HIDROVERSE 2.0 perkasa komuniti melalui ladang hidroponik pintar lestari

BERANANG, 27 Jun – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) telah berjaya melaksanakan program pemindahan ilmu berimpak tinggi, HIDROVERSE 2.0: Pelestarian dan Pengembangan Ladang Hidroponik Pintar.

Program yang berlangsung selama satu hari itu diadakan di kawasan bersebelahan Gelanggang Silat Desa Mahkota, Kampung Sungai Kembong Hilir, Beranang, Selangor. Penyertaan seramai 20 orang penduduk sekitar mencerminkan komitmen tinggi komuniti dalam mendepani teknologi pertanian moden serta memperkukuhkan amalan pertanian mampan.

Program ini merupakan manifestasi jaringan kerjasama strategik antara UTM, UNITEN, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Kembong Hilir serta rakan industri, Han Agro Sdn. Bhd. Sesi pagi dimulakan dengan bacaan doa, diikuti ucapan aluan oleh Pengerusi JPKK Kampung Sungai Kembong Hilir, Jumad Omar. Seterusnya, Ir. Ts. Dr. Daud Mohamad selaku Ketua Projek UNITEN menyampaikan ucapan aluan dan taklimat keselamatan, disusuli taklimat pengisian program oleh Ketua Projek UTM, Ts. Mohd Hazri Ishak. Turut hadir sebagai barisan pakar ialah Ts. Dr. Nur Liyana Mohd Kamal dari UNITEN, Ahmad Fadhli Mohd Suhaimi, Noor Aniza Ghazali dan Nor Hafizah Ahmad Fuad yang mewakili kepimpinan UTM.

Peserta mengikuti sesi amali pemasangan sistem penanaman hidroponik Nutrient Film Technique (NFT)

Sebagai kesinambungan daripada fasa terdahulu, HIDROVERSE 2.0 memberi fokus kepada pemerkasaan masyarakat, pengembangan fasiliti serta jaminan kelestarian projek dalam jangka panjang. Menerusi pemindahan kepakaran, program ini berjaya membangunkan kemudahan pertanian moden yang mampu dimanfaatkan secara berterusan oleh komuniti setempat.

Antara hasil utama projek ialah pembinaan fasiliti hidroponik pintar lengkap dengan Rumah Perlindungan Hujan (RPH) yang berupaya menampung sehingga 640 batang pokok sayuran. Kecekapan operasi ladang ini diperkukuhkan melalui integrasi sistem solar sebagai sumber tenaga hijau yang diterajui oleh Ahmad Fadhli Mohd Suhaimi, di samping Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) sebagai sumber air alternatif mesra alam yang diselia oleh Mohd Norazrin Zahrin.

Peserta menyertai sesi amali pemasangan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH)
Peserta mengikuti sesi amali pendawaian sistem solar

Bagi memastikan pemindahan ilmu berlangsung secara berkesan, para peserta didedahkan kepada pelbagai pengisian bengkel yang komprehensif. Sesi pagi memfokuskan aspek teknikal menerusi Bengkel Pemasangan Sistem Nutrient Film Technique (NFT) dan Perpaipan Air Baja di bawah bimbingan Noor Aniza Ghazali. Selain itu, Bengkel Pemasangan SPAH serta Bengkel Pendawaian Solar dan Integrasi Asas Automasi turut dilaksanakan pada sesi yang sama.

Kemahiran peserta terus diperkukuhkan pada sesi petang melalui latihan amali berkaitan pengurusan nutrien, teknik penanaman pertama, pengaturcaraan pemasa (timer) serta demonstrasi penggunaan teknologi sensor. Kesemua modul ini direka bagi memastikan penduduk kampung mampu mengendalikan fasiliti tersebut secara berdikari.

Peserta mengikuti latihan amali pengoperasian sistem hidroponik serta penyediaan bancuhan nutrien

Program diakhiri dengan majlis penutupan yang diserikan dengan ucapan penghargaan daripada Ketua Kampung, Ketua Projek UNITEN serta Hafizah Ahmad Pua’at selaku wakil UTM. Seterusnya, sesi diteruskan dengan penyampaian cenderamata dan sijil kepada para peserta sebagai penghargaan atas penyertaan mereka sepanjang program berlangsung.

Kejayaan HIDROVERSE 2.0 mencetuskan harapan agar projek perintis ini menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi pusingan serta memperkukuhkan keterjaminan makanan di peringkat domestik. Semua pihak berharap usaha kolaboratif antara universiti, komuniti dan industri ini dapat diteruskan serta diperluaskan, sekali gus meletakkan Kampung Sungai Kembong Hilir sebagai model perkampungan pintar lestari yang boleh dicontohi oleh komuniti lain di Malaysia.

Explore More

UTM Open Day