📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tokoh Alumni UTM, Tan Sri Dato’ Dr. Daing A. Malek bin Daing A. Rahaman, Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd dan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, atas pengurniaan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2026. Pengurniaan ini merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan negara, kepimpinan industri, pembangunan modal insan dan khidmat kepada masyarakat. Tan Sri Dato’ Dr. Daing A. Malek merupakan alumni UTM yang telah membina reputasi sebagai tokoh industri yang disegani dalam bidang pembangunan hartanah dan pembinaan. Beliau telah menyumbang kepada UTM melalui pelbagai sumbangan, termasuk penyediaan biasiswa dan bantuan sara hidup kepada pelajar B40.
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tokoh Alumni UTM, Tan Sri Dato’ Dr. Daing A. Malek bin Daing A. Rahaman, Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview Sdn Bhd dan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, atas pengurniaan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2026.

Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan besar beliau dalam pembangunan negara, kepimpinan industri, pembangunan modal insan serta khidmat kepada masyarakat yang telah dilaksanakan secara konsisten sepanjang kerjaya beliau.
Tan Sri Dato’ Dr. Daing A. Malek merupakan alumni UTM yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Harta Tanah pada tahun 1979. Sejak menamatkan pengajian, beliau telah membina reputasi sebagai tokoh industri yang disegani, khususnya dalam bidang pembangunan hartanah dan pembinaan, di samping terus mengekalkan hubungan erat dengan alma mater beliau.
Komitmen beliau terhadap pendidikan tinggi terserlah melalui pelbagai sumbangan yang disalurkan kepada UTM. Antaranya termasuk penyediaan biasiswa bernilai jutaan ringgit bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan meneruskan pengajian. Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus meningkatkan sumbangan tersebut dari semasa ke semasa demi memastikan lebih ramai pelajar dapat menikmati akses kepada pendidikan berkualiti.

Selain itu, beliau juga menyediakan bantuan sara hidup kepada kira-kira 100 pelajar B40 UTM setiap tahun serta menyumbang kepada Tabung Dana Wakaf Pendidikan UTM yang memberi manfaat kepada ramai pelajar yang memerlukan.
Sumbangan beliau tidak terhad kepada bantuan kewangan semata-mata. Melalui jaringan industri dan syarikat yang diterajui beliau, Tan Sri Dato’ Dr. Daing A. Malek turut membuka peluang latihan industri serta kerjaya kepada pelajar dan graduan UTM. Peluang pendedahan di syarikat bertaraf antarabangsa telah membantu meningkatkan kompetensi graduan serta memperkukuh kebolehpasaran mereka di peringkat global.
Malah, sebahagian graduan UTM turut berjaya memperoleh peluang pekerjaan di luar negara termasuk di Singapura dan Australia hasil pengalaman industri yang diperoleh sepanjang latihan praktikal. Beliau juga memberi peluang pekerjaan kepada graduan cemerlang UTM dalam syarikat-syarikat di bawah kepimpinannya, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar kebolehpasaran dan graduate premium employability universiti.
Di samping itu, pengalaman luas beliau dalam industri hartanah dan pembinaan turut memberi nilai tambah kepada perkembangan ilmu dalam bidang tersebut. Evolusi pembinaan berteknologi yang dipelopori beliau telah menjadi antara rujukan penting dalam penyelidikan, penulisan akademik serta penerbitan berkaitan harta tanah korporat.
Kajian kes dan amalan terbaik yang berkait rapat dengan pengalaman beliau telah dirujuk oleh ahli akademik, profesional industri dan penyelidik di dalam serta luar negara. Hasil penyelidikan yang diterbitkan berasaskan pengalaman industri beliau turut menyumbang kepada pengembangan ilmu dan memperkukuh hubungan antara akademia dan industri.
Pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan keluarga dan organisasi yang dipimpinnya, malah menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga dan alumni UTM bahawa kejayaan sebenar bukan sekadar diukur melalui pencapaian profesional, tetapi juga melalui kesediaan untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat, pendidikan dan negara.
Sebagai alumni yang terus memberi kembali kepada universiti, Tan Sri Dato’ Dr. Daing A. Malek mencerminkan aspirasi UTM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, tetapi turut membawa impak bermakna kepada komuniti, industri dan negara.