UTM perkukuh ekosistem bakat global melalui libat urus strategik bersama TalentCorp

SDGSDG4SDG8SDG9SDG10

📝 Ringkasan

UTM melalui UTM International Kuala Lumpur telah mengadakan lawatan libat urus strategik ke Malaysia Expatriate Services Centre Sdn. Bhd. (MYXpats Centre) untuk memperkukuh komitmennya dalam memperkasa agenda pengantarabangsa. Lawatan ini bertujuan untuk memperoleh kefahaman yang lebih menyeluruh mengenai pelaksanaan dasar, polisi serta sistem pengurusan terkini berkaitan penggajian staf antarabangsa di institusi pengajian tinggi.

PETALING JAYA, 24 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi UTM International Kuala Lumpur terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa agenda pengantarabangsaan melalui lawatan libat urus strategik ke Malaysia Expatriate Services Centre Sdn. Bhd. (MYXpats Centre), di Surian Tower, Mutiara Damansara.

Lawatan ini dilaksanakan sebagai langkah proaktif universiti susulan penguatkuasaan Dasar Baharu Penggajian Ekspatriat bertarikh 1 Jun 2026. Inisiatif tersebut bertujuan memperoleh kefahaman yang lebih menyeluruh mengenai pelaksanaan dasar, polisi serta sistem pengurusan terkini berkaitan penggajian staf antarabangsa di institusi pengajian tinggi.

Delegasi UTM diketuai oleh Timbalan Pengarah UTM International Kuala Lumpur, Prof. Madya Ts. Dr. Nur Azaliah Abu Bakar, bersama Ketua Unit Visa, Noor Azam Samsudin, serta barisan pegawai Unit Visa UTM Kuala Lumpur.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah wakil daripada tiga entiti akademik utama di Kampus UTM Kuala Lumpur yang terlibat secara langsung dalam pengurusan Pas Lawatan Ikhtisas (PVP) dan pelantikan ekspatriat, iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) dan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

Kehadiran delegasi UTM disambut oleh Naib Presiden Pengurusan Projek dan Penglibatan Pemegang Taruh MYXpats Centre, Syarifuddin Abdul Wahab, bersama barisan pegawai kanan TalentCorp.

Delegasi UTM International Kuala Lumpur meninjau operasi dan penyampaian perkhidmatan di MYXpats Centre

Sepanjang sesi taklimat, pihak TalentCorp membentangkan hala tuju strategik agensi serta peranan MYXpats Centre dalam memudah cara pengurusan kemasukan ekspatriat mahir ke Malaysia.

Antara agenda utama yang dikupas termasuklah perincian mengenai Residence Pass–Talent (RP-T) yang merupakan laluan eksklusif bagi profesional antarabangsa berimpak tinggi, serta pelaksanaan Dasar Latihan Amali 1:3 sebagai mekanisme baharu dalam menetapkan penanda aras pembangunan bakat tempatan.

Selain itu, delegasi turut diberikan pendedahan mengenai pelbagai platform digital utama yang menyokong pengurusan mobiliti bakat antarabangsa, termasuk Xpats Gateway, ESD Online Guidebook, portal RP-T serta dokumen Soalan Lazim (FAQ) berkaitan Dasar Gaji Ekspatriat yang telah disemak semula.

Delegasi kemudiannya dibawa meninjau operasi kaunter serta pusat pemprosesan MYXpats Centre bagi melihat sendiri ekosistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, sistematik dan efisien.

Delegasi UTM mengikuti sesi perkongsian bersama pegawai MYXpats Centre mengenai proses kerja, sistem pengurusan dan amalan terbaik dalam mobiliti bakat antarabangsa

Menurut Prof. Madya Ts. Dr. Nur Azaliah, impak daripada lawatan strategik ini akan memastikan UTM International Kuala Lumpur bersama semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) dapat meminimumkan risiko ketidakpatuhan perundangan dalam proses pelantikan staf antarabangsa.

Beliau menegaskan bahawa melalui jaringan komunikasi terus yang terbina bersama pegawai kanan TalentCorp, UTM kini memiliki kelebihan strategik untuk menyelesaikan sebarang isu operasi berkaitan pengurusan ekspatriat secara tangkas dan tepat pada masanya.

Sesi penerangan daripada Ketua Operasi Imigresen MYXpats berhubung proses pengurusan ekspatriat

Inisiatif proaktif ini turut menyokong aspirasi Teras Keunggulan Bakat Global (Global Talent) di bawah Pelan Strategik UTM ASCEND 2030 yang memberi penekanan kepada usaha menarik bakat dan pakar bertaraf dunia ke universiti.

Pada masa yang sama, lawatan ini selari dengan hasrat Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, khususnya menerusi Lonjakan Strategik Keunggulan Global dan Bakat Berprestasi Tinggi Dipacu Matlamat yang bertujuan memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

Kerjasama erat antara UTM dan TalentCorp dijangka akan terus memperkukuh pengurusan mobiliti bakat antarabangsa, sekali gus menyokong usaha Malaysia untuk muncul sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan yang berdaya saing di peringkat serantau dan global.

 

 

Oleh Alina Syahirah Amli dan Prof. Madya Ts. Dr. Nur Azaliah Abu Bakar, UTM International Kuala Lumpur

Explore More

UTM Open Day