📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) Kuala Lumpur meraih dua Anugerah Emas dan satu Anugerah Perak di Seminar Inovasi Makmal Peringkat Kebangsaan (NaLIS) 2026. Pencapaian ini dicapai menerusi penyertaan tiga kertas kerja inovasi yang membentangkan inovasi pengurusan makmal UTM di peringkat kebangsaan. Kejayaan ini membuktikan komitmen UTM dalam memperkasa budaya inovasi dan kecemerlangan pengurusan makmal.
KUALA TERENGGANU, 21 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Kampus Kuala Lumpur melalui Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) Kuala Lumpur mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih dua Anugerah Emas dan satu Anugerah Perak menerusi penyertaan tiga kertas kerja inovasi pada Seminar Inovasi Makmal Peringkat Kebangsaan (NaLIS) 2026.
Seminar bertemakan “Kecerdasan Buatan (AI) Menghubungkan Inovasi Makmal” itu dianjurkan oleh Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 20 hingga 21 Julai 2026 di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu.

Seminar tersebut menghimpunkan inovator dalam pelbagai bidang, termasuk kualiti, teknikal, pengurusan dan keselamatan makmal. Seramai 24 inovator daripada pelbagai institusi pengajian tinggi dan organisasi di seluruh negara mengambil bahagian, antaranya Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sunway University, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan UMT.
Penyertaan PPMU Kuala Lumpur bertujuan mengetengahkan inovasi pengurusan makmal UTM di peringkat kebangsaan, di samping memperkukuh jaringan kerjasama strategik dengan institusi lain. Kejayaan tersebut disumbangkan menerusi pembentangan oleh Dr. Muhammad Aizi Mat Salim dan Mohd Nor Azsuan Mohd Yaacob dengan sokongan ahli kumpulan, Ts. Mohd Hazri Ishak dan Ahmad Fadhli Mohd Suhaimi.

UTM meraih dua Anugerah Emas menerusi inovasi VISION BOARD: Pelaporan Data/Rekod Berpusat PPMUKL Menggunakan Google Looker Studio (GLS) dan Inovasi Rangka Kerja Kompetensi LVSEM Memantapkan Kualiti dan Kebolehpercayaan Perkhidmatan Analisis Makmal Melalui Kerjasama Maritim.
Selain itu, satu Anugerah Perak dimenangi menerusi inovasi bertajuk Generation of Ultrafast Erbium-Doped Fiber Laser (EDFL) Technology Using Graphene Thin Film for Photonic Applications.
Kejayaan kontinjen UTM turut disokong oleh kehadiran Pengarah Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Kampus Kuala Lumpur, Prof. Ir. Dr. Muhamad Ali Muhammad Yuzir, yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan sepanjang seminar berlangsung.

Mengulas kejayaan tersebut, Prof. Ir. Dr. Muhamad Ali Muhammad Yuzir menzahirkan penghargaan terhadap komitmen pasukan yang berjaya mengharumkan nama universiti.
“Kejayaan meraih dua Anugerah Emas dan satu Anugerah Perak membuktikan keupayaan warga pengurusan makmal UTM dalam menghasilkan inovasi yang berimpak tinggi. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kecemerlangan dan integriti perkhidmatan makmal pada masa hadapan,” katanya.

Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan UTM dalam memperkasa budaya inovasi dan kecemerlangan pengurusan makmal. Inovasi yang dihasilkan dijangka menyumbang kepada pemantapan pengurusan data makmal secara digital, meningkatkan kualiti serta kebolehpercayaan perkhidmatan analisis, di samping memperkukuh amalan keselamatan makmal berteraskan teknologi terkini. Kejayaan ini sekali gus memperkukuh peranan UTM sebagai institusi yang terus memacu inovasi dan kecemerlangan penyelidikan di peringkat kebangsaan.