UTM mampu jadi ‘Research Powerhouse’ demi masa depan Johor

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11SDG12SDG13SDG16

📝 Ringkasan

UTM dianggap sebagai aset strategik Johor dan negara yang dapat membantu mencipta teknologi, bakat dan inovasi untuk mengisi peluang-peluang ekonomi. Universiti ini memiliki lebih 1,632 ahli akademik, termasuk 158 profesor dan penyelidik, yang merangkumi pelbagai bidang strategik seperti AI, semikonduktor, geospatial dan ekonomi digital. UTM juga memiliki ratusan harta intelek, termasuk paten dan teknologi baharu, yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

Menjelang Pilihan Raya Negeri Johor, pelbagai janji berkaitan peluang pekerjaan, pelaburan, infrastruktur dan kos sara hidup terus menjadi tumpuan. Semua ini penting. Namun, terdapat satu persoalan yang jauh lebih besar dan bersifat jangka panjang.

Siapakah yang akan mencipta teknologi, bakat dan inovasi yang akan mengisi peluang-peluang tersebut?

Jawapannya terletak pada kekuatan ekosistem pendidikan tinggi dan penyelidikan.

Hari ini, Johor berada pada kedudukan yang amat strategik. Dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), kemasukan pelaburan dalam sektor semikonduktor, pusat data, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, aeroangkasa, bioteknologi dan ekonomi digital dijangka berkembang pesat. RMK13 pula memberi penekanan kepada ekonomi bernilai tinggi, peningkatan produktiviti serta pengukuhan kapasiti penyelidikan dan inovasi negara.

Namun, sejarah dunia menunjukkan bahawa pelaburan sahaja tidak menjamin kemakmuran. Pelaburan akan berpindah ke lokasi lain jika sesebuah negeri gagal menyediakan bakat, teknologi dan penyelesaian inovatif yang diperlukan industri.

Atas sebab itu, Johor tidak boleh hanya bercita-cita menjadi destinasi pelaburan. Johor mesti muncul sebagai pusat penghasilan ilmu, teknologi dan inovasi bertaraf dunia.

Di sinilah peranan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi amat penting.

UTM bukan sekadar sebuah universiti. Sebagai universiti penyelidikan yang telah melahirkan puluhan ribu jurutera, saintis, arkitek, juruukur, pakar AI dan teknologis, UTM merupakan antara aset strategik paling bernilai yang dimiliki oleh Johor dan negara.

Di UTM sahaja, terdapat lebih 1,632 ahli akademik termasuk 158 orang profesor dan penyelidik yang merangkumi pelbagai bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, geospatial, bandar pintar, tenaga lestari, teknologi air, keselamatan siber, robotik, pembinaan maju, teknologi geospatial, ekonomi digital, perubahan iklim, maritim dan pelbagai disiplin lain yang amat diperlukan bagi menyokong agenda pembangunan Johor.

Lebih membanggakan, sekitar 55 orang penyelidik UTM telah diiktiraf apabila tersenarai dalam Stanford University–Elsevier Top 2% Scientists Worldwide, satu pengiktirafan antarabangsa yang mencerminkan kecemerlangan penyelidikan berdasarkan impak sitasi dan sumbangan ilmiah dalam bidang masing-masing. Pengiktirafan ini bukan sekadar pencapaian individu, tetapi membuktikan bahawa Johor memiliki kelompok saintis bertaraf dunia yang mampu menyumbang kepada penyelesaian cabaran industri dan masyarakat.

Pada masa yang sama, UTM turut mempunyai ratusan harta intelek (IP), termasuk paten yang telah diluluskan, teknologi baharu, perisian, reka cipta dan hasil penyelidikan yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan. Banyak daripadanya mampu diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar dalam sektor pembuatan pintar, pengurusan bandar, pertanian moden, tenaga hijau, logistik, kesihatan, pemantauan alam sekitar dan transformasi digital.

Yang lebih penting, kekuatan sebenar UTM bukan hanya terletak pada penerbitan jurnal atau pencapaian akademik semata-mata. Kekuatan itu terletak pada kesediaan warga akademiknya untuk berkongsi kepakaran, memindahkan teknologi, membimbing industri, menyelesaikan masalah komuniti, melahirkan syarikat pemula (start-up) dan membangunkan inovasi yang memberikan impak kepada ekonomi serta sosial negeri Johor.

Dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan, universiti bertaraf dunia berfungsi sebagai “enjin pembangunan”. Mereka membangunkan teknologi baharu yang dalam menyokong  industri, menarik bakat antarabangsa dan menjadi pusat penyelesaian kepada cabaran masyarakat.

Tidak hairanlah universiti seperti Stanford University, Massachusetts Institute of Technology (MIT), National Tsinghua University dan National University of Singapore menjadi pemangkin kepada pembangunan Silicon Valley, Shenzhen dan Singapura. Hubungan erat antara universiti, kerajaan dan industri telah membentuk ekosistem inovasi yang menjadikan wilayah-wilayah berkenaan antara yang paling berdaya saing di dunia.

Johor mempunyai semua ramuan untuk mengulangi kejayaan tersebut.

Dengan kedudukan strategik berhampiran Singapura, jaringan industri yang kukuh, pelabuhan bertaraf antarabangsa serta sebuah universiti penyelidikan yang mempunyai reputasi global, Johor sebenarnya memiliki asas yang sangat kukuh untuk muncul sebagai Hab Inovasi Asia Tenggara.

Apa yang diperlukan kini ialah satu iltizam politik dan dasar yang jelas untuk memperkukuhkan ekosistem penyelidikan di negeri ini.

Antara langkah strategik yang boleh dipertimbangkan adalah mewujudkan Dana Penyelidikan dan Inovasi Johor, memperluas makmal hidup (living labs) di seluruh negeri, memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri, universiti dan industri, serta menjadikan Johor sebagai lokasi pilihan syarikat multinasional menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka.

Dalam masa yang sama, agenda nasional seperti RDICE Blueprint perlu diterjemahkan secara lebih agresif di peringkat negeri. Penyelidikan tidak boleh lagi bergerak secara berasingan daripada pembangunan ekonomi. Sebaliknya, penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersialan dan keusahawanan mesti bergerak sebagai satu ekosistem yang saling memperkukuh.

UTM sebenarnya telah lama mengorak langkah ke arah ini melalui penyelidikan berimpak tinggi, kolaborasi antarabangsa, inovasi teknologi dan pembangunan modal insan. Namun, dengan sokongan strategik kerajaan negeri dan industri, impaknya boleh dipertingkatkan berkali ganda.

UTM cipta sejarah di pentas global apabila berjaya menempatkan diri dalam Kelompok 100 Terbaik Dunia bagi lima SDG dalam THE Sustainability Impact Ratings 2026

Bayangkan sekiranya Johor menjadi peneraju dalam AI untuk pembuatan pintar, teknologi semikonduktor, bandar pintar, ekonomi biru, tenaga bersih, keselamatan makanan, teknologi air dan geospatial. Penyelidikan yang dijalankan di makmal UTM pula diterjemahkan menjadi produk, syarikat teknologi baharu dan penyelesaian yang digunakan di seluruh dunia. Impian melihat Johor sebagai peneraju ekonomi serantau bukan lagi angan-angan.

Lebih penting, kita bakal melihat graduan terbaik Johor tidak lagi berhijrah kerana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi tersedia di negeri sendiri hasil daripada ekosistem inovasi yang berkembang pesat. Masa depan Johor tidak akan ditentukan oleh jumlah bangunan yang dibina semata-mata, sebaliknya jumlah idea yang berjaya diterjemahkan menjadi inovasi, pengganda nilai ekonomi dan pengukuh kesejahteraan rakyat.

Sudah tiba masanya kita melihat universiti penyelidikan bukan sebagai pusat kos, tetapi sebagai pelaburan strategik yang menjana pulangan ekonomi, sosial dan teknologi untuk beberapa dekad akan datang. Jika Johor benar-benar berhasrat menjadi negeri paling maju, paling berdaya saing dan paling inovatif di Malaysia, maka peranannya sebagai universiti penyelidikan mesti dibangun dan disokong setanding dengan cita-cita tersebut.

Masa depan Johor bukan hanya dibina oleh modal dan infrastruktur. Ia dibina oleh ilmu, penyelidikan dan inovasi. Dalam mendukung agenda itu, UTM mempunyai peranan yang tidak boleh diganti.

“Jika Singapura membina kekuatannya berasaskan ilmu dan inovasi, Johor mempunyai peluang untuk membina masa depannya dengan kekuatan yang sama, malah dengan kelebihan sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia yang telah sedia ada. Persoalannya bukan lagi sama ada Johor mampu, tetapi sama ada kita berani memanfaatkan sepenuhnya aset yang telah kita miliki.”

Oleh Prof. Sr. Gs. Dr. Mazlan Hashim, Pengerusi Majlis Profesor UTM

Explore More

UTM Open Day