UTM sasar jadi Hab Makanan Selamat

SDGSDG2SDG3SDG4SDG17

📝 Ringkasan

UTM menyasarkan untuk menjadi hab makanan selamat di selatan tanah air melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia serta pelancaran Buku Panduan Penilaian Risiko Premis Makanan Selamat Berdasarkan Maqasid Syariah. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh ekosistem keselamatan makanan di kampus dengan menggabungkan aspek perundangan dan prinsip syariah bagi mencapai sasaran sifar keracunan makanan.

JOHOR BAHRU, 30 Jun  ─ Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh komitmennya dalam aspek keselamatan makanan apabila julung kali dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Johor 2026 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sekali gus memperlihatkan kesungguhan universiti itu untuk muncul sebagai hab makanan selamat di selatan tanah air.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Hj. Mohtar Pungut @ Hj. Ahmad itu turut menyaksikan pelancaran Buku Panduan Penilaian Risiko Premis Makanan Selamat Berdasarkan Maqasid Syariah, hasil kerjasama strategik antara UTM, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM, Center of Research for Fiqh Science and Technology (CFiRST), Pusat Kesihatan UTM, Bahagian Pemajuan UTM dan UTMPress.

Prof. Madya Dr Abdul Rashid bersama Dr Haji Mohtar (kiri) ketika sesi peluncuran buku berkenaan

Penolong Naib Canselor (Strategi dan Kesohoran Global) UTM, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain, berkata keselamatan makanan bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan terhadap undang-undang, malah menjadi tanggungjawab bersama dalam melindungi kesihatan dan kebajikan seluruh warga kampus.

Prof. Madya Dr Abdul Rashid menzahirkan komitmen UTM dalam memastikan premis makanan di dalam UTM sentiasa mematuhi standard yang ditetapkan

Beliau berkata, usaha membentuk budaya makanan selamat memerlukan komitmen berterusan semua pihak, termasuk universiti, agensi kerajaan, pengusaha makanan dan komuniti kampus bagi memastikan setiap premis makanan mengamalkan standard keselamatan dan kebersihan yang tinggi.

“UTM komited memperkukuh ekosistem keselamatan makanan melalui pendekatan bersepadu yang menggabungkan pendidikan, penyelidikan, pembangunan kompetensi dan kerjasama strategik bersama pelbagai agensi. Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada warga universiti, malah berpotensi menjadi rujukan kepada institusi pendidikan tinggi lain dalam memperkukuh agenda keselamatan makanan negara,” katanya.

Sebahagian pengusaha premis makanan di UTM yang menerima pengikitarafan BeSS dari Kementerian Kesihatan Malaysia

Beliau berkata, penerbitan Buku Panduan Penilaian Risiko Premis Makanan Selamat Berdasarkan Maqasid Syariah merupakan satu pencapaian penting kerana menyediakan pendekatan yang lebih sistematik dalam proses pemeriksaan dan penilaian risiko premis makanan dengan menggabungkan pematuhan terhadap perundangan sedia ada serta prinsip Maqasid Syariah.

“Kami berharap buku panduan ini dapat dimanfaatkan bukan sahaja di UTM, malah oleh institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan organisasi lain sebagai rujukan dalam memperkukuh amalan keselamatan makanan secara lebih menyeluruh. Matlamat akhirnya ialah melahirkan persekitaran kampus yang lebih sihat, selamat dan lestari untuk semua,” katanya.

Sementara itu, usaha merealisasikan aspirasi ‘Sifar Keracunan Makanan’ di UTM telah digerakkan sejak tahun lalu melalui pelbagai program berimpak tinggi yang diterajui OSHE, termasuk Kursus Sijil Pemeriksa Premis Makanan, Forum Keselamatan Keracunan Makanan yang menghimpunkan lebih 60 pengusaha makanan kampus serta Bengkel Pembangunan Garis Panduan Penilaian Risiko Premis Makanan Selamat Berdasarkan Maqasid Syariah.

Pelaksanaan pelbagai inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan UTM untuk menjadi peneraju dalam pembangunan ekosistem makanan selamat di institusi pendidikan tinggi, sekali gus menyokong agenda kesihatan awam dan kelestarian negara melalui penyediaan persekitaran kampus yang lebih bersih, selamat dan kondusif kepada seluruh warganya.

Explore More

UTM Open Day