Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengumumkan siri program “UTM Alumni Connect” untuk memperkukuh jaringan alumni. Program pertama diadakan di Pulau Pinang dan menghimpunkan 36 alumni UTM dari pelbagai generasi dan latar belakang profesional. Naib Canselor menekankan bahawa kekuatan sesebuah universiti tidak hanya diukur melalui kecemerlangan akademik, tetapi juga melalui sumbangan alumni kepada masyarakat, industri dan negara. Beliau juga menggesa alumni untuk memanfaatkan rangkaian UTM untuk meneroka peluang dalam bidang keusahawanan, inovasi dan kelestarian.
PULAU PINANG, 19 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmennya terhadap penglibatan alumni sepanjang hayat menerusi penganjuran UTM Alumni Connect: An Evening with the Vice-Chancellor & Indian Alumni, program julung kali yang menghimpunkan komuniti alumni India UTM dalam satu platform khas bagi mengeratkan hubungan, memperkukuh jaringan serta meneroka kerjasama strategik.
Berlangsung di The Light Hotel, Pulau Pinang, program tersebut merupakan inisiatif Naib Canselor UTM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, yang mahu mendekati sendiri pelbagai komuniti alumni serta mendengar pandangan mereka mengenai bagaimana alumni boleh terus memainkan peranan sebagai rakan strategik universiti.
Seramai 36 alumni UTM telah menghadiri program mewakili pelbagai generasi dan latar belakang profesional. Pertemuan tersebut bukan sahaja mengukuhkan hubungan sesama alumni, malah membuka ruang kepada perkongsian pengalaman, pembinaan jaringan serta penerokaan peluang kerjasama bersama universiti.
Dalam ucapannya, Naib Canselor menegaskan bahawa kekuatan sesebuah universiti bukan sahaja diukur melalui kecemerlangan akademik, malah melalui sumbangan graduannya kepada masyarakat, industri dan negara.
Beliau berkata setiap alumni membawa tiga kekuatan utama yang dibentuk sepanjang perjalanan kehidupan mereka, iaitu pengalaman, persekitaran yang membentuk nilai serta jaringan hubungan yang membuka ruang kepada kolaborasi dan peluang baharu.
“Alumni UTM mesti bangkit dan bangun untuk menerokai kolaborasi dan kerjasama. Kita sudah ada pengalaman yang baik, persekitaran yang bagus dan kawan-kawan yang baik. Kita perlu berbincang bagaimana kita boleh membantu ekonomi dan juga membantu masyarakat.”
Beliau turut menggesa alumni memanfaatkan rangkaian UTM untuk meneroka peluang dalam bidang keusahawanan, inovasi dan kelestarian selaras dengan aspirasi Innovating Sustainable Solutions, di samping memperkukuh budaya saling menyokong dalam kalangan alumni.
“Platform alumni bukan sekadar menghubungkan alumni dengan universiti, tetapi juga menghubungkan alumni sesama alumni. Daripada pertemuan seperti ini, kita berharap akan lahir lebih banyak kerjasama, projek dan peluang yang memberi manfaat kepada masyarakat.”
Semangat tersebut turut dizahirkan oleh alumni UTM, Dineshkumar S. Haridas, Pengasas dan Pengarah Urusan Gajas Putih Group, yang bertindak sebagai tuan rumah majlis.
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi (Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik) dari Fakulti Pendidikan UTM bagi sesi 2004–2008. Bermula sebagai seorang guru sebelum menceburi bidang keusahawanan, beliau kini menerajui GP Group, sebuah syarikat Malaysia yang berkembang dalam sektor penerbangan, kejuruteraan, teknologi maklumat, latihan korporat dan penyelesaian kelestarian dengan rangkaian operasi merentasi Asia.
GP Group turut dikenali sebagai penyedia penyelesaian aircraft livery, marking placards dan aircraft decals kepada syarikat penerbangan termasuk AirAsia. Antara projek yang menjadi kebanggaan beliau ialah penghasilan dan pemasangan livery pesawat AirAsia yang membawa penjenamaan UTM, sekali gus membuktikan bagaimana alumni terus mengangkat nama universiti di pentas antarabangsa.
Berkongsi perjalanan beliau sebagai alumni, Dineshkumar berkata pengalaman sepanjang berada di UTM menjadi asas kepada pembentukan dirinya sebagai seorang usahawan.
“The age of 20 to 24 was a very crucial part of my life. Whatever I learned in UTM, especially communication, leadership and networking, contributed to what I am doing today as an entrepreneur.”
Mesra dengan panggilan “Dinesh”, beliau turut berkongsi bahawa penglibatan aktif dalam Persatuan Mahasiswa Hindu (PMH) telah membuka minda dan menyemai rasa tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat, sekali gus mencerminkan pengalaman pembelajaran holistik yang menjadi antara keistimewaan menuntut di UTM.
Beliau berharap lebih ramai alumni akan terus memperkukuh hubungan dengan universiti, membuka lebih banyak peluang kepada graduan serta menyumbang kembali kepada pembangunan generasi akan datang.
Program tersebut turut menjadi platform perkongsian pengalaman dalam kalangan alumni yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor termasuk industri, keusahawanan, pendidikan dan perkhidmatan awam, sekali gus memperkukuh jaringan profesional serta membuka ruang kepada kolaborasi rentas industri.
Penganjuran UTM Alumni Connect yang turut dihadiri Pengarah (Menjalankan Fungsi) Pusat UTMAlumni, Prof. Madya Dr. Syed Norris Hikmi Abdullah, Ketua Bahagian Penarafan Universiti, Prof. Dr. Suresh Ramakrishnan, serta Timbalan Pendaftar Pusat UTMAlumni, Puan Rohaizan Khairul Anuar, menjadi titik permulaan kepada siri libat urus strategik bersama pelbagai komuniti alumni di dalam dan luar negara.
Dalam sesi tersebut, para alumni turut bersetuju agar satu program khas yang menghimpunkan komuniti “UTM Alumni C-Suite Connect : Penang” dianjurkan dalam masa terdekat sebagai platform memperkukuh jaringan kepimpinan, perkongsian kepakaran serta kerjasama strategik antara alumni dan universiti.
Dengan lebih 257,000 alumni di lebih 100 negara, disokong oleh 22 Global Chapters dan 12 Chapter Negeri dengan kerjasama Persatuan Alumni, UTM terus memperkukuh ekosistem alumninya sebagai aset strategik dalam meningkatkan reputasi global, memperluas jaringan industri serta menyokong kecemerlangan graduan. Melalui inisiatif seperti UTM Alumni Connect, universiti terus mengangkat alumni sebagai rakan strategik dalam merealisasikan aspirasi ASCEND 2030.
“Kekuatan sesebuah universiti bukan sahaja diukur melalui kecemerlangan akademik, tetapi juga melalui sumbangan alumninya kepada masyarakat, industri dan negara.” — YBrs. Profesor Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM.
Alumni UTM, Dineshkumar S. Haridas, berkongsi bagaimana pengalaman di UTM, termasuk penglibatan aktif dalam Persatuan Mahasiswa Hindu (PMH), membentuk nilai kepimpinan, semangat kesukarelawanan dan jaringan yang menjadi pemangkin kejayaannya sebagai usahawan.
Naib Canselor UTM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, meluangkan masa berinteraksi dan mendengar sendiri pandangan para alumni dalam suasana santai, mencerminkan komitmen UTM untuk membina hubungan yang lebih erat, inklusif dan bermakna bersama komuniti alumninya.
UTM Alumni Connect menghimpunkan komuniti alumni India UTM bersama Naib Canselor dalam suasana penuh kemesraan, menandakan permulaan kepada siri libat urus strategik UTM bersama pelbagai komuniti alumni di dalam dan luar negara.