Alumni UTM LAr. Wan Salamatul Juita diiktiraf antara 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026

SDGSDG4SDG5SDG8SDG9SDG11

πŸ“ Ringkasan

Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), LAr. Wan Salamatul Juita, telah dikenal pasti sebagai salah seorang daripada 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026. Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap UTM pada tahun 2005 dan kini merupakan Pengasas serta Pengarah Verona Design Sdn. Bhd. Wan Salamatul Juita telah aktif dalam pelbagai projek reka bentuk bandar dan landskap serta membina reputasi dalam profesion seni bina landskap negara. Beliau telah menerima beberapa pengiktirafan industri termasuk Anugerah Arkitek Landskap Muda ILAM 2016 dan Emerging Landscape Architect Award pada Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA14) 2024.

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), LAr. Wan Salamatul Juita Dato’ Dr. Wan Hashim, terus mengharumkan nama alma mater apabila tersenarai sebagai penerima pengiktirafan 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026 (WIN 2026), yang meraikan 100 wanita Malaysia atas pencapaian, kepimpinan dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang.

Program anjuran IKSnita Sabah dengan kerjasama Lincoln University College serta rakan-rakan strategik itu mengetengahkan tema β€œMemartabatkan Wanita, Memperkukuhkan Negara”, selaras dengan aspirasi untuk mengiktiraf peranan wanita sebagai pemimpin, usahawan dan agen perubahan yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Wan Salamatul Juita merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap UTM pada tahun 2005 dan kini merupakan Pengasas serta Pengarah Verona Design Sdn. Bhd., sebuah firma yang ditubuhkannya pada tahun 2012. Sepanjang kerjayanya, beliau aktif dalam pelbagai projek reka bentuk bandar dan landskap serta membina reputasi dalam profesion seni bina landskap negara.

Kecemerlangan profesional beliau turut mendapat pengiktirafan industri. Antaranya, beliau pernah menerima Anugerah Arkitek Landskap Muda ILAM 2016 serta Emerging Landscape Architect Award pada Malaysia Landscape Architecture Awards (MLAA14) 2024. Pengiktirafan-pengiktirafan ini mencerminkan sumbangan dan komitmen berterusan beliau terhadap pembangunan profesion seni bina landskap di Malaysia.

Pemilihan beliau sebagai salah seorang daripada 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026 memperkukuh lagi kedudukan beliau sebagai profesional dan usahawan wanita yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang yang diceburi, malah mampu menjadi inspirasi kepada generasi seterusnya.

Lebih membanggakan, perjalanan Wan Salamatul Juita turut mencerminkan bagaimana graduan UTM terus membawa nama universiti ke hadapan melalui kecemerlangan profesional, kepimpinan dan keupayaan menghasilkan penyelesaian yang memberi nilai kepada masyarakat serta persekitaran.

Kejayaan beliau menjadi satu lagi bukti bahawa pengalaman dan pendidikan yang bermula di UTM mampu berkembang menjadi perjalanan profesional yang memberi impak lebih luas kepada industri dan negara.

Setinggi-tinggi tahniah LAr. Wan Salamatul Juita atas pengiktirafan sebagai 100 Wanita Inspirasi Nasional 2026. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh Keluarga UTM untuk terus mencipta impak dan menyumbang kepada masyarakat.

Explore More

UTM Open Day