Alumni UTM dilantik sebagai Dekan Fakulti Komputeran baharu

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Pusat UTMAlumni mengucapkan tahniah kepada Prof. Dr. Azlan bin Mohd Zain atas pelantikan beliau sebagai Dekan Fakulti Komputeran UTM, berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2026. Prof. Dr. Azlan, seorang alumni UTM, telah memulakan perjalanan akademiknya di UTM pada tahun 1995 dan telah memegang pelbagai jawatan strategik sebelum ini. Pelantikan ini mencerminkan kecemerlangan profesional seorang alumni UTM dan menjadi inspirasi kepada lebih 257,000 alumni UTM di seluruh dunia.

JOHOR BAHRU, 3 Ogos – Pusat UTMAlumni merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Prof. Dr. Azlan Mohd Zain, alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM), atas pelantikan beliau sebagai Dekan Fakulti Komputeran, berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2026. Surat pelantikan telah disampaikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dalam satu sesi yang berlangsung hari ini (3 Ogos 2026).

Prof. Dr. Azlan merupakan antara alumni yang membuktikan kecemerlangan graduan UTM dalam menerajui institusi pengajian tinggi. Beliau memulakan perjalanan akademiknya di UTM dengan memperoleh Diploma Sains Komputer pada tahun 1995, diikuti Sarjana Muda Sains Komputer pada tahun 1997, sebelum melengkapkan Ijazah Doktor Falsafah (Sains Komputer) di universiti yang sama. Perjalanan ini mencerminkan hubungan yang erat antara seorang alumni dengan alma maternya, daripada seorang mahasiswa sehingga diberi amanah menerajui fakulti yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan akademik beliau.

Prof. Dr. Azlan Mohd Zain (kanan), menerima watikah pelantikan sebagai Dekan Fakulti Komputeran daripada Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim

Sepanjang hampir tiga dekad berkhidmat di UTM, Prof. Dr. Azlan telah memegang pelbagai jawatan strategik termasuk sebagai Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) dan Pengarah Big Data Centre (BDC). Beliau juga dikenali atas kepakaran dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Pembelajaran Mesin (Machine Learning) dan Analitik Ramalan (Predictive Analytics), selain aktif dalam penyelidikan, penerbitan berimpak tinggi serta jaringan akademik di peringkat antarabangsa.

Pelantikan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan profesional seorang alumni UTM, malah menjadi inspirasi kepada lebih 257,000 alumni UTM di seluruh dunia bahawa ilmu, pengalaman dan nilai yang diterapkan di universiti ini mampu membuka laluan kepada kepimpinan di peringkat tertinggi. Pusat UTMAlumni percaya bahawa kejayaan alumni seperti Prof. Dr. Azlan akan terus memperkukuh legasi UTM serta menjadi pemangkin kepada generasi graduan akan datang untuk terus menyumbang kepada pembangunan universiti, negara dan masyarakat.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Prof. Dr. Azlan Mohd Zain atas pelantikan ini. Semoga terus cemerlang memimpin Fakulti Komputeran dan membawa kecemerlangan UTM ke persada yang lebih tinggi.

Explore More

UTM Open Day