Peserta program yang melibatkan guru-guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dari daerah Pontian.

Program Brilliant Educator perkasa guru RBT melalui Micro:bit, Reka:bit dan Asas IoT

SDGSDG4SDG8SDG9SDG10

📝 Ringkasan

Program Brilliant Educator telah berlangsung di SMK Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, melibatkan 25 guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dari daerah Pontian. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada guru-guru RBT dalam penggunaan Micro:bit sebagai alat pembelajaran digital. Guru-guru telah didedahkan kepada asas penggunaan Micro:bit, latihan amali, pengenalan Reka:bit dan pengesan, serta pengenalan asas Internet of Things (IoT). Program ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan guru RBT dalam menggunakan teknologi digital sebagai bahan bantu mengajar yang lebih menarik dan interaktif.

PEKAN NANAS, 23 Jun – Program Brilliant Educator yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Rashidah Arsat daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik telah berlangsung  pada 23 Jun 2026 bertempat di SMK Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas. Program sehari ini berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan melibatkan penyertaan seramai 25 orang guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dari daerah Pontian.

Taklimat daripada Prof. Madya Ts. Dr. Rashidah Arsat kepada peserta program
Prof. Madya Ts. Dr. Rashidah Arsat menyampaikan taklimat kepada para peserta

Program ini dianjurkan melalui kerjasama antara Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Pejabat Pendidikan Daerah Pontian dan Kelab UTM IET On Campus. Pelaksanaan program ini turut melibatkan seramai 30 orang pensyarah serta mahasiswa UTM yang berperanan dalam menyokong kelancaran aktiviti latihan, bimbingan teknikal dan pengendalian bengkel. Brilliant Educator merupakan salah satu komponen utama di bawah projek KTP-RIG: Hab Pemerkasaan Pendidikan Digital dan Lestari Pontian, yang dianugerahkan oleh Centre for Community and Industry Network (CCIN), UTM.

Peserta melakukan aktiviti secara amali
Peserta program melakukan aktiviti secara amali

Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada guru-guru RBT dalam penggunaan Micro:bit sebagai salah satu alat pembelajaran digital yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran berasaskan STEM. Melalui program ini, para guru bukan sahaja didedahkan kepada asas penggunaan Micro:bit, malah turut diberi peluang menjalani latihan secara praktikal melalui beberapa aktiviti amali yang telah disusun sepanjang bengkel.

Prof. Madya Dr. You Kok Yeow membantu para peserta membantu peserta melakukan aktiviti amali menggunakan Micro:bit
Prof. Madya Dr. You Kok Yeow membimbing peserta menjalankan aktiviti amali menggunakan Micro:bit

Sepanjang program, peserta telah mengikuti beberapa sesi latihan yang merangkumi proses penjanaan idea, latihan amali menggunakan Micro:bit, pengenalan kepada Reka:bit dan pengesan, serta pengenalan asas kepada Internet of Things (IoT) yang digabungkan dengan penggunaan Micro:bit. Melalui sesi penjanaan idea, guru didedahkan kepada kaedah mengenal pasti masalah, menjana idea penyelesaian dan membangunkan konsep projek yang boleh diaplikasikan dalam konteks pembelajaran murid.

Selain itu, latihan amali Micro:bit memberi peluang kepada peserta untuk memahami asas pengaturcaraan dan fungsi input-output secara lebih praktikal. Guru-guru turut dibimbing untuk menggunakan Reka:bit bersama pengesan bagi membangunkan aplikasi mudah berasaskan projek. Pendedahan kepada konsep IoT pula memberi gambaran awal kepada peserta tentang bagaimana peranti digital, pengesan dan data boleh dihubungkan dalam menghasilkan penyelesaian teknologi yang lebih interaktif dan relevan dengan keperluan semasa.

Program ini memberi ruang guru untuk menerokai pendekatan pengajaran yang lebih kreatif
Guru mengikuti latihan bagi meneroka pendekatan pengajaran yang lebih kreatif

Program ini turut melibatkan seramai 10 orang guru yang pernah menyertai bengkel yang sama pada tahun 2025 sebagai fasilitator. Penglibatan mereka mencerminkan kesinambungan program Brilliant Educator, apabila guru yang telah dilatih pada tahun sebelumnya kini berperanan sebagai pembimbing kepada peserta baharu. Pendekatan ini turut mengukuhkan elemen kelestarian program kerana ilmu yang dipindahkan tidak terhenti pada satu sesi latihan sahaja, sebaliknya dikembangkan melalui penglibatan aktif komuniti guru.

Pelaksanaan Brilliant Educator ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan guru RBT dalam menggunakan teknologi digital sebagai bahan bantu mengajar yang lebih menarik, interaktif dan berasaskan projek. Program ini juga memberi ruang kepada guru untuk meneroka pendekatan pengajaran yang lebih kreatif, selari dengan keperluan pendidikan masa kini yang menekankan kemahiran digital, penyelesaian masalah, pemikiran komputasional dan inovasi.

Program ini dapat membantu meningkatkan keyakinan guru RBT dalam menggunakan teknologi digital
Program ini meningkatkan keyakinan peserta dalam menggunakan teknologi digital

Melalui penganjuran program ini, FKE UTM bersama rakan strategik komited dalam memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti sekolah melalui aktiviti pemindahan ilmu yang memberi impak secara langsung kepada guru dan murid. Inisiatif seperti Brilliant Educator diharapkan dapat menyokong usaha memperkasa pendidikan digital dan STEM di daerah Pontian, khususnya dalam melahirkan ekosistem pembelajaran yang lebih inovatif, lestari dan berdaya saing.

Explore More

UTM Open Day