UTM perkasa kepakaran GIS melalui Latihan Geospatial dan Inventori Aset bersama DBKU

SDGSDG4SDG9SDG11SDG17

📝 Ringkasan

UTM melalui Institut Sultan Iskandar (ISI) telah menganjurkan latihan geospatial dan inventori aset bagi pegawai Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). Latihan ini bertujuan meningkatkan kemahiran pengurusan data geospatial dan penggunaan teknologi GIS bagi menyokong pengurusan inventori aset dan analisis spatial. Peserta telah didedahkan kepada konsep asas dan aplikasi praktikal GIS, termasuk pembangunan pangkalan data geospatial, pengumpulan data lapangan, dan analisis geospatial.

JOHOR BAHRU, 5 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Institut Sultan Iskandar (ISI) berjaya menganjurkan Latihan Pengenalan kepada Data Geospatial serta Inventori Aset Menggunakan Aplikasi Sistem Maklumat Geografi (Geographic Information System, GIS) bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran pengurusan data geospatial dalam kalangan pegawai pihak berkuasa tempatan.

Program yang berlangsung dalam dua siri, iaitu pada 22 hingga 26 Jun 2026 dan 1 hingga 5 Julai 2026, menghimpunkan seramai 15 pegawai dan kakitangan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi setiap siri. Latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan peserta dalam penggunaan teknologi GIS untuk menyokong pengurusan inventori aset, analisis spatial serta proses membuat keputusan yang lebih cekap dan berasaskan data geospatial.

Pengarah ISI UTM, Prof. Madya Sr Dr. Abdullah Hisam Omar (tiga dari kanan) menerima cenderamata dari Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah (empat dari kiri)
Peserta program DBKU bergambar kenangan di hadapan helipad UTM

Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Pengarah ISI, Prof. Madya Sr Dr. Abdullah Hisam Omar. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pembangunan modal insan dalam bidang geospatial bagi memenuhi keperluan transformasi digital sektor awam.

Turut hadir ialah Ketua Penyelidikan Geomatik Inovasi, Dr. Wan Anom Wan Aris, serta pensyarah kanan Geoinformasi, Dr. Ivin Amri Musliman, Dr. Fazzami Othman dan Dr. Muhammad Hafiz Mohd Yatim. Mereka memainkan peranan penting dalam penyelarasan kandungan latihan serta berkongsi kepakaran sepanjang program berlangsung.

Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan majlis

Majlis penutupan pula disempurnakan oleh Pengarah DBKU, Ramzi Abdillah, yang merakamkan penghargaan kepada UTM atas komitmen dalam berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam bidang geospatial. Beliau turut menyatakan harapan agar kerjasama strategik antara DBKU dan UTM dapat diteruskan menerusi pelbagai program pembangunan kapasiti pada masa hadapan.

Dr. Ivin Amri Musliman dan Dr. Fazzami Othman berkongsi kepakaran berkaitan aplikasi GIS sepanjang sesi latihan

Sepanjang latihan, peserta didedahkan kepada konsep asas dan aplikasi praktikal GIS yang merangkumi pembangunan pangkalan data geospatial, pengumpulan data lapangan, pengurusan inventori aset, visualisasi maklumat spatial serta analisis geospatial bagi menyokong operasi dan perancangan organisasi.

Selain itu, peserta turut diberi pendedahan kepada beberapa teknologi terkini dalam bidang ukur tanah dan pemetaan, antaranya Sistem Satelit Navigasi Global (Global Navigation Satellite System, GNSS) dan Alat Pengesan Paip dan Kabel (Pipe Cable Locator, PCL). Demonstrasi penggunaan peralatan tersebut memberikan pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai kaedah pengumpulan data lapangan yang tepat dan efisien bagi menyokong pembangunan pangkalan data aset yang komprehensif.

Peserta menjalani latihan kerja lapangan menggunakan peralatan Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS) bagi tujuan pengumpulan data geospatial

Penganjuran latihan ini mencerminkan komitmen UTM dalam memperkasa pemindahan ilmu, penyelidikan gunaan dan pembangunan kapasiti profesional menerusi kerjasama erat dengan agensi kerajaan. Inisiatif seumpama ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan strategik antara UTM dan DBKU, malah menyokong agenda pendigitalan pengurusan aset serta pembangunan bandar pintar yang lebih mampan melalui pemanfaatan teknologi geospatial.

Explore More

UTM Open Day