Alumni UTM: Generasi yang membina Malaysia

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11SDG13

📝 Ringkasan

Sempena Hari Kebangsaan ke-69, perjalanan UTM daripada Maktab Teknik Kuala Lumpur hingga menjadi sebuah universiti dengan lebih 257,000 alumni mencerminkan sebahagian daripada perjalanan pembangunan Malaysia. Dari generasi awal yang membantu membina infrastruktur dan keupayaan teknikal negara hingga generasi hari ini yang menerajui inovasi, teknologi dan penyelesaian lestari, alumni UTM terus memainkan peranan sebagai nation builders – menyumbang ilmu dan kepakaran untuk kemajuan negara serta kesejahteraan manusia.

JOHOR BAHRU, 31 Ogos – Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, antara cabaran terbesar sebuah negara yang masih muda ketika itu adalah untuk membangunkan keupayaan sendiri. Negara memerlukan jalan raya dan jambatan, sistem bekalan air dan elektrik, bangunan, perumahan, pengangkutan serta industri yang mampu menggerakkan ekonomi.

Semua itu memerlukan lebih daripada peruntukan pembangunan. Malaysia memerlukan tenaga profesional dan teknikalnya sendiri – jurutera, arkitek, juruukur, perancang dan mereka yang mampu menterjemahkan cita-cita pembangunan negara kepada sesuatu yang dapat digunakan dan akhirnya dinikmati oleh rakyat

Dalam generasi awal inilah terdapat graduan Maktab Teknik Kuala Lumpur, institusi yang kemudiannya berkembang menjadi Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan seterusnya Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sempena Hari Kebangsaan ke-69 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sejarah ini wajar dikenang. Banyak perkara yang hari ini menjadi sebahagian daripada kesejahteraan rakyat sebenarnya dibina melalui usaha beberapa generasi – dan alumni institusi yang kini dikenali sebagai UTM merupakan sebahagian daripada perjalanan tersebut.

Dari Maktab Teknik kepada keperluan sebuah negara

Akar UTM dalam pendidikan teknikal negara bermula jauh sebelum kemerdekaan. Institusi yang bermula sebagai sekolah teknik berkembang menjadi Maktab Teknik dan pada tahun 1950-an beroperasi di Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Perkembangan itu berlaku ketika Malaysia semakin memerlukan kepakaran tempatan dalam bidang kejuruteraan, seni bina dan ukur. Graduannya diperlukan oleh sektor swasta serta jabatan dan agensi kerajaan yang sedang membangunkan infrastruktur negara.

Pada 14 Mac 1972, Maktab Teknik secara rasmi dinaik taraf menjadi Institut Teknologi Kebangsaan (ITK). Tiga tahun kemudian, pada 1 April 1975, ITK dijenamakan sebagai Universiti Teknologi Malaysia.

Daripada akar sejarahnya di Kuala Lumpur, UTM hari ini berkembang dengan kehadiran di tiga kampus – kampus induk di Johor Bahru, UTM Kuala Lumpur dan UTM Pagoh – yang menjadi medan pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat untuk Malaysia dan dunia.

Perubahan tersebut bukan sekadar perkembangan sebuah institusi pendidikan. Ia mencerminkan perjalanan sebuah universiti yang berkembang seiring dengan sebuah negara yang sedang membina keupayaan dan keyakinannya sendiri.

Ainuddin Wahid dan cita-cita membangunkan bangsa

Salah seorang tokoh yang berada di tengah-tengah perubahan itu ialah Allahyarham Tan Sri Dato’ Ainuddin Abdul Wahid.

Seorang jurutera awam lulusan University of Bristol dan pernah berkhidmat di Jabatan Kerja Raya, Ainuddin dilantik sebagai Pengetua Maktab Teknik Kuala Lumpur pada 1969. Beliau kemudian menjadi Rektor pertama ITK pada 1972 dan Naib Canselor pertama UTM pada 1975.

Daripada seorang jurutera yang terlibat dalam pembangunan jalan raya, beliau kemudiannya membantu membangunkan institusi yang akan melahirkan jurutera dan tenaga profesional untuk negara. Legasinya bukan sekadar sebuah universiti atau kampus, tetapi generasi manusia yang membawa ilmu dan kepakaran mereka kepada masyarakat.

Di sinilah falsafah UTM, “Kerana Tuhan Untuk Manusia”, memperoleh makna yang lebih luas – bahawa ilmu yang ditimba harus memberi manfaat kepada manusia dan masyarakat.

Dari 65 graduan kepada 257,881 alumni

Pada 3 Disember 1977, UTM telah mengadakan Majlis Konvokesyen pertamanya dengan hanya 65 graduan. Hampir lima dekad kemudian, komuniti alumni Universiti telah berkembang kepada 257,881 orang.

Daripada jumlah itu, 243,413 merupakan alumni Malaysia, manakala 14,468 ialah alumni antarabangsa, dengan jejak alumni UTM kini merentasi 104 negara.

Namun 257,881 bukan sekadar angka. Di belakangnya ialah jurutera, akademik, penyelidik, usahawan, profesional, teknologis, pemimpin industri dan penjawat awam yang menyumbang dalam pelbagai sektor.

Ada yang dikenali masyarakat. Ramai lagi mungkin tidak pernah menjadi nama besar, tetapi terus membina Malaysia melalui profesion dan tanggungjawab masing-masing.

Itulah makna “nation builders” yang lebih luas. Membina negara bukan hanya tentang mereka yang mengetuai organisasi atau membuat keputusan besar, tetapi juga mereka yang memastikan sistem berfungsi, industri berkembang, teknologi dicipta dan kehidupan masyarakat menjadi lebih baik.

Membawa nama UTM ke persada global

Jejak alumni UTM hari ini juga tidak lagi terbatas dalam sempadan Malaysia. Sebahagian graduannya membina kerjaya, memimpin organisasi, menjalankan penyelidikan dan menyumbang kepakaran di luar negara. Di mana sahaja mereka berada, pencapaian mereka turut membawa nama UTM ke pentas antarabangsa dan menjadi cerminan kepada kualiti bakat yang dilahirkan Universiti.

Namun hubungan alumni dengan UTM tidak berakhir selepas menerima ijazah.

Ramai kembali menyumbang dengan membuka peluang pekerjaan dan latihan industri kepada pelajar serta graduan, menjadi mentor kepada generasi muda, berkongsi kepakaran profesional, menghubungkan Universiti dengan industri dan jaringan antarabangsa serta menyumbang melalui endowmen dan pelbagai inisiatif pembangunan pelajar.

Ia membentuk satu kitaran yang penting: universiti melahirkan graduan, graduan mencipta impak dalam masyarakat, dan alumni kembali membuka peluang kepada generasi yang menyusul.

Dalam erti kata lain, alumni bukan sekadar membawa nama UTM ke dunia. Mereka turut membawa dunia kembali kepada UTM – melalui jaringan, peluang, pengalaman, kepakaran dan sumber.

Membina Masa Hadapan dengan Penyelesaian Lestari

Cabaran Malaysia pada 2026 tentunya berbeza daripada hampir enam dekad lalu. Jika generasi terdahulu berhadapan dengan keperluan membina infrastruktur dan mempercepatkan perindustrian, generasi hari ini berhadapan dengan kecerdasan buatan, keselamatan siber, perubahan iklim, peralihan tenaga, teknologi hijau, automasi dan persaingan bakat global.

Justeru, maksud “membina negara” juga berubah.

Dalam kerangka UTM ASCEND 2030, aspirasi “Menginovasi Penyelesaian Lestari” membawa kesinambungan kepada perjalanan tersebut. Jika generasi terdahulu menggunakan ilmu untuk memenuhi keperluan pembangunan pada zamannya, generasi hari ini dituntut menghasilkan penyelesaian terhadap cabaran semasa dan masa hadapan.

Di sinilah tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, falsafah “Kerana Tuhan Untuk Manusia” dan aspirasi “Menginovasi Penyelesaian Lestari” bertemu – ilmu, inovasi dan kepakaran akhirnya perlu menghasilkan manfaat kepada manusia.

Generasi yang membina Malaysia

Terdapat satu kesinambungan antara graduan Maktab Teknik pada era awal kemerdekaan dengan graduan UTM hari ini. Zaman dan teknologi mereka mungkin berbeza, tetapi persoalannya tetap sama: apakah yang boleh dilakukan dengan ilmu yang dimiliki untuk memenuhi keperluan negara pada zamannya?

Perjalanan Maktab Teknik yang berkembang menjadi ITK dan seterusnya UTM turut mencerminkan perjalanan Malaysia sendiri. Setiap generasi mewarisi kemajuan yang dibina oleh generasi sebelumnya, kemudian menyambung usaha itu dengan ilmu, kepakaran dan cabaran zamannya.

Kemerdekaan memberi sebuah bangsa hak untuk menentukan masa hadapannya. Namun masa hadapan tidak terbina dengan sendiri. Ia perlu dirancang, diusahakan dan diteruskan oleh setiap generasi.

Dahulu, mereka membantu membina asas sebuah negara yang sedang berkembang. Hari ini, generasi UTM meneruskan tanggungjawab itu dengan menginovasi penyelesaian lestari untuk masa hadapan. Zaman berubah, cabaran berubah, tetapi tujuan akhirnya kekal – membina Malaysia dan memberi manfaat kepada manusia, Kerana Tuhan Untuk Manusia.

 

Kredit Foto: Pusat Komunikasi Korporat, UTM

Explore More

UTM Open Day