Mahasiswa UTM semarak syiar Islam menerusi Jom Imarah Masjid 2026

SDGSDG4SDG8SDG11SDG16

📝 Ringkasan

Program Jom Imarah Masjid 2026 di Masjid Al-Jawahir, Johor Bahru, telah berjaya menyemarakkan syiar Islam dan memperkasa peranan institusi masjid dalam kalangan generasi muda. Program dua hari itu melibatkan 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Rini dan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini termasuk aktiviti pembangunan diri, gotong-royong membersihkan kawasan masjid dan majlis penutup. Program ini berjaya mencapai matlamatnya dalam memupuk penghayatan nilai Islam, semangat kesukarelawanan dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda.

JOHOR BAHRU, 13 Jun – Bagi menyemarakkan syiar Islam serta memperkasa peranan institusi masjid dalam kalangan generasi muda, sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada kursus ULRF2342 dengan sokongan dana penuh daripada Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) UTM telah menganjurkan program khidmat komuniti Jom Imarah Masjid 2026 di Masjid Al-Jawahir, Mutiara Rini, Johor Bahru.

Mahasiswa UTM dan peserta program mengimarahkan Masjid Al-Jawahir menerusi qiamulail berjemaah sebagai pengisian kerohanian dalam Program Jom Imarah Masjid 2026

Program selama dua hari itu melibatkan penyertaan seramai 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini dan dirancang bagi mendekatkan golongan remaja dengan institusi masjid menerusi pendekatan yang interaktif, santai serta sarat dengan pengisian kepimpinan, kerohanian dan pembangunan sahsiah.

Program dimulakan dengan sesi pembahagian kumpulan dan ice breaking yang dikendalikan oleh barisan fasilitator UTM bagi mewujudkan suasana mesra dalam kalangan peserta. Walaupun pada peringkat awal peserta lebih cenderung berinteraksi dalam kelompok sekolah masing-masing, pendekatan fasilitator yang dinamik menerusi aktiviti berkumpulan dan sorakan semangat berjaya membina keyakinan serta menggalakkan interaksi yang lebih erat antara peserta.

Seterusnya, peserta mengikuti modul Eksplorasi Minda (Explorace) yang diadakan di sekitar kawasan masjid. Modul tersebut menggabungkan elemen pengetahuan agama dan pengurusan masjid dengan cabaran fizikal yang menguji kemahiran kerja berpasukan, komunikasi, penyelesaian masalah serta ketahanan mental dan fizikal.

Pelajar SMK Mutiara Rini menyertai aktiviti Eksplorasi Minda yang menguji kemahiran kerja berpasukan, komunikasi dan daya fokus menerusi pelbagai cabaran interaktif

Selain aktiviti pembangunan diri, program turut menekankan semangat kesukarelawanan menerusi aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid. Mahasiswa UTM bersama pelajar SMK Mutiara Rini berganding bahu membersihkan ruang dalaman dan persekitaran masjid, termasuk menyusun serta mengemas rak buku bagi meningkatkan keselesaan jemaah.

Usaha tersebut mendapat penghargaan daripada Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Jawahir yang menyifatkan kerjasama antara mahasiswa dan peserta berjaya memberikan impak positif terhadap persekitaran masjid dalam tempoh yang singkat.

Mahasiswa UTM bersama pelajar SMK Mutiara Rini bergotong-royong membersihkan kawasan Masjid Al-Jawahir sebagai manifestasi semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab terhadap institusi masjid
Pengarah Program Jom Imarah Masjid 2026 menyampaikan ucapan penutup sebagai simbol penghargaan kepada peserta dan semua pihak yang menjayakan program

Program diakhiri dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah yang berlangsung di dewan utama masjid. Walaupun berlaku beberapa perubahan pada jadual program, kecekapan jawatankuasa pelaksana dalam menguruskan pelaksanaan aktiviti memastikan keseluruhan program berjalan lancar. Majlis turut diserikan dengan ucapan penutup daripada Pengarah Program serta penghargaan daripada Pengerusi Masjid Al-Jawahir kepada semua pihak yang menjayakan program.

Secara keseluruhannya, Jom Imarah Masjid 2026 berjaya mencapai matlamatnya dalam memupuk penghayatan nilai Islam, semangat kesukarelawanan dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda. Program ini turut mencerminkan komitmen berterusan mahasiswa UTM dalam menerajui inisiatif khidmat komuniti yang memberi impak positif kepada masyarakat, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang menyumbang kepada pembangunan komuniti dan pembinaan masyarakat madani.

Explore More

UTM Open Day