📝 Ringkasan
Ts. Teo Kok Wei, pelajar pascasiswazah Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Inovasi Siswa UTM (Pascasiswazah) sempena Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2025. Kemenangan beliau mencerminkan aspirasi UTM melalui kerangka strategik ASCEND 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat masa hadapan, lonjakan kebitaraan, inovasi berimpak serta penyelesaian kepada cabaran masyarakat dan negara.
JOHOR BAHRU, 16 Jun – Komitmen dalam menghubungkan penyelidikan, inovasi dan pembangunan masyarakat telah membolehkan Ts. Teo Kok Wei, pelajar pascasiswazah Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Inovasi Siswa UTM (Pascasiswazah) sempena Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, Johor Bahru, anjuran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UTM.

Kemenangan beliau mencerminkan aspirasi UTM melalui kerangka strategik ASCEND 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat masa hadapan, lonjakan kebitaraan, inovasi berimpak serta penyelesaian kepada cabaran masyarakat dan negara.
Penglibatan aktif mahasiswa dalam penyelidikan dan inovasi juga selari dengan usaha universiti untuk memperkukuh budaya penciptaan nilai serta pemindahan ilmu ke arah kesejahteraan sejagat, berlandaskan falsafah universiti, “Kerana Tuhan Untuk Manusia”.
Antara pencapaian yang menjadi asas kepada pengiktirafan tersebut ialah penglibatan beliau dalam pembentangan penyelidikan di platform antarabangsa dan universiti. Pada tahun 2024, beliau membentangkan kajian bertajuk Artificial Intelligence-Based Wayfinding Systems in Recreational Parks: An Analysis of Enhancing Elderly Navigation and User Experience semasa Sidang Kemuncak Kepimpinan Pelajar Global (GSLS) 2024 di Istanbul, TĂĽrkiye, yang ditaja oleh Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) UTM. Kajian tersebut meneliti potensi kecerdasan buatan (AI) dalam membantu warga emas menavigasi kawasan rekreasi dengan lebih mudah, selamat dan mesra pengguna.


Selain itu, beliau turut membentangkan kajian AI-Driven Polycrisis Mitigation Strategies in Residential High-Rise Buildings: A Critical Literature Analysis dalam Persidangan Antarabangsa Siswazah Ke-10 Kejuruteraan, Sains dan Kemanusiaan (IGCESH 2024) anjuran SPS UTM. Kajian tersebut memberi tumpuan kepada potensi AI dalam membantu pengurusan risiko dan meningkatkan daya tahan bangunan kediaman bertingkat tinggi terhadap pelbagai cabaran dan krisis yang saling berkait.
Menurut beliau, penyelidikan dan inovasi akan lebih bermakna apabila dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada manusia. Mahasiswa mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ilmu yang dihasilkan bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan akademik, tetapi turut memberi impak kepada komuniti dan negara.

Kejayaan ini turut melengkapkan perjalanan kecemerlangan beliau sepanjang lima tahun berturut-turut apabila menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat universiti dan kebangsaan dalam bidang kepimpinan, pembangunan mahasiswa, kesukarelawanan dan inovasi. Perjalanan kecemerlangan beliau bermula pada tahun 2021 apabila menerima Anugerah Bakti Gemilang dan Anugerah Pemimpin Program Wacana Intelek.
Sejak itu, beliau terus menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Persatuan Pascasiswazah sempena Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi 2022, Anugerah Pemimpin Fakulti/Persatuan/Kelab GEMA 2023, Anugerah Pemimpin Program Wacana Intelek GEMA 2024, serta Anugerah Peringkat Kebangsaan Kesukarelawan Kesejahteraan Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) 2024.
Mengulas mengenai harapan masa hadapan, beliau berharap lebih ramai mahasiswa berani meneroka bidang penyelidikan dan inovasi sebagai platform untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Beliau juga berharap lebih ramai daripada bidang pascasiswazah menceburi aktiviti persatuan dan kelab sebagai platform untuk mengharumkan nama UTM di peringkat universiti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.