Memaknakan kemerdekaan menerusi kelestarian akademik dan kesejahteraan MADANI

SDGSDG4SDG8SDG9SDG10SDG11SDG12SDG16

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyokong kerangka perundangan baharu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menekankan autonomi institusi pendidikan tinggi. Majlis Profesor UTM percaya bahawa autonomi tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kebebasan mutlak tanpa sempadan, tetapi sebagai keupayaan institusi untuk menentukan hala tuju akademik dan penyelidikan berteraskan kebitaraan dan acuan tersendiri. Kerangka perundangan baharu ini juga menekankan kebebasan akademik dan pemerkasaan mahasiswa dalam membentuk generasi yang mampu berfikir secara kritis dan bertanggungjawab.

Sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun 2026 hadir dengan refleksi yang mendalam buat seluruh rakyat Malaysia. Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, naratif kebangsaan tahun ini tidak lagi sekadar berkisar tentang mengenang lipatan sejarah masa lalu, sebaliknya turut menuntut agar hasil kemakmuran, kestabilan dan kemajuan sebuah negara berdaulat dapat diterjemahkan secara saksama serta inklusif kepada seluruh warganya.

Dalam konteks itu, falsafah kemerdekaan negara mempunyai hubungan yang erat dengan ekosistem pendidikan tinggi, khususnya dalam membentuk masyarakat berilmu, berfikiran kritis dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Menyahut aspirasi berkenaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini mengeluarkan Kenyataan Rasmi yang menzahirkan sokongan terhadap usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan kerangka perundangan baharu. Seiring dengan pendirian rasmi UTM tersebut, Majlis Profesor UTM sebagai wadah pemikiran dan kepakaran akademik universiti turut menyokong agenda transformasi berkenaan sebagai langkah strategik ke arah memperkukuh autonomi, kebebasan akademik dan tata kelola pendidikan tinggi negara.

Bagi Majlis Profesor UTM, inisiatif itu bukan sekadar anjakan dari sudut pentadbiran, tetapi turut mencerminkan usaha memperkukuh “kemerdekaan akademik” dalam konteks semasa, khususnya melalui pemerkasaan mahasiswa dan pematangan tata kelola institusi yang lebih inklusif.

Merdeka Akademik: Membina Autonomi dalam Kerangka Akauntabiliti

Apabila berbicara tentang tema “Kesejahteraan Dinikmati”, kesejahteraan yang dimaksudkan turut merangkumi kesejahteraan minda, intelek dan ekosistem tempat para ilmuwan serta mahasiswa menimba dan mengembangkan ilmu.

Kerangka perundangan baharu yang diusulkan KPT menekankan agenda transformasi dengan memberikan tumpuan kepada pengukuhan autonomi institusi. Bagi Majlis Profesor UTM, autonomi tidak seharusnya ditafsirkan sebagai kebebasan mutlak tanpa sempadan. Sebaliknya, autonomi merupakan keupayaan institusi untuk menentukan dan mencorakkan hala tuju akademik, penyelidikan serta inovasi berteraskan kebitaraan dan acuan tersendiri tanpa dibelenggu birokrasi yang terlalu rigid.

Namun demikian, seperti yang ditegaskan dalam kenyataan rasmi UTM, autonomi universiti perlu diseimbangkan dengan akauntabiliti, tadbir urus berintegriti serta tanggungjawab sosial yang tinggi.

Profesor di universiti bukan sekadar berperanan mengajar di dewan kuliah, malah turut memikul tanggungjawab sebagai pemikir dan penyumbang kepada pembangunan masyarakat dengan memastikan ilmu yang dijana dapat memberi manfaat kepada komuniti.

Dalam hal ini, transformasi perundangan perlu memastikan mekanisme semak dan imbang terus terpelihara supaya kecemerlangan institusi pendidikan tinggi sentiasa berada pada landasan yang sewajarnya demi kesejahteraan rakyat yang menikmati manfaat daripada hasil ilmu dan penyelidikan.

Kebebasan Akademik dan Wadah Pembangunan Mahasiswa

Kemerdekaan sesebuah negara bangsa turut tercermin melalui kematangan pemikiran generasi mudanya. Sehubungan itu, aspek kebebasan akademik dan pemerkasaan mahasiswa dalam kerangka perundangan baharu perlu dilihat sebagai antara komponen penting dalam membentuk generasi yang mampu berfikir secara kritis dan bertanggungjawab.

Majlis Profesor UTM percaya bahawa ruang akademik yang dinamik dan sihat memerlukan persekitaran yang menggalakkan percambahan idea secara konstruktif. Mahasiswa perlu diberikan ruang untuk berkembang sebagai pemikir kritis yang berupaya menilai dan mencabar status quo ilmu secara beretika demi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu pada peringkat tempatan mahupun global.

Pendekatan ini juga penting dalam membentuk graduan pascasiswazah, termasuk graduan PhD, yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi mampu menterjemah ilmu kepada penyelesaian dan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.

Agenda transformasi ini meletakkan mahasiswa sebagai antara pemegang taruh utama. Pemerkasaan mahasiswa merangkumi pembangunan kepimpinan, ketajaman pemikiran kritis, penerapan nilai sivik serta pembentukan adab dan akhlak yang mulia.

Kesejahteraan minda mahasiswa dapat disokong apabila hak mereka untuk belajar, memimpin dan menyumbang diberikan ruang yang sewajarnya dalam ekosistem pendidikan tinggi yang progresif. Inilah antara manifestasi tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, apabila generasi muda dapat menikmati ruang kebebasan berfikir yang dipandu oleh nilai susila, integriti dan adab yang tinggi.

Respons Landskap Pendidikan Tinggi yang Dinamik

Pada masa yang sama, landskap pendidikan tinggi sedang berubah dengan pantas. Kemunculan teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan automasi menuntut institusi pendidikan tinggi bertindak dengan lebih tangkas dan responsif.

Perubahan tersebut menunjukkan keperluan untuk kerangka perundangan pendidikan tinggi sentiasa dinilai dan ditambah baik agar dapat menampung perkembangan semasa serta cabaran baharu yang dihadapi institusi.

Oleh itu, langkah KPT memperkenalkan reformasi perundangan ini dilihat sebagai usaha yang bersesuaian dengan keperluan semasa pendidikan tinggi. Kerangka yang lebih responsif penting bagi membolehkan institusi pendidikan tinggi terus berkembang seiring dengan tuntutan masyarakat, keperluan industri dan perkembangan ilmu pada peringkat global.

UTM sebagai universiti penyelidikan yang berteraskan inovasi dan teknologi menyedari bahawa kerangka undang-undang sedia ada perlu melalui proses penambahbaikan dari semasa ke semasa. Usaha itu penting agar universiti terus selari dengan perubahan landskap pendidikan tinggi serta dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi turut mempunyai daya fikir dan daya tahan intelek untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Hasrat Majlis Profesor UTM: Menjadi Rakan Strategik Pembangunan Negara

Sebagai wadah kepakaran akademik universiti, Majlis Profesor UTM mempunyai hasrat dan iltizam yang jelas dalam mendepani transformasi pendidikan tinggi ini.

Majlis Profesor UTM komited untuk memastikan kepakaran multidisiplin yang dimiliki barisan profesor di UTM dapat dimanfaatkan bagi menyokong hasrat KPT. Dalam konteks ini, Majlis Profesor UTM bersedia memainkan peranan sebagai rakan runding, penyumbang pandangan dasar dan penggerak inovasi bagi menyokong pelaksanaan kerangka perundangan baharu agar mencapai matlamat yang ditetapkan.

Hasrat utama adalah untuk melihat ekosistem pendidikan tinggi negara yang bukan sahaja berdaya saing pada peringkat global, malah kekal inklusif di peringkat domestik. Setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang, wajar mempunyai peluang untuk menikmati pendidikan tinggi berkualiti dalam suasana yang kondusif.

Dalam masa yang sama, inovasi dan teknologi yang dihasilkan di UTM akan terus diarahkan kepada usaha menyokong kesejahteraan rakyat, mengurangkan kemiskinan tegar, meningkatkan kualiti hidup serta memelihara kelestarian alam sekitar.

Menyulam Semangat Merdeka Melalui Reformasi Ilmu

Kemerdekaan yang disambut pada tahun 2026 sewajarnya menyuntik tekad baharu untuk memperkukuh reformasi dalam dunia pendidikan tinggi. Sokongan UTM terhadap kerangka perundangan baharu KPT mencerminkan kesediaan universiti untuk memainkan peranan dalam arus perubahan pendidikan tinggi negara.

Sehubungan itu, Majlis Profesor UTM menyeru seluruh warga akademik, kakitangan profesional dan pelaksana serta mahasiswa agar terus memperkukuh iltizam bersama dan menterjemah semangat reformasi kepada tindakan yang dapat menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi negara.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini juga boleh menjadi ruang untuk memperkukuh usaha membina ekosistem pendidikan yang lebih inklusif, berintegriti dan cemerlang. Semangat kemerdekaan perlu terus disulam dengan kecemerlangan ilmu supaya manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

 

 

Oleh Prof. Sr Gs Dr. Mazlan Hashim, Pengerusi Majlis Profesor, Universiti Teknologi Malaysia

Explore More

UTM Open Day