UTMCC rangkul Pusat Kerjaya Terbaik Universiti Awam dan Anugerah Bekerja Graduan

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Pusat Kerjaya Universiti Teknologi Malaysia (UTMCC) telah dinobatkan sebagai Pusat Kerjaya Terbaik Universiti Awam dalam Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). UTMCC juga menerima Anugerah Bekerja Graduan, mencerminkan keberkesanan strategi universiti dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan dan memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

GERIK, 5 Jun – Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Pusat Kerjaya Terbaik Universiti Awam dalam Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan sempena Bengkel Analisis Data Kebolehpasaran Graduan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang berlangsung pada 5 Jun 2026 di Royal Belum Resort.

Anugerah yang diperkenalkan buat julung kali itu telah disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa. Pengiktirafan tersebut mencerminkan kejayaan UTMCC dalam melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang memberi impak signifikan terhadap pembangunan kerjaya pelajar, peningkatan kebolehpasaran graduan serta pengukuhan jaringan kerjasama dengan industri.

Wakil Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) bersama dua anugerah yang dimenangi dalam Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan anjuran KPT di Royal Belum Resort, Gerik
Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa, menyampaikan ucapan dalam Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan 2026

Dalam majlis yang sama, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut menerima Anugerah Bekerja Graduan, selaras dengan pencapaian cemerlang universiti dalam memastikan sebahagian besar graduan memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian. Pengiktirafan ini mencerminkan keberkesanan strategi UTM dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan serta memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

Piala dan sijil Anugerah Pusat Kerjaya Terbaik Universiti Awam 2025 yang diterima oleh UTMCC

Sepanjang tahun 2025, UTMCC telah melaksanakan pelbagai program pembangunan kerjaya secara menyeluruh, termasuk peningkatan kemahiran, penawaran peluang latihan industri, penyediaan peluang pekerjaan serta pelaksanaan program intervensi kerjaya yang tersusun dan berfasa. Pendekatan yang lebih strategik dan berorientasikan industri ini berjaya menarik penyertaan pelbagai organisasi tempatan dan antarabangsa, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada graduan UTM.

Dalam tempoh yang sama, UTMCC turut mencatat beberapa kejayaan signifikan, termasuk penganjuran Karnival Kerjaya Premium (UTMPearl) dengan penyertaan syarikat multinasional berskala besar, penganjuran Karnival Kerjaya peringkat nasional yang mendapat pengiktirafan Malaysian Book of Records (MBOR), pencapaian sebagai naib johan LAWA Award anjuran Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), serta pelaksanaan kerjasama strategik bersama industri dalam penawaran sijil profesional kepada pelajar dan graduan sebagai nilai tambah kebolehpasaran. UTMCC juga konsisten menerima kunjungan penanda aras daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebagai platform perkongsian amalan terbaik serta usaha penambahbaikan berterusan dalam pengurusan kebolehpasaran graduan (GE).

Piala dan sijil Anugerah Kadar Bekerja Graduan (100%) Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2025 Universiti Awam yang turut diraih oleh UTM

UTMCC turut memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa melalui program kerjasama global. Pada Oktober 2025, UTMCC telah melaksanakan kunjungan fizikal ke China melibatkan dua syarikat utama, iaitu Wuxi Unicomp Technology Co. Ltd. dan Jiangsu Longda Superalloy Co. Ltd., bagi memperkukuh hubungan strategik dalam bidang latihan, pembangunan bakat serta penempatan pekerjaan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen UTMCC dalam memperluaskan akses pelajar dan graduan kepada peluang kerjaya bertaraf antarabangsa.

Komitmen berterusan ini diterjemahkan melalui peningkatan konsisten peratusan graduan yang memperoleh pekerjaan berpendapatan premium dan berkemahiran tinggi dari tahun ke tahun. Malah, UTM berjaya merekodkan pencapaian tertinggi bagi kategori tersebut selama tiga tahun berturut-turut dalam kalangan universiti awam, membuktikan keberkesanan ekosistem pembangunan kerjaya yang diterajui universiti.

Salah satu keunikan pendekatan UTM ialah pelaksanaan modul pembangunan kerjaya sebagai syarat bergraduasi. Melalui pendekatan ini, pelajar bukan sahaja dipersiapkan dari aspek akademik, malah dibimbing untuk membina identiti profesional, meningkatkan keyakinan diri serta menyesuaikan kemahiran dengan keperluan dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.

Menurut Pengarah Pusat Kerjaya UTM, Dr. Suhaila Mohamad Yusuf, pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha berterusan UTMCC yang disokong oleh kepimpinan universiti, fakulti, staf akademik dan pentadbiran, rakan industri, alumni serta para pelajar sendiri yang sentiasa komited dalam menjayakan agenda kebolehpasaran graduan.

Wakil UTMCC bersama wakil Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Keusahawanan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Pusat Korporat, Perkhidmatan Industri dan Kebolehpasaran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti yang turut menerima anugerah dalam majlis yang sama

Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan UTMCC, malah merupakan manifestasi kerjasama dan komitmen seluruh warga UTM dalam memastikan graduan universiti kekal relevan, kompetitif dan bersedia memenuhi keperluan pasaran kerja masa kini dan masa hadapan.

Seiring dengan perkembangan landskap kerjaya global yang semakin dinamik, UTMCC turut memperkukuh strategi melalui pendigitalan ekosistem kerjaya, termasuk pembangunan platform profil kerjaya, pengukuhan data kebolehpasaran graduan serta pemantauan laluan kerjaya secara lebih sistematik. Usaha ini membolehkan intervensi yang lebih tepat dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti kebolehpasaran graduan pada masa hadapan.

UTM turut merancang untuk memperluaskan jaringan kerjasama strategik bersama industri di peringkat antarabangsa melalui program mobiliti kerjaya, perkongsian kepakaran serta penempatan latihan industri global, selaras dengan aspirasi universiti sebagai institusi berimpak tinggi yang menghasilkan bakat bertaraf dunia.

Explore More

UTM Open Day