Langkah kanan 600 mahasiswa baharu UTM KL, pacu graduan berdaya saing global

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Minggu Mesra Mahasiswa (3M) UTM Kuala Lumpur sesi 2026/2027 berakhir dengan majlis penutupan yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Majlis tersebut menandakan permulaan perjalanan akademik dan pembangunan diri bagi lebih 600 pelajar baharu. Naib Canselor UTM menitipkan pesanan agar pelajar tidak mengehadkan potensi diri pada kecemerlangan akademik semata-mata dan mengasah kemahiran berfikir secara kritis serta memiliki daya saing yang tinggi.

KUALA LUMPUR, 13 Jul – Fasa transisi alam persekolahan ke menara gading bagi lebih 600 pelajar baharu program Diploma dan Asasi sesi 2026/2027 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur bermula dengan langkah kanan apabila Minggu Mesra Mahasiswa (3M) bagi sesi 2026/2027 berakhir hari ini.

Kemuncak program suai kenal tersebut telah disempurnakan melalui Majlis Ramah Mesra Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM bersama Pelajar Baharu yang berlangsung di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur. Sesi ambilan kali ini turut memperlihatkan kehadiran pelajar tempatan dan antarabangsa yang memilih UTM sebagai destinasi pengajian mereka.

Naib Canselor UTM menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutupan Minggu Mesra Mahasiswa UTM Kuala Lumpur sesi 2026/2027

Lebih menarik, sesi kali ini turut mencatat satu pencapaian baharu apabila Program Asasi Sains Fizikal Dengan Pensijilan Bahasa Jepun secara rasminya menerima 38 orang pelajar bagi ambilan pertama mereka di Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM Kuala Lumpur. Kehadiran kumpulan perintis ini di bawah payung MJIIT mencerminkan komitmen UTM dalam menawarkan program bertaraf global yang memenuhi kehendak industri antarabangsa sejak dari peringkat asasi lagi.

Majlis tersebut bukan sekadar penutup program orientasi, malah menjadi platform perkongsian visi dan aspirasi universiti kepada pelajar baharu oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry. Dalam amanatnya, beliau menitipkan pesanan mendalam agar para pelajar tidak mengehadkan potensi diri pada kecemerlangan akademik semata-mata.

“Mahasiswa UTM perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan, khususnya membina semangat kepimpinan yang tinggi dalam menangani serta mengurus krisis dan cabaran yang datang dari semasa ke semasa,” tegas beliau.

Sembang Santai bersama Pelajar Baharu UTM Kuala Lumpur

Mengulas mengenai pasaran kerjaya masa kini yang semakin mencabar, beliau turut menyeru para pelajar agar mengasah kemahiran berfikir secara kritis dan memiliki daya saing yang tinggi. Jelas beliau, acuan pemikiran seperti ini amat penting bagi memastikan mereka bukan sahaja berpeluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, malah mampu menembusi pasaran kerja di syarikat bertaraf antarabangsa dengan peluang kerjaya dan pendapatan yang kompetitif.

Sesi Soal Jawab Bersama Pelajar Baharu

Kehadiran barisan pengurusan tertinggi universiti pada majlis tersebut mencerminkan komitmen UTM dalam menyokong kebajikan dan pembangunan pelajar.

Majlis penuh bermakna ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; dan Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad.

Naib Canselor, Pengurusan Tinggi dan Pegawai-Pegawai Kanan UTM bersama Pelajar Baharu

Secara keseluruhannya, penutupan Minggu Mesra Mahasiswa (3M) menandakan permulaan perjalanan akademik dan pembangunan diri bagi pelajar baharu UTM Kuala Lumpur. Melalui penekanan terhadap aspek kepimpinan, pengurusan krisis, pembangunan sahsiah serta pendedahan kepada persekitaran pembelajaran bertaraf antarabangsa seperti di MJIIT, UTM Kuala Lumpur terus komited dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Sesi Ikrar Pelajar Baharu dipimpin oleh Imtiaz Naufal, Pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik

Explore More

UTM Open Day