Mahasiswa universiti perlu kenal dan urus stres sebaiknya

SDGSDG3SDG4

📝 Ringkasan

Kehidupan sebagai mahasiswa sering dihadapkan dengan tekanan yang semakin meningkat. Stres merupakan tindak balas mental, emosi dan fizikal yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal, kesejahteraan mental dan pencapaian akademik. Faktor utama menyumbang kepada stres pelajar universiti ialah beban akademik, tekanan sosial dan masalah kewangan. Stres yang tidak diurus dengan baik boleh memberikan pelbagai kesan negatif, termasuk sakit kepala, gangguan tidur, keletihan melampau dan masalah kesihatan lain.

Kehidupan sebagai mahasiswa sering dianggap sebagai fasa yang menyeronokkan dan penuh dengan peluang untuk berkembang. Namun begitu, di sebalik pengalaman menimba ilmu, menyertai aktiviti kokurikulum dan membina jaringan sosial yang luas, ramai pelajar universiti berhadapan dengan tekanan yang semakin meningkat. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), seperti juga di institusi pengajian tinggi yang lain, pelajar perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai tuntutan akademik, sosial dan peribadi yang boleh menjadi punca kepada tekanan jika tidak diurus dengan baik.

Stres merupakan tindak balas mental, emosi dan fizikal seseorang apabila mereka berhadapan dengan tekanan, cabaran atau perubahan dalam kehidupan. Pada tahap tertentu, stres boleh menjadi faktor yang mendorong seseorang untuk bekerja dengan lebih baik dan mencapai prestasi yang tinggi. Namun apabila stres menjadi berlebihan dan berpanjangan, ia boleh memberi kesan yang negatif kepada kesihatan fizikal, kesejahteraan mental dan pencapaian akademik seseorang pelajar.

Bagi pelajar yang baru memasuki universiti, pengalaman meninggalkan keluarga dan tinggal di kolej kediaman merupakan satu perubahan besar dalam kehidupan. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu, membina persahabatan baharu dan belajar mengurus kehidupan secara lebih berdikari. Dalam masa yang sama, mereka juga perlu memahami budaya universiti, mematuhi peraturan dalam kampus serta memenuhi jangkaan akademik yang lebih mencabar berbanding semasa di sekolah. Proses penyesuaian ini sering menjadi punca utama stres dalam kalangan mahasiswa yang berada dalam tahun pertama.

Selain itu, beban akademik merupakan faktor yang paling dominan menyumbang kepada stres pelajar universiti. Tugasan yang banyak, projek berkumpulan, kuiz, pembentangan dan peperiksaan akhir memerlukan pengurusan masa yang cekap. Ramai pelajar berasa tertekan apabila beberapa tugasan perlu disiapkan dalam tempoh yang sama. Situasi akan menjadi lebih mencabar apabila pelajar mengambil kursus yang memerlukan tahap pemikiran kritis dan kemahiran penyelesaian masalah yang tinggi, seperti bidang kejuruteraan, sains, teknologi dan pendidikan yang ditawarkan di UTM.

Tekanan sosial juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kesejahteraan pelajar. Mahasiswa sering berhadapan dengan keinginan untuk diterima oleh rakan sebaya, menyesuaikan diri dengan budaya kampus dan memenuhi harapan keluarga. Ada pelajar yang merasa terasing kerana sukar mendapatkan rakan yang sesuai, manakala ada yang berasa tertekan kerana membandingkan pencapaian diri dengan orang lain. Pengaruh media sosial turut menyumbang kepada tekanan apabila pelajar sering melihat kejayaan orang lain dan merasakan diri mereka tidak cukup berjaya.

Masalah kewangan merupakan satu lagi cabaran yang tidak boleh dipandang ringan. Walaupun terdapat pelbagai bentuk bantuan kewangan dan biasiswa, masih ramai pelajar yang perlu berjimat cermat atau bekerja sambilan bagi menampung kos kehidupan. Kebimbangan mengenai yuran pengajian, kos makanan, pengangkutan dan keperluan harian boleh meningkatkan tahap stres seseorang pelajar. Keadaan ini menjadi lebih sukar apabila mereka perlu mengimbangi antara pekerjaan sambilan dan komitmen akademik.

Stres yang tidak diurus dengan baik boleh memberikan pelbagai kesan negatif. Dari aspek fizikal, pelajar mungkin mengalami sakit kepala, gangguan tidur, keletihan melampau, ketegangan otot dan masalah kesihatan lain. Dari aspek emosi pula, mereka mudah marah, cemas, murung atau kehilangan motivasi untuk belajar. Stres juga boleh menyebabkan seseorang sukar memberi tumpuan dalam kelas, hilang keyakinan diri dan membuat keputusan yang kurang tepat. Dalam keadaan yang lebih serius, stres yang berpanjangan boleh menjejaskan kesihatan mental dan meningkatkan risiko kemurungan.

Memandangkan stres merupakan sebahagian daripada kehidupan, persoalan utama bukanlah bagaimana untuk mengelakkannya sepenuhnya, tetapi bagaimana untuk menguruskannya dengan berkesan. Salah satu teknik yang sangat membantu ialah pengurusan masa yang sistematik. Pelajar digalakkan menyediakan jadual harian atau mingguan yang merangkumi waktu kuliah, tugasan, aktiviti kokurikulum dan masa rehat. Tugasan yang besar boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian kecil supaya lebih mudah diselesaikan. Dengan perancangan yang baik, pelajar dapat mengurangkan tekanan akibat kerja yang bertimbun pada saat akhir.

Selain itu, pelajar perlu mengelakkan tabiat menangguhkan tugasan sehingga hampir kepada tarikh akhir. Sikap ini menyebabkan tekanan meningkat dan hasil kerja menjadi kurang berkualiti. Dengan memulakan tugasan lebih awal, pelajar mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat semakan dan penambahbaikan sebelum menghantar tugasan tersebut. Pelajar juga perlu memastikan keseimbangan antara akademik dan kehidupan peribadi. Rehat yang mencukupi, tidur yang berkualiti dan aktiviti riadah merupakan elemen penting dalam mengurangkan stres. Kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, berjoging, berbasikal atau bersukan dapat membantu mengurangkan hormon stres dan meningkatkan tahap kesejahteraan mental. UTM menyediakan pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Satu lagi teknik yang semakin mendapat perhatian ialah amalan kesedaran minda. Teknik ini melibatkan keupayaan memberi tumpuan kepada masa kini tanpa terlalu memikirkan perkara yang telah berlalu atau terlalu risau tentang masa hadapan. Pelajar boleh mengamalkan latihan pernafasan dalam, meditasi ringkas atau teknik relaksasi selama beberapa minit setiap hari. Amalan ini membantu menenangkan fikiran dan meningkatkan keupayaan mengawal emosi ketika berhadapan dengan tekanan.

Pelajar juga tidak seharusnya menghadapi stres secara bersendirian. Sokongan daripada keluarga, rakan-rakan dan pensyarah memainkan peranan yang sangat penting. Berkongsi masalah dengan individu yang dipercayai dapat membantu mengurangkan beban emosi dan memberikan perspektif yang lebih positif. Di UTM, pelajar boleh mendapatkan bantuan daripada kaunselor profesional yang terlatih untuk membantu mereka memahami punca stres dan membangunkan strategi yang sesuai bagi mengatasinya.

Bagi pelajar Muslim, amalan kerohanian seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa dapat memberikan ketenangan jiwa serta meningkatkan kebergantungan kepada Allah SWT. Nilai spiritual membantu pelajar melihat cabaran sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan pembangunan diri. Pelajar daripada agama lain juga boleh mengamalkan pendekatan kerohanian mengikut kepercayaan masing-masing untuk memperoleh kekuatan dalaman ketika berhadapan dengan kesukaran.

Sebagai tambahan, pelajar perlu belajar menerima bahawa kesempurnaan bukanlah matlamat yang realistik. Ramai mahasiswa mengalami stres kerana menetapkan jangkaan yang terlalu tinggi terhadap diri sendiri. Mereka merasakan bahawa setiap tugasan mesti sempurna dan setiap peperiksaan mesti memperoleh keputusan terbaik. Sikap ini boleh menyebabkan tekanan yang tidak perlu. Sebaliknya, pelajar perlu memberi fokus kepada usaha yang konsisten dan peningkatan diri secara berterusan.

Kesimpulannya, stres merupakan sebahagian daripada kehidupan seorang mahasiswa dan tidak dapat dielakkan sepenuhnya. Namun, stres boleh diurus dan dikurangkan melalui strategi yang sesuai seperti pengurusan masa yang berkesan, keseimbangan gaya hidup, aktiviti fizikal, amalan kesedaran minda, sokongan sosial dan pengukuhan spiritual.

Sebagai sebuah universiti yang menjunjung moto “Kerana Tuhan untuk Manusia”, UTM bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik tetapi juga pembangunan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan sosial. Oleh itu, setiap pelajar perlu memahami bahawa mengurus stres bukan sekadar untuk mencapai kejayaan akademik, tetapi juga untuk membina kehidupan yang lebih sihat, sejahtera dan bermakna pada masa hadapan.

 

Penulis bersama Prof. Madya Dr. Hanifah Jambari dan Prof. Madya Dr. Sharifah Osman

Explore More

UTM Open Day