Kepimpinan adaptif kunci kejayaan pemimpin pendidikan hadapi dunia berubah

SDGSDG4SDG8SDG9SDG16

📝 Ringkasan

Pemimpin pendidikan perlu memiliki kepimpinan adaptif untuk menghadapi cabaran yang semakin kompleks dalam dunia pendidikan. Kepimpinan adaptif melibatkan kemampuan pemimpin untuk menghadapi cabaran yang tidak dapat diselesaikan dengan pengetahuan sedia ada dan memimpin organisasi untuk menyesuaikan diri dengan cabaran baharu. Pemimpin adaptif perlu memiliki kemampuan untuk membezakan antara cabaran teknikal dan cabaran adaptif, serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan budaya kerja yang menggalakkan warga organisasi menyumbang idea dan berkongsi pengalaman.

Dalam dunia yang semakin kompleks dan pantas berubah, kepimpinan tidak lagi diukur semata-mata berdasarkan kedudukan, kepakaran atau keupayaan membuat keputusan dengan cepat. Pemimpin abad ke-21 ialah mereka yang menyedari bahawa mereka tidak perlu memiliki semua jawapan, sebaliknya perlu bijak mengemukakan soalan yang tepat, mendengar pelbagai pandangan dan menggerakkan warga organisasi mencari penyelesaian secara bersama. Pendekatan ini menjadi asas kepada kepimpinan adaptif, iaitu model kepimpinan yang semakin penting bagi memastikan organisasi pendidikan kekal relevan, berdaya tahan dan mampu berkembang dalam era penuh ketidaktentuan.

Sistem pendidikan Malaysia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu. Perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), perubahan landskap pekerjaan, isu kesejahteraan mental warga pendidikan, serta peningkatan jangkaan masyarakat terhadap kualiti pendidikan menuntut pemimpin sekolah dan institusi pengajian tinggi mengubah cara mereka memimpin. Pendekatan tradisional yang terlalu bergantung kepada prosedur, hierarki dan arahan semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menangani cabaran yang semakin kompleks.

Konsep kepimpinan adaptif yang diperkenalkan oleh Prof. Ronald Heifetz dan Martin Linsky dari Universiti Harvard menawarkan pendekatan yang lebih sesuai bagi menangani cabaran ini. Kepimpinan adaptif bukan sekadar menyelesaikan masalah menggunakan pengetahuan sedia ada, sebaliknya membimbing organisasi menyesuaikan diri dengan cabaran baharu yang belum mempunyai penyelesaian yang jelas, dengan pemimpin bertindak sebagai pemudah cara yang menggalakkan pembelajaran berterusan, inovasi dan kerjasama dalam kalangan semua pihak berkepentingan.

Perbezaan penting dalam kepimpinan adaptif ialah keupayaan pemimpin membezakan cabaran teknikal dan cabaran adaptif. Cabaran teknikal mempunyai penyelesaian yang jelas dan boleh ditangani menerusi kepakaran, garis panduan atau prosedur sedia ada, misalnya menaik taraf sistem pengurusan sekolah, mengemas kini perisian pembelajaran atau melaksanakan dasar baharu mengikut pekeliling.

Sebaliknya, cabaran adaptif lebih rumit kerana melibatkan perubahan budaya kerja, pemikiran, nilai, tingkah laku dan sikap warga organisasi. Meningkatkan motivasi guru, mengurangkan tekanan kerja, membudayakan penggunaan AI, memperkukuh kesejahteraan mental murid dan meningkatkan kolaborasi sekolah dengan komuniti tidak dapat diselesaikan melalui arahan semata-mata, sebaliknya memerlukan komunikasi, penglibatan dan kesediaan semua pihak untuk belajar serta berubah bersama-sama.

Dalam konteks pendidikan Malaysia, kepimpinan adaptif semakin signifikan. Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), transformasi digital, pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), agenda pendigitalan universiti, pembelajaran hibrid dan penggunaan AI dalam bilik darjah menuntut pemimpin pendidikan memiliki fleksibiliti yang tinggi. Pengetua, guru besar, dekan, ketua jabatan dan pengurusan universiti perlu berupaya memimpin perubahan dengan pantas tanpa mengabaikan kesejahteraan guru, pensyarah dan pelajar.

Pemimpin adaptif memahami bahawa kejayaan organisasi tidak bergantung kepada seorang individu, sebaliknya mereka membina budaya kerja yang menggalakkan warga organisasi menyumbang idea, berkongsi pengalaman dan bekerjasama menyelesaikan masalah. Mereka turut mewujudkan persekitaran yang selamat dari segi psikologi supaya guru, pensyarah, kakitangan dan pelajar berani mengemukakan pandangan tanpa takut dikritik atau dipersalahkan, sekali gus merangsang kreativiti, meningkatkan kepercayaan dan mengukuhkan daya tahan organisasi.

Salah satu ciri utama kepimpinan adaptif ialah penekanan terhadap pembelajaran sepanjang hayat. Pemimpin melihat perubahan bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai peluang meningkatkan kompetensi diri dan organisasi. Mereka menggalakkan percubaan idea baharu, menerima kemungkinan kegagalan sebagai sebahagian daripada pembelajaran, dan bersedia menyesuaikan strategi berdasarkan situasi semasa. Pengalaman Malaysia ketika pandemik COVID-19 membuktikan kepentingan pendekatan ini apabila institusi pendidikan terpaksa beralih daripada pengajaran bersemuka kepada pembelajaran dalam talian dalam tempoh yang singkat, dengan keupayaan guru, pensyarah dan pemimpin menyesuaikan diri, mempelajari teknologi baharu serta saling membantu menjadi faktor penting dalam memastikan kesinambungan pendidikan.

Namun, kepimpinan adaptif bukanlah sesuatu yang mudah dilaksanakan. Penolakan terhadap perubahan sering berlaku apabila warga organisasi selesa dengan cara kerja lama atau bimbang terhadap pertambahan tanggungjawab. Pemimpin adaptif tidak melihat penolakan ini sebagai halangan semata-mata, sebaliknya menyediakan ruang dialog, mendengar kebimbangan dan menjelaskan rasional perubahan secara telus. Komunikasi yang jelas dan konsisten dapat meningkatkan rasa memiliki serta mengukuhkan komitmen terhadap perubahan.

Dalam dunia yang bergerak pantas, pemimpin juga perlu mengelakkan kelumpuhan dalam membuat keputusan (decision paralysis), memandangkan keputusan yang baik dan dibuat pada masa yang tepat sering lebih berkesan berbanding menunggu penyelesaian yang sempurna. Pemimpin adaptif membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tersedia, memantau pelaksanaannya dan melakukan penambahbaikan apabila keadaan berubah.

Pada masa yang sama, kesejahteraan pemimpin sendiri tidak boleh diabaikan, kerana beban tugas, tekanan memenuhi indikator prestasi dan tuntutan transformasi organisasi boleh menjejaskan kesejahteraan mereka. Oleh itu, pemimpin adaptif perlu mengimbangi tuntutan kerja dengan kehidupan peribadi agar mampu memimpin secara berkesan dan mampan.

Secara keseluruhannya, amalan kepimpinan adaptif dapat meningkatkan kerjasama, budaya inovasi, penglibatan warga organisasi dalam membuat keputusan, penyelesaian masalah dan daya tahan institusi. Dalam era AI, ekonomi digital dan persaingan global, keupayaan untuk belajar, menyesuaikan diri dan berinovasi akan menjadi penentu kejayaan organisasi pendidikan.

Kesimpulannya, kepimpinan adaptif bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan dalam membentuk sistem pendidikan Malaysia yang dinamik, lestari dan bertaraf dunia. Pemimpin masa hadapan bukanlah mereka yang memiliki semua jawapan, tetapi mereka yang mampu menggerakkan kebijaksanaan kolektif, membina kepercayaan dan mewujudkan budaya pembelajaran berterusan. Dengan mengamalkan kepimpinan adaptif, pemimpin pendidikan akan lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan masa hadapan serta melahirkan generasi yang berdaya saing, inovatif dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Explore More

UTM Open Day