UTM rai 53 penerima dana latihan industri luar negara 2026

SDGSDG4SDG8SDG17

📝 Ringkasan

53 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dipilih untuk menerima dana latihan industri luar negara pada tahun 2026. Mereka akan menjalani latihan di universiti dan organisasi terkemuka di luar negara, termasuk di China, Korea Selatan, Jepun, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Republik China (Taiwan). Program ini bertujuan untuk meningkatkan kompetensi dan daya saing pelajar di peringkat global.

JOHOR BAHRU, 10 Julai – Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraikan seramai 53 orang pelajar dalam Majlis Pelepasan Penerima Dana Latihan Industri Luar Negara 2026 sebagai penghargaan atas kejayaan mereka memperoleh penempatan latihan industri di universiti, organisasi dan institusi penyelidikan terkemuka di luar negara.

Tahun 2026 merupakan tahun ketiga UGS menyalurkan bantuan dana kepada pelajar UTM yang berjaya memperoleh penempatan latihan industri di luar negara. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan UGS dalam menyokong agenda pengantarabangsaan universiti, di samping memperluas peluang pembelajaran berimpak tinggi yang dapat meningkatkan kompetensi dan daya saing pelajar di peringkat global.

Pada tahun ini, program tersebut melibatkan penyertaan pelajar daripada lapan fakulti dan institut di UTM, iaitu Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Fakulti Sains, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) serta Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI).

Dekan Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat (tiga dari kanan), bergambar bersama Country Leader yang dilantik mewakili setiap negara destinasi Latihan Industri Luar Negara 2026

Kesemua pelajar merupakan penerima dana UGS bagi menjalani latihan industri di 16 universiti, organisasi dan institusi penyelidikan di China, Korea Selatan, Jepun, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Republik China (Taiwan).

Program latihan industri ini akan berlangsung sepanjang Julai hingga Oktober 2026, sekali gus memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam persekitaran kerja sebenar, membina jaringan profesional serta menimba pengalaman dalam persekitaran akademik dan industri bertaraf antarabangsa.

Antara institusi dan organisasi yang menerima pelajar UTM ialah Peking University (PKU), Tsinghua University (THU), Seoul National University (SNU), University of Tokyo (UTokyo), Imperial College London (ICL), National University of Singapore (NUS), Shanghai Jiao Tong University (SJTU), Korea Advanced Institute of Science and Technology (KAIST), Hanyang University (HYU), Purdue University, Brunel University of London (Brunel), Osaka University (UOsaka), Jinan University (JNU), Shibaura Institute of Technology (SIT), Academia Sinica serta Commission on Science and Technology for Sustainable Development in the South (COMSATS).

Sebahagian besar penempatan ini melibatkan universiti yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia berdasarkan QS World University Rankings, sekali gus membuktikan bahawa pelajar UTM memiliki kompetensi dan keupayaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Majlis pelepasan tersebut telah disempurnakan oleh Dekan UGS, Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat, dan turut dihadiri oleh dekan fakulti, timbalan dekan, ketua jabatan, pensyarah, penyelia akademik serta para pelajar.

Dalam amanatnya, beliau mengingatkan para pelajar bahawa mereka bukan sekadar menjalani latihan industri, malah memikul amanah sebagai wakil universiti dan negara sepanjang berada di luar negara.

“Apabila anda berada di luar negara nanti, ingatlah bahawa anda bukan sekadar seorang pelajar yang menjalani latihan industri. Anda ialah duta kecil Universiti Teknologi Malaysia dan juga duta Malaysia. Setiap tindakan, tingkah laku, disiplin kerja, cara komunikasi dan nilai profesional yang anda tunjukkan akan membentuk persepsi rakan industri terhadap UTM dan negara kita,” pesan Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat.

Beliau turut menyeru para pelajar agar sentiasa menjaga integriti, menghormati budaya tempatan serta memanfaatkan peluang yang diberikan untuk menimba ilmu, memperluas jaringan profesional dan membawa pulang pengalaman terbaik yang dapat dikongsi bersama warga UTM.

Selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, program ini mencerminkan usaha berterusan universiti dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, berfikiran global dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan. Diharapkan para pelajar dapat memanfaatkan peluang ini sebaik-baiknya serta terus mengharumkan nama UTM dan Malaysia melalui kecemerlangan akademik, profesionalisme dan sahsiah yang tinggi sepanjang menjalani latihan industri di luar negara.

Para pelajar bergambar bersama yang Menjalankan Tugas sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal sempena Majlis Pelepasan Penerima Dana Latihan Industri Luar Negara 2026
Para pelajar bergambar bersama Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga

 

 

Oleh Nur Masitoh Islamiah Dato’ Hj. Mustaffa Kamal

Explore More

UTM Open Day