Sebagai ahli akademik dan profesor di institusi pendidikan tinggi awam, tanggungjawab utama kami bukan sekadar mempertahankan institusi, tetapi memastikan setiap perbincangan berkaitan pendidikan tinggi negara berlangsung secara matang, berasaskan ilmu, data dan bukti empirikal.
Sistem pendidikan tinggi merupakan satu ekosistem yang kompleks, melibatkan dasar kerajaan, tadbir urus universiti, tenaga akademik, pelajar, industri serta masyarakat. Oleh itu, sebarang kritikan terhadap institusi pendidikan tinggi perlu dilihat sebagai ruang penambahbaikan selagi ia berasaskan fakta, analisis serta cadangan penyelesaian yang konstruktif.
Namun begitu, persepsi yang terbentuk melalui dakwaan umum tanpa sokongan bukti yang sahih boleh memberi kesan terhadap keyakinan masyarakat kepada institusi pendidikan tinggi negara. Justeru, adalah penting untuk membezakan antara kritikan yang membina dengan kenyataan yang berpotensi menimbulkan salah faham terhadap keseluruhan sistem.
Sistem Pendidikan Tinggi Perlu Dinilai Berdasarkan Data, Bukan Persepsi Semata-mata
Dalam membincangkan isu akses dan kemasukan ke Universiti Awam, penelitian perlu dibuat berdasarkan mekanisme sebenar yang telah dilaksanakan. Sistem kemasukan ke Universiti Awam mempunyai kriteria, syarat kelayakan, proses pemilihan serta mekanisme tadbir urus yang ditetapkan bagi memastikan prinsip keadilan dan meritokrasi terus terpelihara.
Pada masa yang sama, pendidikan tinggi negara turut mengiktiraf kepentingan keterangkuman melalui pelbagai pendekatan bagi membuka peluang kepada golongan yang memerlukan sokongan tambahan, termasuk komuniti berpendapatan rendah, Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kumpulan berkeperluan khas.
Oleh itu, perbincangan berkaitan akses pendidikan tinggi perlu mengambil kira keseluruhan gambaran sistem, termasuk dasar, mekanisme pemilihan, kapasiti universiti, keperluan program serta objektif pembangunan negara.
Penilaian Sistem Pendidikan Tinggi Berasaskan Data
Majlis Profesor UTM berpandangan bahawa sistem pendidikan tinggi bersifat dinamik dan sentiasa melalui proses penambahbaikan selaras dengan perubahan keperluan negara, industri dan masyarakat. Isu seperti ketelusan, keadilan akses, kebolehpasaran graduan serta kualiti pendidikan perlu terus dibincangkan secara ilmiah dan berasaskan data.
Dalam hal ini, sebarang kelemahan wajar dilihat sebagai ruang penambahbaikan, manakala dakwaan berkaitan integriti sistem hendaklah disokong dengan bukti serta dinilai melalui mekanisme semakan yang sahih. Sistem kemasukan ke Universiti Awam dilaksanakan melalui syarat kelayakan yang jelas, proses saringan berkomputer serta prinsip meritokrasi bagi memastikan keadilan pemilihan.
Pada masa yang sama, sistem ini turut mengimbangi prinsip keterangkuman melalui pelbagai laluan khas bagi kumpulan B40, Orang Asli, Orang Kurang Upaya, atlet serta kumpulan berkeperluan tertentu.
Bagi kemasukan lepasan SPM 2025 melalui UPUOnline®, sebanyak 235,480 permohonan layak telah direkodkan dengan 169,803 tawaran tempat, bersamaan 72.11 peratus. Pecahan tawaran tersebut melibatkan 91,357 ke Universiti Awam, 60,947 ke Politeknik, 15,844 ke Kolej Komuniti dan 1,655 ke MARA Bahagian Pendidikan Tinggi.
Pemilihan dilaksanakan secara berkomputer berdasarkan susunan merit tertinggi hingga terendah. Laluan khas turut melibatkan 701 calon OKU, 310 calon Orang Asli, 179 atlet, 10,499 calon B40 dan 65 calon di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Bagi lepasan STPM atau setaraf, pemilihan adalah berasaskan 90 peratus komponen akademik dan 10 peratus kokurikulum, tertakluk kepada syarat program serta kapasiti institusi.
Secara prinsipnya, sistem ini menggabungkan elemen merit, keadilan sosial dan keterangkuman secara seimbang. Oleh itu, dakwaan bahawa kemasukan ke Universiti Awam tidak berasaskan merit adalah tidak tepat tanpa bukti kukuh yang menunjukkan wujudnya manipulasi proses atau data.
Sistem Belum Sempurna, Namun Tidak Gagal
Profesor bukan sekadar berperanan dalam ruang akademik, tetapi juga sebagai penghubung ilmu antara universiti dan masyarakat. Melalui penyelidikan, kepakaran profesional, khidmat rundingan, penggubalan dasar, penyeliaan pelajar serta pemindahan ilmu, profesor menyumbang secara langsung kepada pembangunan negara secara berterusan.
Dalam konteks pendidikan tinggi, peranan profesor adalah untuk menjelaskan realiti sistem berasaskan data, bukti dan kepakaran, bukan berpaksikan persepsi atau naratif yang tidak disahkan. Wacana ilmiah mesti dipandu oleh fakta, disokong bukti empirikal serta dinilai secara objektif dan berasaskan konteks sebenar.
Sehubungan itu, dakwaan bahawa sistem pendidikan tinggi “gagal” atau tidak berfungsi adalah tidak tepat apabila dibuat secara umum tanpa analisis menyeluruh dan asas data yang sahih. Penilaian terhadap sistem perlu mengambil kira struktur, dasar, kapasiti serta kekangan sebenar, bukan hanya berdasarkan persepsi atau kes terpencil.
Universiti awam juga mempunyai rekod pencapaian yang kukuh dan wajar dilihat secara menyeluruh. Naratif bahawa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) gagal atau bahawa profesor hanya beroperasi dalam “kepompong kampus” perlu dinilai semula berdasarkan data empirikal.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaporkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan telah meningkat kepada 92.5 peratus, berbanding 75 peratus pada tahun 2014. Dari sudut pengiktirafan global, lima universiti Malaysia berada dalam kelompok 200 terbaik dunia QS World University Rankings 2027, dengan Universiti Teknologi Malaysia berada pada kedudukan ke-158 dunia.

Dalam aspek penyelidikan pula, penerbitan ilmiah negara meningkat sebanyak 1.7 kali ganda, manakala sitasi meningkat dua kali ganda antara tahun 2015 hingga 2022. Lima Universiti Penyelidikan menyumbang sekitar 60 peratus daripada keseluruhan penerbitan negara, dengan nilai hasil harta intelek mencecah RM3.73 bilion.
Daripada aspek kebolehpasaran graduan, data Sistem Kajian Pengesanan Graduan 2025 (SKPG 2025) menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan universiti awam mencapai 94.7 peratus, dengan 100,790 graduan bekerja daripada 106,456 graduan warganegara Malaysia yang direkodkan. Namun demikian, isu berkaitan kualiti pekerjaan, padanan bidang dan tahap gaji permulaan masih memerlukan penambahbaikan berterusan.
Secara keseluruhannya, ini tidak bermakna universiti telah sempurna. Namun, ia menunjukkan bahawa penilaian terhadap IPTA perlu dibuat secara seimbang dan menyeluruh dengan mengambil kira pencapaian, jurang, kekangan fiskal, perubahan teknologi, tekanan kebolehpasaran serta tuntutan masyarakat.
Oleh itu, dakwaan bahawa IPTA “gagal” atau “tidak memberi manfaat kepada rakyat” adalah terlalu simplistik. Kritikan yang lebih tepat adalah bagaimana IPTA dapat terus diperkukuh dari aspek keadilan akses, ketelusan kemasukan, kebolehpasaran berkualiti, peningkatan gaji graduan, pembangunan keusahawanan, mobiliti sosial kumpulan B40 dan M40 serta pengukuhan impak penyelidikan kepada negara.
Peranan Profesor dan Ketelusan Wacana Awam
Majlis Profesor UTM menegaskan bahawa respons terhadap isu pendidikan tinggi tidak wajar bersifat defensif semata-mata, sebaliknya perlu berasaskan ilmu, bukti dan analisis empirikal. Profesor berperanan sebagai penapis epistemik negara, iaitu individu yang membezakan antara fakta, persepsi, interpretasi serta dakwaan yang tidak berasaskan bukti.
Dalam konteks ini, ketelusan maklumat, komunikasi berkesan dan dialog terbuka perlu diperkukuh melalui penyediaan data yang mudah difahami, pengukuhan semakan dasar serta peluasan libat urus antara universiti dan masyarakat. Respons akademik tidak seharusnya terhenti pada penafian, sebaliknya perlu disertai penjelasan ilmiah yang membina kefahaman awam.
Peranan profesor merangkumi pengajaran, penyelidikan, penyeliaan, penggubalan dasar, jaringan industri serta pemindahan ilmu. Penglibatan ini menunjukkan bahawa akademia kekal strategik dalam pembangunan negara dan selari dengan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berasaskan kualiti, kebolehpasaran graduan dan integriti tadbir urus.
Cadangan Pengukuhan Sistem Pendidikan Tinggi oleh Majlis Profesor UTM
Sebagai usaha memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem pendidikan tinggi negara, Majlis Profesor UTM mengemukakan beberapa cadangan strategik untuk pertimbangan pihak berkaitan secara berterusan ke arah meningkatkan ketelusan, integriti serta keberkesanan tadbir urus pendidikan tinggi.
1. Dashboard Ketelusan Kemasukan IPTA – Memperkukuh Ketelusan Maklumat Kemasukan
Pembangunan papan pemuka (dashboard) data berasaskan maklumat tanpa identiti (anonymised data) yang memaparkan cut-off merit, kapasiti program, jumlah permohonan, jumlah tawaran, rayuan serta laluan khas. Inisiatif ini bertujuan memperjelas proses pemilihan secara berasaskan data, di samping mengurangkan jurang persepsi melalui komunikasi maklumat yang lebih mudah difahami, telus dan berasaskan bukti.
Pada masa yang sama, universiti dan pihak berkaitan perlu memperluas penyampaian maklumat berkaitan kriteria pemilihan, kapasiti program serta mekanisme rayuan secara lebih jelas dan mudah diakses oleh masyarakat. Pendekatan ini dapat memperkukuh kefahaman awam terhadap sistem kemasukan IPTA yang berasaskan merit, keadilan dan keterangkuman.
2. Audit Laluan Kemasukan Bukan UPU – Memastikan Integriti dan Ketelusan Sistem
Pelaksanaan audit dan pemantauan berterusan terhadap semua laluan kemasukan IPTA selain UPU, termasuk program khas, antarabangsa, eksekutif, pendidikan fleksibel dan program berasaskan pembiayaan sendiri.
Audit ini bertujuan memastikan setiap laluan mematuhi prinsip tadbir urus yang baik, standard akademik serta ketelusan proses. Inisiatif ini juga penting bagi memastikan laluan bukan arus perdana tidak menjejaskan kuota kemasukan UPU serta tidak disalah tafsir sebagai “jualan tempat”.
Dengan pemantauan yang sistematik, ia dapat memperkukuh integriti sistem kemasukan IPTA di samping meningkatkan kepercayaan awam terhadap keadilan dan keterbukaan proses sedia ada.
3. Policy Brief Reformasi Akses Saksama Pendidikan Tinggi Berasaskan Ekuiti Sosial
Penyediaan policy brief akses saksama yang memberi fokus kepada kumpulan B40, komuniti luar bandar, Orang Asli, OKU serta pelajar dari Sabah dan Sarawak.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh dasar pendidikan tinggi yang inklusif dengan memastikan kumpulan rentan mendapat akses yang lebih adil dan bersasar terhadap peluang pendidikan tinggi. Usaha ini menekankan pengukuhan dasar sedia ada melalui pendekatan lebih bersasar bagi memastikan prinsip kesaksamaan peluang benar-benar diterjemahkan dalam sistem pendidikan tinggi negara.
4. Townhall Universiti–Rakyat: Dialog Ilmu Berasaskan Data
Pelaksanaan sesi townhall universiti–rakyat sebagai platform libat urus antara universiti dan masyarakat untuk memperkukuh komunikasi isu pendidikan tinggi secara terbuka dan berasaskan data.
Inisiatif ini memastikan perbincangan awam dipandu oleh bukti dan analisis akademik, bukan persepsi atau sentimen. Pendekatan ini memperkukuh peranan universiti dan ahli akademik dalam meningkatkan ketelusan, akauntabiliti serta kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan tinggi negara.
5. Majlis Pakar Bebas Dalaman – Pengukuhan Tatakelola Berasaskan Bukti
Penubuhan majlis pakar bebas dalaman bagi menilai aduan kemasukan, integriti akademik serta isu tatakelola universiti secara berterusan berasaskan prinsip evidence-based governance.
Mekanisme ini bertujuan memastikan setiap keputusan dan proses pentadbiran dinilai secara objektif, telus dan berasaskan data. Pendekatan ini memperkukuh akauntabiliti institusi pendidikan tinggi serta memastikan sistem kekal relevan, adil dan berintegriti selaras dengan amalan tadbir urus terbaik.
Kelima-lima pendekatan ini mencerminkan komitmen Majlis Profesor UTM dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi yang telus, berintegriti dan berasaskan bukti demi kepentingan negara.
Rumusan
Universiti awam merupakan amanah strategik negara yang memikul mandat utama dalam pembangunan ilmu, pembentukan modal insan berkualiti serta pengukuhan daya saing negara. Sehubungan itu, integriti sistem pendidikan tinggi wajar dipertahankan secara berasaskan fakta empirikal, data sahih dan analisis ilmiah, bukan berlandaskan persepsi, generalisasi atau naratif yang tidak disokong bukti.
Sebarang dakwaan yang bersifat menyeluruh tanpa sandaran bukti yang kukuh bukan sahaja mencerminkan ketidaktepatan analitik, malah berpotensi menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan tinggi secara tidak adil. Justeru, kritikan hanya boleh dikategorikan sebagai konstruktif sekiranya disertai dengan hujah yang teruji, data yang boleh disahkan serta cadangan penambahbaikan yang realistik dan boleh dilaksanakan.
Oleh itu, wacana pendidikan tinggi perlu terus berakar pada disiplin keilmuan, integriti epistemik dan ketelusan intelektual. Ia harus berfungsi sebagai mekanisme penambahbaikan sistem secara berterusan, bukannya medan pembentukan persepsi yang simplistik atau mengelirukan. Pendekatan ini merupakan prasyarat penting bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal berdaya tahan, berintegriti tinggi serta berdaya saing di peringkat nasional dan global.
UTM Menginovasi Penyelesaian Lestari
Kerana Tuhan untuk Manusia
oleh Majlis Profesor, Universiti Teknologi Malaysia