Nurul Najihah raih Anugerah Perdana YPP dan gangsa Para Lawn Bowls Kebangsaan

SDGSDG4SDG10SDG11

📝 Ringkasan

Nurul Najihah Ishak, Penyandang Kerusi Orang Kurang Upaya (OKU) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah berjaya merangkul Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang (YPP) 2024/2025 bagi Kategori Sarjana. Beliau juga meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Para Lawn Bowls Sirkit 1 Kebangsaan 2026 dan layak mewakili negeri kelahirannya, Johor, ke temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026.

KOTA DAMANSARA, 25 Mei – Penyandang Kerusi Orang Kurang Upaya (OKU) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nurul Najihah Ishak, telah berjaya merangkul Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang (YPP) 2024/2025 bagi Kategori Sarjana dalam Majlis Anugerah Perdana dan Anugerah Projek MyGreenTeam Yayasan Pelajaran Peladang 2024/2025 yang berlangsung di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Kota Damansara.

Majlis berprestij yang dianjurkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada anak-anak ahli peladang yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik sepanjang pengajian mereka. Bagi edisi tahun 2024/2025, seramai 11 penerima Anugerah Perdana YPP telah dipilih, merangkumi lima penerima kategori Doktor Falsafah (PhD), tiga penerima kategori Sarjana dan tiga penerima kategori Sarjana Muda.

Nurul Najihah Ishak (baris pertama paling kiri) bergambar bersama penerima Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang 2024/2025

Kejayaan Nurul Najihah menerima anugerah bagi kategori Sarjana mencerminkan komitmen dan dedikasi beliau dalam bidang akademik, sekali gus membuktikan bahawa anak-anak peladang mampu bersaing dan mencapai kejayaan di peringkat pendidikan tinggi. Beliau yang kini sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UTM turut aktif dalam kepimpinan pelajar melalui peranannya sebagai Penyandang Kerusi OKU MPP UTM.

Beliau melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima dan berharap kejayaan tersebut dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda, khususnya dalam kalangan komuniti peladang, untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, sokongan keluarga, pensyarah dan rakan-rakan sepanjang perjalanan akademik menjadi faktor penting yang mendorong kejayaan yang dikecapi.

Selain aktif dalam bidang akademik dan kepimpinan, Nurul Najihah turut menyertai bidang sukan apabila meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Para Lawn Bowls Sirkit 1 Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Bukit Kiara dari 20 hingga 24 Mei 2026. Kejayaan tersebut sekali gus melayakkan beliau mewakili negeri kelahirannya, Johor, ke temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada September ini.

Nurul Najihah Ishak meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Para Lawn Bowls Sirkit 1 Kebangsaan OKU 2026 di Kompleks Sukan Bukit Kiara

Dalam arena kepimpinan pelajar, Nurul Najihah sedang memperjuangkan penubuhan sebuah kelab pelajar yang akan memberi tumpuan kepada pelbagai aktiviti, program serta inisiatif kebajikan dan sokongan bagi komuniti OKU di universiti. Menurut beliau, penubuhan kelab tersebut penting bagi mewujudkan platform yang lebih tersusun dalam memperkasa suara dan penyertaan mahasiswa OKU, selain memastikan keperluan serta kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian. Kelab ini juga dijangka menjadi medium strategik untuk menggalakkan penglibatan aktif pelajar OKU dalam pelbagai aspek pembangunan diri, kepimpinan, kesukarelawanan dan kemasyarakatan.

Kelab yang dicadangkan itu turut berhasrat berperanan sebagai pusat rujukan dan jaringan sokongan yang menghimpunkan pelajar, staf serta pihak berkepentingan dalam usaha membina persekitaran kampus yang lebih inklusif dan mesra OKU. Melalui program advokasi, latihan, seminar dan kempen kesedaran, kelab ini akan membantu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu-isu berkaitan OKU serta menggalakkan budaya saling menghormati dan menyokong kepelbagaian.

Kelab ini juga dijangka menjadi platform dalam memperluaskan kesedaran berkaitan aspek pendidikan, kebolehaksesan, teknologi bantuan, peluang kerjaya, kesihatan serta hak-hak golongan OKU, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang mempunyai nilai empati, keprihatinan sosial dan komitmen terhadap pembangunan masyarakat yang inklusif.

Melalui pelbagai pencapaian yang diraih, Nurul Najihah membuktikan bahawa penglibatan aktif dalam akademik, sukan dan kepimpinan mampu berjalan seiring, sekali gus menjadi contoh kepada mahasiswa lain dalam memaksimumkan potensi diri sepanjang tempoh pengajian.

Explore More

UTM Open Day