📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah merekodkan kutipan zakat sebanyak RM2.26 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2026. Dana zakat ini telah digunakan untuk membantu mahasiswa dan warga universiti yang berdepan cabaran kewangan, termasuk bantuan zakat sara diri, yuran pengajian, dan bantuan khas kepada staf dan pelajar.
JOHOR BAHRU, 22 Jun – Keprihatinan dan semangat kebersamaan warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus terserlah apabila Zakat UTM menerusi Skim Infaq berjaya merekodkan kutipan sebanyak RM2.26 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 hasil sumbangan 2,191 pencarum zakat aktif.
Kejayaan ini membuktikan bahawa budaya memberi dan berkongsi rezeki yang subur dalam kalangan warga universiti telah menjadi pemangkin penting kepada pembinaan kampus yang lebih sejahtera, inklusif dan berdaya tahan.
Melalui amanah yang disalurkan oleh para pencarum, Unit Zakat dan Kebajikan, Pusat Islam UTM telah mengagihkan sebanyak RM516,793.09 kepada golongan yang memerlukan, khususnya mahasiswa dan warga universiti yang berdepan cabaran kewangan.

Agihan tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, malah menjadi talian hayat yang membolehkan penerima meneruskan pengajian, meningkatkan kesejahteraan hidup dan mengekalkan fokus terhadap kecemerlangan akademik serta pembangunan diri.
Antara bantuan utama yang disalurkan ialah Bantuan Zakat Sara Diri berjumlah RM356,500.00 yang telah memanfaatkan seramai 594 mahasiswa, diikuti Bantuan Yuran Pengajian sebanyak RM43,935.00 kepada 39 pelajar.

Selain itu, bantuan khas turut diberikan kepada staf dan pelajar yang menghadapi kesulitan berjumlah RM21,700.00; bantuan pembelian komputer riba bagi menyokong keperluan pembelajaran digital berjumlah RM10,000.00; dana pelaksanaan program-program pelajar berjumlah RM64,658.09 serta bantuan sempena Hari Raya bagi meringankan beban staf berjumlah RM20,000.00.
Lebih signifikan, dana zakat yang dikumpulkan turut diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif kebajikan yang menyentuh kehidupan harian warga kampus.
Antaranya seperti Program Bantuan Prihatin Mahasiswa yang terus berfungsi sebagai mekanisme sokongan segera kepada pelajar yang memerlukan, manakala Program Dapur Siswa menyediakan bantuan makanan kepada mahasiswa bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mendapat keperluan asas.

Di samping itu, Inisiatif Santapan Jumaat pula menjadi wadah memperkukuh ukhuwah dan kebersamaan komuniti kampus menerusi penyediaan 100 pek makanan kepada jemaah di Masjid Sultan Ismail (MSI) UTM.
Kejayaan pelaksanaan inisiatif zakat dan kebajikan ini mencerminkan komitmen UTM dalam merealisasikan Tonggak Keempat Pelan Strategik UTM ASCEND 2030 iaitu Kemanusiaan dan Kesejahteraan, yang menekankan pembentukan ekosistem universiti yang prihatin, inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Aspirasi UTM ASCEND 2030 ini turut memposisikan zakat sebagai instrumen strategik yang menghubungkan kecemerlangan institusi dengan tanggungjawab kemanusiaan.
Setiap sumbangan yang dihulurkan bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti kampus yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan saling menyokong.