Kepimpinan pelajar bentuk pemimpin masa depan yang cemerlang dan sejahtera

SDGSDG4SDG8SDG16

📝 Ringkasan

Kepimpinan pelajar membentuk pemimpin masa depan yang cemerlang dan sejahtera dengan meningkatkan keyakinan diri, rasa tanggungjawab, dan kemampuan berkomunikasi. Pengalaman memimpin juga meningkatkan kemampuan menghadapi cabaran, menghargai kepelbagaian, dan memahami perspektif orang lain. Kepimpinan pelajar juga membentuk daya tahan dan kemampuan mengurus tekanan, serta membantu graduan menghadapi alam pekerjaan dengan kemampuan berkomunikasi, menyelesaikan masalah, dan bekerjasama.

Kepimpinan sering dikaitkan dengan keupayaan memimpin organisasi, membuat keputusan dan mempengaruhi orang lain. Namun, dalam konteks universiti, kepimpinan pelajar merupakan proses pembelajaran yang membentuk sahsiah, meningkatkan keyakinan diri dan memupuk semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat. Pengalaman memimpin persatuan, mengurus program kesukarelawanan, menganjurkan aktiviti universiti atau mewakili suara rakan memberi peluang kepada pelajar menjadi lebih matang, bertanggungjawab dan berkeyakinan.

Kehidupan di universiti menawarkan banyak peluang untuk berkembang, tetapi turut hadir dengan pelbagai cabaran. Pelajar perlu memberikan komitmen terhadap pembelajaran, menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, membina hubungan sosial, mengurus kewangan dan merancang kerjaya. Bagi pelajar yang memegang jawatan kepimpinan, tanggungjawab menjadi lebih besar kerana mereka perlu membahagikan masa antara kuliah, tugasan, mesyuarat, program dan harapan rakan serta pihak universiti. Walaupun mencabar, pengalaman ini menjadi medan penting untuk membina kematangan emosi dan perkembangan diri.

Salah satu manfaat utama kepimpinan dalam kalangan pelajar adalah pembentukan rasa tanggungjawab dan tujuan yang lebih jelas. Pemimpin pelajar bukan sahaja memikirkan pencapaian akademik sendiri, tetapi turut berusaha meningkatkan pengalaman rakan dan kehidupan kampus. Mereka merancang aktiviti, membantu menyelesaikan masalah, menjadi penghubung antara pelajar dengan universiti dan menyumbang kepada komuniti. Apabila usaha mereka memberi manfaat kepada orang lain, mereka turut memperoleh kepuasan, motivasi dan makna yang lebih mendalam.

Pengalaman memimpin juga meningkatkan keyakinan diri. Pada peringkat awal, sesetengah pelajar mungkin berasa gementar ketika berucap, mempengerusikan mesyuarat atau membuat keputusan, tetapi setiap cabaran yang berjaya diatasi meningkatkan kepercayaan terhadap kebolehan diri. Lama-kelamaan, mereka lebih berani menyuarakan pandangan, berkomunikasi dan menghadapi situasi mencabar. Keyakinan ini menjadi aset penting bukan sahaja semasa pengajian, tetapi juga apabila memasuki alam pekerjaan.

Selain itu, kepimpinan mengajar pelajar menghargai kepelbagaian dan memahami perspektif orang lain. Universiti menghimpunkan individu daripada pelbagai latar belakang, budaya, agama dan pengalaman hidup. Pemimpin yang baik perlu mendengar sebelum membuat keputusan, memahami keperluan ahli, menghormati perbezaan pandangan dan mencari penyelesaian yang memberi manfaat bersama. Pengalaman ini membina empati, toleransi dan kemahiran interpersonal yang penting dalam kehidupan bermasyarakat dan dunia pekerjaan.

Kepimpinan turut membentuk daya tahan (resilience) pelajar. Tidak semua program berjalan seperti dirancang; kekurangan penyertaan, masalah kewangan, konflik dalam pasukan dan perubahan pada saat akhir boleh berlaku. Keadaan ini mengajar pelajar supaya tidak mudah berputus asa, sebaliknya kekal tenang, berfikir secara kreatif, mencari penyelesaian dan bangkit daripada kegagalan. Pada masa yang sama, mengimbangi akademik dengan tugas kepimpinan memerlukan disiplin dan pengurusan masa yang baik, di mana pelajar belajar menetapkan keutamaan, menyusun jadual dan melaksanakan tanggungjawab mengikut masa.

Walau bagaimanapun, kepimpinan juga boleh menjadi sumber tekanan jika tidak diurus dengan baik. Pemimpin sering merasakan dirinya bertanggungjawab terhadap kejayaan program dan kesejahteraan ahli pasukan, sementara kebimbangan terhadap kegagalan, konflik organisasi atau harapan orang lain boleh menyebabkan keletihan mental dan mengurangkan motivasi. Oleh itu, universiti mempunyai tanggungjawab memastikan pembangunan kepimpinan disertai sokongan terhadap kesejahteraan pelajar.

Dalam hal ini, program kepimpinan tidak seharusnya hanya menekankan pengurusan organisasi dan pelaksanaan aktiviti. Elemen kecerdasan emosi, pengurusan tekanan, komunikasi, penyelesaian konflik, keseimbangan kehidupan dan penjagaan kesejahteraan turut perlu diberi perhatian. Pelajar juga perlu memahami bahawa mendapatkan bantuan daripada pensyarah, mentor, kaunselor atau rakan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya satu langkah bijak untuk menjaga diri.

Persekitaran universiti yang menyokong turut memainkan peranan penting. Pensyarah yang memberi galakan, pegawai hal ehwal pelajar yang membantu dan mentor yang berkongsi pengalaman dapat meningkatkan keyakinan pemimpin pelajar. Sokongan rakan sebaya juga penting kerana mereka memahami tekanan dan tanggungjawab yang sama, manakala budaya saling membantu, berkongsi pengalaman dan memberi dorongan dapat mengurangkan tekanan serta membina komuniti kepimpinan yang lebih kukuh. Kepimpinan bukan tentang melakukan segala-galanya seorang diri, tetapi membina pasukan yang saling mempercayai dan bekerjasama.

Justeru, peluang kepimpinan perlu diberikan secara inklusif supaya lebih ramai pelajar dapat belajar menerusi pengalaman sebenar. Universiti boleh menyediakan latihan berperingkat, bimbingan berterusan dan ruang refleksi selepas sesuatu program. Refleksi ini penting kerana pelajar bukan sekadar melakukan tugasan, tetapi turut memahami perkara yang dipelajari daripada kejayaan, kesilapan dan interaksi dengan orang lain.

Dengan pendekatan sedemikian, pengalaman kepimpinan dapat diterjemahkan kepada pembelajaran yang lebih bermakna dan membina kesedaran tentang kekuatan serta ruang penambahbaikan diri. Pada akhirnya, pelajar bukan sahaja tahu bagaimana memimpin orang lain, tetapi juga tahu memimpin diri sendiri dengan nilai, disiplin dan keseimbangan yang baik.

Pengaruh pemimpin pelajar turut melangkaui organisasi yang dipimpinnya. Sikap hormat, amanah, bertanggungjawab dan prihatin boleh menjadi contoh kepada rakan-rakan serta membantu membentuk budaya kampus yang lebih positif, inklusif dan selamat. Pengalaman ini turut menyediakan graduan menghadapi alam pekerjaan, memandangkan majikan memerlukan individu yang mampu berkomunikasi, menyelesaikan masalah, bekerjasama dan menyesuaikan diri dengan perubahan. Kemahiran tersebut dapat dipupuk menerusi pengalaman kepimpinan, manakala kesedaran terhadap kesejahteraan diri membantu graduan mengurus tekanan dan mengekalkan keseimbangan kehidupan.

Keupayaan memimpin diri sendiri menjadi asas kepada kepimpinan yang berkesan, lestari dan berteraskan nilai kemanusiaan dalam kehidupan dan pekerjaan. Justeru, universiti perlu melihat kepimpinan pelajar sebagai sebahagian daripada pendidikan holistik, bukan sekadar aktiviti kokurikulum atau peluang memegang jawatan. Kepimpinan ialah platform untuk membentuk individu yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga matang dari segi emosi, berintegriti, berdaya tahan dan prihatin terhadap orang lain.

Kesimpulannya, kejayaan pemimpin pelajar tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program atau jawatan semata-mata, sebaliknya kejayaan sebenar terletak pada perubahan positif dalam diri mereka sepanjang memikul amanah. Apabila pembangunan kepimpinan digabungkan dengan kesejahteraan, universiti dapat melahirkan graduan yang yakin, berakhlak, berdaya tahan dan bersedia memimpin serta menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara.

 

 

Oleh Prof. Madya Dr. Jamilah Ahmad, Prof. Madya Dr. Hanifah Jambari, dan Dr. Ariff Hidayat Osman

Explore More

UTM Open Day