Jerayawara Pendaftar UTM di Fakulti Sains perkukuh budaya kerja impak tinggi ke arah ASCEND 2030

SDGSDG4SDG8SDG9SDG17

📝 Ringkasan

Sesi Jerayawara Pendaftar UTM di Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung dengan tujuan memperkukuh pemahaman staf terhadap hala tuju universiti dan membudayakan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan. Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, Pendaftar UTM, menekankan bahawa kecemerlangan organisasi memerlukan komitmen individu untuk melaksanakan tugas dengan integriti, profesionalisme dan tanggungjawab. Beliau juga menegaskan kepentingan anjakan budaya kerja daripada rutin kepada berimpak tinggi untuk mencapai aspirasi ASCEND 2030.

JOHOR BAHRU, 15 Jun – Warga Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpeluang mengikuti Sesi Jerayawara Pendaftar UTM yang disampaikan oleh Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, dalam usaha memperkukuh pemahaman staf terhadap hala tuju universiti serta membudayakan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan selaras dengan aspirasi ASCEND 2030.

Pengurusan Fakulti Sains bergambar bersama Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah (tengah) sebelum sesi Jerayawara Pendaftar UTM bermula

Program yang berlangsung di Bilik Kuliah 314, Blok C19, Fakulti Sains ini merupakan siri jerayawara yang julung kali diadakan di peringkat Fakulti atau Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UTM. Program ini menghimpunkan staf akademik dan pentadbiran bagi mendengar perkongsian strategik berkaitan peranan warga universiti dalam memacu transformasi institusi ke arah kecemerlangan global.

Sesi ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, yang menzahirkan penghargaan atas pemilihan Fakulti Sains sebagai destinasi pertama siri jerayawara ini.

Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir, Dekan Fakulti Sains UTM, menyampaikan ucapan aluan sempena Sesi Jerayawara Pendaftar UTM

Dalam sesi utama, Dato’ Dr. Mohd Sharil menekankan bahawa kecemerlangan organisasi bukan hanya bergantung kepada dasar dan sistem yang baik, malah memerlukan komitmen setiap individu untuk melaksanakan tugas dengan penuh integriti, profesionalisme dan rasa tanggungjawab. Beliau turut menegaskan kepentingan melakukan anjakan budaya kerja daripada budaya rutin kepada budaya kerja yang berimpak tinggi, selaras dengan matlamat Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) dan aspirasi ASCEND 2030. Sehubungan itu, setiap warga UTM diingatkan bahawa mereka merupakan pemacu utama kepada kejayaan agenda transformasi universiti melalui penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, cekap dan memberi nilai tambah kepada pelajar, industri serta masyarakat.

Seorang staf Fakulti Sains mengemukakan pertanyaan kepada Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah dalam sesi soal jawab

Jerayawara ini juga menjadi platform dua hala yang membolehkan warga fakulti mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai pelbagai inisiatif transformasi universiti, termasuk usaha memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi, memperkasa modal insan dan meningkatkan kecekapan tadbir urus organisasi.

Antara mesej utama yang diketengahkan ialah keperluan setiap warga UTM melihat tugas harian mereka sebagai sebahagian daripada misi yang lebih besar dalam membina masa depan negara melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi. Warga fakulti turut diajak menghayati bahawa setiap peranan yang dimainkan memberi sumbangan langsung kepada pembinaan tamadun dan pembangunan generasi masa hadapan.

Warga staf Fakulti Sains yang hadir bergambar bersama Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah pada penghujung Sesi Jerayawara Pendaftar UTM

Program ini turut mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Pendaftar dalam memperkukuh budaya komunikasi strategik dan penglibatan warga universiti bagi menyokong pelaksanaan agenda transformasi UTM. Siri jerayawara yang bermula di Fakulti Sains ini diharapkan dapat memperkukuh budaya kerja berimpak tinggi serta memperkasa warga universiti dalam merealisasikan aspirasi ASCEND 2030.

 

Oleh Khairull Azmi Ishak dan Anis Syahira Zulkifli

Explore More

UTM Open Day