi daripada pasukan Laut. Mereka ditauliahkan dalam pasukan simpanan ATM yang terdiri daripada Rejimen Askar Wataniah (RAW) bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Istiadat tersebut disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Turut berangkat Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda puteri, Yang Amat Mulia Sharifah Farah Adriana.
Seramai 1,885 Pegawai Kadet PALAPES daripada 20 Universiti Awam turut ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam istiadat berkenaan yang berlangsung di Padang Kawad UniMAP.
Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Malek Razak Sulaiman; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Muhamad Norazlan Aris; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain serta pegawai-pegawai kanan ATM.
Dalam istiadat itu, Pegawai Rendah Kanan Muhammad Haikal Japri menerima pengiktirafan sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UTM Darat, manakala Pegawai Kadet Kanan Muhammad Akmal Azhar menerima pengiktirafan sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UTM Laut.
Pengiktirafan tersebut menjadi antara pencapaian yang dicapai kontinjen PALAPES UTM pada istiadat berkenaan, selain mencerminkan pencapaian pegawai kadet yang telah melalui latihan sebelum ditauliahkan sebagai pegawai muda dalam pasukan simpanan ATM.


Turut hadir dalam istiadat berkenaan ialah Komandan PALAPES UTM, Kolonel (K) Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bersama isteri, serta Timbalan Komandan PALAPES UTM, Lt. Kol. Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli Hj. Ali Khan.
Mengulas pentauliahan tersebut, Timbalan Komandan PALAPES UTM, Lt. Kol. Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam latihan dan pembangunan Pegawai Kadet PALAPES UTM sehingga mereka berjaya ditauliahkan sebagai pegawai sukarela dalam pasukan simpanan ATM.
“Syabas dan tahniah kepada semua Pegawai Muda yang baru ditauliahkan. Terima kasih yang tak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dengan kemenjadian pelajar PALAPES UTM sebagai seorang pegawai sukarela dalam pasukan simpanan ATM. Teruskan perjuangan kalian, lapor diri ke Siri 500 demi khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, seluruh warga PALAPES UTM merakamkan tahniah kepada Muhammad Haikal dan Muhammad Akmal atas pengiktirafan yang diterima, selain kepada kesemua Pegawai Kadet PALAPES UTM yang berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Pasukan Simpanan ATM.
Pentauliahan tersebut diharapkan menjadi permulaan kepada para pegawai muda untuk meneruskan khidmat bakti kepada negara melalui pasukan simpanan, di samping melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, disiplin, amanah dan dedikasi.
Pada masa sama, para pegawai muda PALAPES UTM diharapkan terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kerjaya masing-masing serta mengembangkan potensi kepimpinan bagi menyumbang kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan.
Oleh Lt. Kol. Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli Hj. Ali Khan dan Lt. M. Ahmad Tolut Abdullah