“Kerana Tuhan untuk Manusia” membentuk roh melalui kepimpinan, adab dan inovasi

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11SDG12SDG13SDG16

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempunyai moto “Kerana Tuhan untuk Manusia” yang membawa roh dan arah perjuangan institusi. Moto ini bersama “Menginovasi Penyelesaian Lestari” mengungkapkan aspirasi UTM untuk menggunakan ilmu, kepakaran dan inovasi bagi menghasilkan penyelesaian yang memberi nilai kepada masyarakat dan dunia. Kepimpinan UTM perlu bermula daripada pemahaman bahawa kepimpinan bukan hanya berkaitan jawatan, kuasa membuat keputusan atau kedudukan dalam organisasi, tetapi amanah.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempunyai moto yang bukan sekadar rangkaian kata, tetapi membawa roh dan arah perjuangan institusi, iaitu “Kerana Tuhan untuk Manusia”. Pada masa yang sama, “Menginovasi Penyelesaian Lestari” atau Innovating Sustainable Solutions mengungkapkan aspirasi UTM untuk menggunakan ilmu, kepakaran dan inovasi bagi menghasilkan penyelesaian yang memberi nilai kepada masyarakat dan dunia.

Apabila kedua-duanya dihayati bersama, terserlah satu falsafah yang besar, iaitu ilmu yang dibangunkan bukan untuk kebanggaan diri semata-mata, tetapi untuk memberi manfaat kepada manusia. Inovasi pula bukan sekadar mencipta sesuatu yang baharu, tetapi mencari penyelesaian yang mampu memperbaik kehidupan.

Dalam konteks ini, kepimpinan UTM perlu bermula daripada pemahaman bahawa kepimpinan bukan hanya berkaitan jawatan, kuasa membuat keputusan atau kedudukan dalam organisasi. Kepimpinan ialah amanah. Seorang pemimpin perlu bertanya bukan sahaja, “Apakah yang boleh saya capai?”, tetapi juga, “Untuk siapa pencapaian ini?” dan “Apakah manfaatnya kepada manusia?” Semangat “Kerana Tuhan untuk Manusia” mengingatkan setiap pemimpin bahawa kuasa, ilmu dan kedudukan hadir bersama tanggungjawab moral. Semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin besar amanah untuk membimbing, melindungi, menyokong dan memberikan manfaat kepada orang lain.

Seiring dengan itu, “Menginovasi Penyelesaian Lestari” mengajak warga UTM melangkaui budaya bekerja sekadar memenuhi tanggungjawab yang ditetapkan. Ia menuntut keberanian untuk bertanya, mencari kaedah yang lebih baik, menyelesaikan masalah secara kreatif serta menggunakan kepakaran bagi menghasilkan impak yang bermakna.

Seorang pensyarah bukan sekadar menyampaikan kuliah, tetapi turut berperanan membentuk manusia. Seorang penyelidik bukan sekadar mengejar penerbitan, tetapi membangunkan ilmu yang berpotensi menyelesaikan masalah sebenar. Pegawai pentadbiran pula bukan sekadar memproses dokumen, tetapi membantu melancarkan urusan warga universiti. Begitu juga juruteknik, pengawal keselamatan, pemandu, pekerja kebersihan dan seluruh warga sokongan yang memainkan peranan penting dalam memastikan operasi universiti berjalan dengan baik.

Hakikatnya, setiap pekerjaan mempunyai nilai apabila dilaksanakan dengan ikhlas, bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh. Seseorang tidak perlu menunggu untuk memegang jawatan besar bagi menunjukkan kepimpinan.

Staf yang melaksanakan tugas dengan teliti sedang menunjukkan kepimpinan. Pensyarah yang mendengar masalah mahasiswa dengan empati juga menunjukkan kepimpinan. Pegawai yang membantu rakan sekerja dengan penuh keikhlasan memperlihatkan nilai kepimpinan. Begitu juga mahasiswa yang menjaga integriti, menghormati orang lain dan menggunakan ilmu untuk kebaikan sedang membina asas kepimpinan dalam diri mereka.

Namun demikian, roh sesebuah universiti bukan hanya terletak pada pencapaian, tetapi juga pada cara pencapaian itu diperoleh. Kecemerlangan tanpa integriti akan kehilangan makna, manakala inovasi tanpa tanggungjawab berpotensi membawa kesan yang tidak diingini. Ilmu tanpa adab pula boleh disalahgunakan.

Oleh itu, budaya UTM perlu menyatukan kecemerlangan akademik, profesionalisme, integriti, adab dan rasa tanggungjawab terhadap manusia. Setiap warga perlu melihat dirinya bukan sekadar sebagai pekerja dalam sebuah organisasi, tetapi sebagai sebahagian daripada komuniti ilmu yang membawa misi lebih besar.

Dalam dunia yang berubah pantas, universiti berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk perkembangan kecerdasan buatan, perubahan teknologi, tekanan ekonomi, persaingan global dan keperluan masyarakat yang semakin kompleks. UTM tidak boleh sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan tersebut.

Sebaliknya, semangat “Menginovasi Penyelesaian Lestari” menuntut warga universiti untuk menjadi pencipta penyelesaian yang relevan dan bertanggungjawab. Penyelesaian yang terbaik ialah penyelesaian yang berteraskan nilai kemanusiaan. Teknologi perlu dimanfaatkan untuk memudahkan kehidupan manusia, penyelidikan perlu menjawab masalah sebenar, pendidikan perlu membina insan dan kepimpinan perlu mengangkat martabat manusia.

Moto “Kerana Tuhan untuk Manusia” turut memberikan dimensi yang lebih mendalam kepada makna perkhidmatan. Ia mengingatkan bahawa setiap ilmu, jawatan dan kemahiran merupakan amanah yang akhirnya perlu diterjemahkan kepada manfaat.

Apabila seorang pensyarah mengajar dengan penuh dedikasi, seorang penyelidik terus mencari jawapan walaupun berhadapan dengan kegagalan, seorang pegawai melayani pelanggan dengan sopan atau seorang pekerja melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, semuanya sedang menyumbang kepada roh universiti.

Justeru, kepimpinan UTM bukan hanya tanggungjawab Naib Canselor, pengurusan tertinggi, dekan atau ketua jabatan. Kepimpinan ialah tanggungjawab bersama. Setiap warga mempunyai ruang untuk mencetuskan perubahan melalui tindakan harian.

Budaya yang besar bermula daripada perkara kecil, seperti melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, menghormati rakan, menjaga amanah, berani memperbaiki kelemahan dan sentiasa bertanya bagaimana pekerjaan yang dilakukan dapat memberikan manfaat kepada orang lain.

Mahasiswa juga perlu melihat diri mereka sebagai pewaris roh tersebut. Mereka hadir ke universiti bukan semata-mata untuk memperoleh ijazah, tetapi untuk membina karakter, keberanian berfikir dan kesediaan untuk berkhidmat. Perbuatan seperti meniru, tidak menghormati peraturan, mengabaikan adab atau menggunakan kebebasan tanpa tanggungjawab bertentangan dengan semangat pendidikan yang sebenar. Graduan UTM sewajarnya meninggalkan kampus dengan keyakinan bahawa ilmu yang diperoleh mempunyai tujuan, iaitu membantu manusia, menyelesaikan masalah dan membawa perubahan yang lebih baik.

Dalam masa yang sama, setiap warga perlu menghargai peranan dan pekerjaan masing-masing. Tiada tugas yang terlalu kecil apabila dilaksanakan dengan amanah kerana kejayaan universiti dibina melalui sumbangan setiap individu, daripada kepimpinan tertinggi hingga warga yang berada di barisan hadapan perkhidmatan. Setiap sumbangan, walaupun berbeza dari segi skop dan tanggungjawab, mempunyai nilai dalam memastikan misi universiti dapat direalisasikan.

Akhirnya, mungkin inilah wajah UTM yang perlu diperjuangkan bersama, iaitu sebuah universiti yang tinggi ilmunya, hebat inovasinya, kukuh integritinya, luhur adabnya dan besar manfaatnya kepada manusia. UTM bukan sekadar perlu mengejar kecemerlangan untuk dirinya sendiri, tetapi menggunakan kecemerlangan tersebut untuk menyelesaikan masalah, membina masa depan dan meningkatkan kehidupan masyarakat.

Kerana di sebalik setiap penyelidikan, pengajaran, perkhidmatan dan inovasi, terdapat amanah yang lebih besar, iaitu “Kerana Tuhan untuk Manusia”. Apabila roh tersebut benar-benar dihayati oleh setiap warga UTM, “Menginovasi Penyelesaian Lestari” bukan lagi sekadar slogan, tetapi menjadi sebahagian daripada cara kita bekerja, memimpin, berinovasi dan berkhidmat kepada manusia.

Explore More

UTM Open Day