Menteri Pendidikan Tinggi saksikan UTM terajui teknologi komputer kuantum negara sempena Semarak Kampus UTM

SDGSDG4SDG8SDG9SDG17

📝 Ringkasan

Menteri dan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi telah mengadakan kunjungan rasmi ke Fakulti Sains UTM bagi menyaksikan perkembangan teknologi komputer kuantum yang diterajui UTM, termasuk kepakaran penyelidikan serta jaringan antarabangsa yang dibangunkan sejak hampir dua dekad. Melalui kerjasama strategik dengan institusi di Jepun, pakar dari UTM berjaya memperoleh akses khas kepada penggunaan komputer kuantum Jepun secara dalam talian. Kerjasama UTM di Singapura pula telah menghasilkan cip kuantum, sistem kawalan komputer kuantum dan penubuhan AQSolotl Pte Ltd., sebuah syarikat hiliran yang lahir daripada kolaborasi bersama ekosistem kuantum Singapura. Pencapaian ini meletakkan UTM pada landasan kukuh untuk memperkasakan pembangunan teknologi komputer kuantum negara, dengan usaha kini tertumpu kepada melengkapkan infrastruktur utama, termasuk sistem penyejukan dilution refrigerator.

JOHOR BAHRU, 3 Julai – Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, telah mengadakan kunjungan rasmi ke Makmal Komputer Kuantum di Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menyaksikan sendiri usaha universiti itu dalam menerajui pembangunan teknologi komputer kuantum negara.

Delegasi yang turut diiringi Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, barisan pengurusan tertinggi universiti serta ahli Lembaga Pengarah Universiti itu disambut oleh pengurusan fakulti, para pensyarah dan staf, serta pelajar-pelajar Fakulti Sains.

Menteri bergambar bersama di Quantum Wall  yang memaparkan sfera Bloch serta penerangan tentang teknologi komputer kuantum

Sepanjang lawatan tersebut, Dr. Yap Yung Szen telah memberikan penerangan mengenai pencapaian dan peranan UTM dalam pembangunan teknologi komputer kuantum di Malaysia. Beliau turut berkongsi pengiktirafannya sebagai salah seorang Quantum100 sempena International Year of Quantum Science and Technology 2025 anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), yang mengiktiraf hanya 100 individu di seluruh dunia.

Anugerah Quantum 100 sempena International Year of Quantum Science and Technology 2025 anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)

Antara teknologi yang dipamerkan adalah komputer kuantum 1-qubit berasaskan electron spin resonance yang sedang dibangunkan sepenuhnya di UTM. Turut dipamerkan adalah cip kuantum 1-qubit dan 10-qubit serta sistem kawalan komputer kuantum hasil kolaborasi dengan ekosistem kuantum Singapura.

Komputer kuantum 1-qubit berasaskan electron spin resonance yang sedang dibangunkan sepenuhnya di UTM
Cip kuantum 1-qubit dan 10-qubit serta sistem kawalan komputer kuantum hasil kolaborasi dengan ekosistem kuantum Singapura

Berbekal pengalaman, kepakaran dan jaringan antarabangsa hampir 20 tahun, pasukan UTM merupakan pakar rujuk tunggal dalam teknologi komputer kuantum di Malaysia. 

Pasukan ini telah memberi input dan khidmat nasihat kepada pelbagai kementerian dan agensi di Malaysia seperti Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Digital, MyDIGITAL Corporation dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); Kementerian Ekonomi; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MIMOS Berhad; Akademi Sains Malaysia (ASM); Bank Negara Malaysia (BNM); Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA); Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM); serta beberapa agensi strategik lain.

UTM juga telah menjalinkan kerjasama dengan ekosistem kuantum Jepun sejak 2009 dan Singapura sejak 2018. Kerjasama penyelidikan bersama Jepun membolehkan staf dan pelajar UTM memperoleh kelulusan khas kawalan eksport untuk mengakses serta menggunakan komputer kuantum di Pusat Maklumat Kuantum dan Biologi Kuantum (QIQB), Jepun secara dalam talian bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan.

Kerjasama dengan Singapura pula telah menghasilkan beberapa pencapaian penting seperti penubuhan pejabat penyelidikan dan pembanguan AQSolotl Pte Ltd. di UTM sebagai syarikat pengeluar sistem kawalan komputer kuantum (quantum computer controller) pertama di Malaysia. 

Selain itu, kolaborasi di Singapura juga melibatkan pembangunan cip kuantum dan sistem kawalan komputer kuantum, sekali gus memperkukuhkan kedudukan universiti sebagai peneraju penyelidikan komputer kuantum negara. Bagi melengkapkan pembangunan komputer kuantum sepenuhnya, antara komponen utama yang masih diperlukan ialah sistem penyejuk dilution refrigerator, iaitu peralatan kritikal yang membolehkan komputer kuantum beroperasi pada suhu ultra rendah.

Dengan sokongan berterusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam aspek pembangunan infrastruktur, pembangunan bakat dan pengoperasian, UTM berpotensi memainkan peranan yang lebih besar dalam memperkukuh pembangunan teknologi komputer kuantum negara serta meletakkan Malaysia sebagai antara pemain utama dalam bidang teknologi kuantum di peringkat serantau.

Explore More

UTM Open Day