Naib Canselor UTM Perkukuh Jaringan Strategik Melalui Siri Libat Urus Alumni “C-Suite”

SDGSDG4SDG8SDG9SDG17

📝 Ringkasan

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, mengumumkan siri libat urus alumni C-Suite untuk memperkukuh hubungan strategik dengan alumni yang menerajui organisasi terkemuka. Sesi pertama siri ini telah berlangsung dengan hadirnya enam alumni yang memegang jawatan kepimpinan tertinggi dalam pelbagai sektor industri. Mereka berbincang tentang beberapa agenda strategik yang dapat memberi nilai tambah kepada universiti dan industri, termasuk pengkomersialan hasil penyelidikan dan program bimbingan mahasiswa. Naib Canselor menyatakan bahawa siri libat urus ini merupakan permulaan kepada satu siri libat urus yang akan diteruskan secara berkala bersama alumni C-Suite UTM daripada pelbagai sektor industri.

KUALA LUMPUR, 23 Jun  – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil langkah memperkukuh hubungan strategik bersama alumni yang menerajui organisasi terkemuka menerusi penganjuran UTM Vice-Chancellor’s Distinguished Alumni Hi-Tea, yang menjadi pembuka tirai kepada siri libat urus eksklusif akan datang.

Sesi yang dipengerusikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menghimpunkan enam alumni yang kini memegang jawatan kepimpinan tertinggi dalam pelbagai sektor industri, iaitu Datuk Chandran Rama, Ketua Pegawai Eksekutif BATIK Air; Encik Azrarol Faizi, Ketua Pegawai Eksekutif BATERIKU; Dr. E Long Chua, Ketua Pegawai Operasi PayNet; Encik Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii); Ms. Wong Siew Lee, Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land; serta Tuan Sheikh Muzafar Shahrizan Mustafah, Ketua Pegawai Eksekutif Deleum Oilfield Services Sdn. Bhd.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ali Selamat , Presiden Persatuan Alumni UTM (PAUTM), Dato’ Ir. Mohamad Khairi Ambran dan Prof. Madya Dr.  Syed Norris Hikmi Syed Abdullah, Pengarah UTMXCITE dan menjalankan tugas Pengarah UTM Alumni.

Perbincangan tertumpu kepada beberapa agenda strategik yang berpotensi memberi nilai tambah kepada universiti dan industri, termasuk pengkomersialan hasil penyelidikan, program bimbingan mahasiswa dalam bidang keusahawanan dan inovasi, siri syarahan industri, peluang latihan industri serta penerokaan dana endowmen penyelidikan.

Dalam ucapannya, Naib Canselor menyatakan bahawa UTM amat berbangga dengan pencapaian alumni yang kini memegang jawatan kepimpinan tertinggi dalam pelbagai sektor. Beliau menyatakan bahawa alumni sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga besar UTM dan universiti sentiasa mengalu-alukan penglibatan mereka sebagai rakan strategik dalam memacu kecemerlangan pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat masa hadapan.

Menurut beliau, sesi hari ini merupakan permulaan kepada satu siri libat urus yang akan diteruskan secara berkala bersama alumni C-Suite UTM daripada pelbagai sektor industri.

“UTM memiliki rangkaian alumni yang amat luas dan berpengaruh. Melalui siri libat urus seperti ini, kita bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan dengan alumni, malah membuka ruang kepada kolaborasi yang lebih strategik dan berimpak tinggi untuk universiti, industri dan negara,” katanya.

Sementara itu, Dr. E Long Chua dan Tuan Sheikh Muzafar Shahrizan menyambut baik inisiatif tersebut serta menyifatkannya sebagai platform yang amat relevan untuk memperkukuh hubungan antara alumni dan universiti.

Menurut mereka, sesi seperti ini bukan sahaja membolehkan alumni menyumbang kembali kepada alma mater, malah memberi peluang untuk membina jaringan profesional dan meneroka potensi kerjasama baharu bersama alumni lain yang menerajui organisasi dalam sektor industri yang berbeza.

“Program seperti ini amat dialu-alukan kerana ia memberi peluang kepada kami untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pihak universiti serta membina jaringan dengan alumni daripada pelbagai industri. Pertemuan seperti ini membuka banyak peluang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada semua pihak,” ujar mereka.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memanfaatkan kekuatan rangkaian lebih 256,000 alumni di seluruh dunia sebagai rakan strategik universiti. Melalui siri libat urus Alumni C-Suite ini, UTM berharap dapat memperkukuh peranan alumni dalam menyokong agenda kecemerlangan universiti, pembangunan bakat masa hadapan, inovasi berimpak tinggi serta aspirasi UTM ASCEND 2030.

 

Alumni UTM: Ms Rohaizan Khairul Anuar, Timbalan Pendaftar UTMAlumni, Dr. E Long Chua, Ketua Pegawai Operasi PayNet, Prof. Madya Dr.  Syed Norris Hikmi Syed Abdullah, Pengarah UTMXCITE (Menjalankan Tugas Pengarah UTMAlumni), Tuan Sheikh Muzafar Shahrizan Mustafah, Ketua Pegawai Eksekutif Deleum Oilfield Services Sdn. Bhd., Ms. Wong Siew Lee, Ketua Pegawai Operasi Gamuda Land; serta Tuan Sheikh Muzafar Shahrizan Mustafah, Ketua Pegawai Eksekutif Deleum Oilfield Services Sdn. Bhd., Datuk Chandran Rama, Ketua Pegawai Eksekutif BATIK Air, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Encik Azrarol Faizi, Ketua Pegawai Eksekutif BATERIKU, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii); dan Presiden Persatuan Alumni UTM (PAUTM), Dato’ Ir. Mohamad Khairi Ambran

Barisan alumni UTM yang kini menduduki jawatan kepimpinan tertinggi dalam pelbagai sektor industri strategik.

 

Explore More

UTM Open Day