📝 Ringkasan
Pendidikan tinggi tidak hanya menghasilkan individu yang tahu banyak perkara, tetapi juga insan yang tahu bagaimana menggunakan ilmu dengan betul. Adab yang hilang dalam kalangan mahasiswa hari ini perlu dibangkitkan semula. Adab bermula daripada perkara kecil seperti datang ke kuliah pada waktunya, memberi salam dan menghormati pensyarah, dan lain-lain. Nilainya jauh lebih besar dalam pembentukan karakter.
Universiti sering dilihat sebagai medan membina ilmu, mengembangkan pemikiran dan melahirkan graduan yang mampu bersaing dalam dunia pekerjaan. Namun, kejayaan seseorang mahasiswa tidak seharusnya diukur hanya menerusi keputusan peperiksaan, jumlah sijil kokurikulum atau kemahiran yang dimiliki. Ada satu perkara yang semakin penting untuk diberi perhatian, tetapi kadangkala tenggelam dalam kesibukan mengejar prestasi akademik, iaitu adab. Mahasiswa yang berilmu tetapi tidak beradab mungkin mampu memperoleh keputusan yang baik, tetapi belum tentu mampu menjadi insan yang baik, pemimpin yang dihormati atau profesional yang dipercayai.
Kebelakangan ini, pelbagai isu yang berlaku dalam kalangan mahasiswa wajar menjadi ruang untuk kita melakukan refleksi. Kes meniru dalam peperiksaan dan tugasan, plagiarisme, melanggar peraturan universiti, tidak menghormati pensyarah, mengabaikan tata tertib, serta menunjukkan penampilan yang tidak mencerminkan identiti sebagai pelajar universiti bukan sekadar isu disiplin semata-mata. Ia sebenarnya berkait dengan persoalan yang lebih besar, iaitu apakah nilai yang sedang kita bina dalam diri generasi mahasiswa hari ini? Pendidikan tinggi seharusnya bukan hanya menghasilkan individu yang tahu banyak perkara, tetapi insan yang tahu bagaimana menggunakan ilmu dengan betul.
Adab bermula daripada perkara yang kelihatan kecil, seperti datang ke kuliah pada waktunya, memberi salam dan menghormati pensyarah, mendengar ketika orang lain bercakap, menjaga kebersihan, berpakaian kemas dan bersesuaian, menggunakan bahasa yang sopan, menghormati perbezaan pandangan, serta mematuhi peraturan universiti. Perkara ini mungkin tidak mempunyai markah dalam transkrip akademik, tetapi nilainya jauh lebih besar dalam pembentukan karakter. Dunia pekerjaan tidak hanya mencari graduan yang mempunyai purata nilai gred kumulatif (CGPA) tinggi; majikan turut mencari individu yang boleh dipercayai, bertanggungjawab, mampu bekerja dalam pasukan, menghormati orang lain dan mempunyai integriti.
Begitu juga dengan isu meniru. Meniru bukan sekadar kesalahan akademik yang boleh membawa kepada tindakan tatatertib, tetapi persoalan integriti. Apabila seseorang memilih untuk meniru ketika tiada siapa melihat, beliau sebenarnya sedang membuat keputusan tentang siapa dirinya. Pendidikan yang sebenar adalah apabila mahasiswa berani mengakui bahawa markah yang diperoleh, walaupun tidak setinggi yang diharapkan, adalah hasil usaha sendiri. Kegagalan yang diperoleh dengan jujur jauh lebih bermakna berbanding kejayaan yang dibina melalui penipuan, kerana ilmu boleh dipelajari semula, tetapi integriti yang hilang sukar untuk dikembalikan.
Dalam pada itu, mahasiswa juga perlu memahami bahawa kebebasan di universiti datang bersama tanggungjawab. Menjadi mahasiswa bermakna memasuki satu tahap kehidupan yang menuntut kematangan. Mereka bukan lagi sekadar pelajar yang menunggu arahan, tetapi individu yang sedang dipersiapkan untuk menjadi guru, jurutera, doktor, penyelidik, pentadbir, usahawan, pemimpin dan anggota masyarakat. Cara seseorang membawa diri di dalam kampus sebenarnya menjadi latihan awal kepada cara dia membawa diri di luar kampus.
Penampilan juga merupakan sebahagian daripada komunikasi diri. Kebebasan berekspresi dan identiti individu sememangnya perlu dihormati, namun kebebasan tidak bermaksud tiada batas. Universiti ialah ruang akademik yang mempunyai budaya, nilai dan etika tertentu, dan penampilan yang kemas, bersesuaian serta menghormati suasana pembelajaran menunjukkan bahawa seseorang mahasiswa memahami konteks dan menghormati institusi yang menjadi tempatnya menimba ilmu. Bukan soal mahal atau bergaya, tetapi soal kemas, sesuai dan beradab.
Namun begitu, universiti tidak boleh meletakkan seluruh tanggungjawab pembentukan adab di bahu mahasiswa semata-mata. Pensyarah, pentadbir, ibu bapa, rakan sebaya dan institusi turut mempunyai peranan bersama. Universiti perlu menjadi ekosistem yang menghidupkan nilai, bukan sekadar menyenaraikannya dalam buku peraturan. Integriti perlu dibudayakan, rasa hormat perlu dicontohkan, dan kepimpinan perlu dipamerkan menerusi tindakan. Jika kita mahu mahasiswa menghormati orang lain, mereka perlu melihat budaya saling menghormati dalam kalangan warga universiti terlebih dahulu.
Kita juga perlu mengubah cara kita melihat kejayaan mahasiswa. Akademik, kokurikulum dan pemilikan kemahiran adalah penting, tetapi semuanya perlu berdiri di atas asas adab dan integriti. Tanpa adab, ilmu boleh disalahgunakan. Tanpa integriti, kemahiran boleh digunakan untuk kepentingan diri. Tanpa rasa hormat, kepimpinan boleh berubah menjadi keangkuhan.
Universiti bukan kilang yang menghasilkan graduan berdasarkan angka dan gred semata-mata, sebaliknya tempat membentuk manusia. Kita mahu melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja bijak menjawab soalan peperiksaan, tetapi bijak membuat keputusan; bukan sahaja mempunyai banyak sijil, tetapi mempunyai nilai; bukan sahaja petah berbicara, tetapi tahu menghormati; bukan sahaja berani bersaing, tetapi tahu bersikap adil; dan bukan sahaja mengejar kejayaan, tetapi memahami tanggungjawab di sebalik kejayaan itu.
Kerana pada akhirnya, apabila jubah graduasi disarungkan dan nama dipanggil di pentas, yang akan dibawa keluar dari universiti bukan sekadar segulung ijazah, sebaliknya ilmu, kemahiran, pengalaman, karakter dan adab. Mungkin itulah ukuran sebenar pendidikan tinggi, iaitu bukan hanya berapa tinggi seseorang mampu pergi, tetapi sejauh mana ilmu itu menjadikannya lebih rendah hati, lebih berintegriti dan lebih beradab.