📝 Ringkasan
Enam belia Orang Asli dari Kampung Kuala Pangsun telah menamatkan kursus latihan automotif di P10X Academy selepas mengikuti program latihan intensif selama tujuh bulan. Program latihan tersebut merupakan sebahagian daripada Program Pemindahan Ilmu-Geran Inovasi Penyelidikan (UTM KTP-RIG) yang bertujuan memperkasa masyarakat Orang Asli melalui pembangunan kapasiti dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kesihatan serta peningkatan sosioekonomi secara bersepadu.
SUBANG JAYA, 4 Jun – Enam belia Orang Asli dari Kampung Kuala Pangsun berjaya menamatkan kursus latihan automotif di P10X Academy selepas mengikuti program latihan intensif selama tujuh bulan yang merangkumi kemahiran pemasangan filem penapis haba (tinted), Filem Pelindung Cat (PPF), car detailing dan vehicle wrapping.
Program latihan tersebut merupakan sebahagian daripada Program Pemindahan Ilmu-Geran Inovasi Penyelidikan (UTM KTP-RIG) bertajuk Program Peningkatan STEM, TVET, Kesihatan dan Sosioekonomi Komuniti Orang Asli Kuala Pangsun yang dilaksanakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Program berimpak komuniti ini bertujuan memperkasa masyarakat Orang Asli melalui pembangunan kapasiti dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kesihatan serta peningkatan sosioekonomi secara bersepadu.
Latihan pemasangan filem penapis haba yang dijalankan di P10X Academy merupakan Sub-Projek 2 (TVET) daripada keseluruhan program tersebut, yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran teknikal bernilai pasaran tinggi bagi meningkatkan kebolehpasaran belia Orang Asli serta membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam industri automotif.
Majlis penamatan latihan tersebut turut menjadi platform untuk menilai tahap penguasaan kemahiran peserta apabila mereka diberi peluang mengajar seorang pelajar baharu dalam pemasangan filem penapis haba pada cermin kenderaan. Ketua Sub-Projek 2 (TVET), Dr. Nurul Zainab Along dari UTM, hadir bagi melihat sendiri keupayaan belia Orang Asli yang telah mengikuti latihan tersebut. Penilaian ini bertujuan membuktikan bahawa peserta bukan sahaja mampu menguasai kemahiran teknikal, malah berupaya memindahkan ilmu kepada individu lain.
Dalam sesi demonstrasi tersebut, seorang sukarelawan UTM, Siti Norasikin, bertindak sebagai pelajar baharu di P10X Academy dan diberikan tugasan memasang filem penapis haba pada cermin kenderaan. Keseluruhan proses pembelajaran dan pemasangan dijalankan dengan bimbingan daripada belia Orang Asli yang telah tamat latihan.
Hasil pemerhatian menunjukkan kesemua enam peserta berjaya memberikan penerangan, demonstrasi dan tunjuk ajar dengan baik kepada pelajar baharu. Mereka mampu menerangkan langkah kerja secara sistematik, menunjukkan teknik pemasangan yang betul serta membimbing pelajar menyelesaikan tugasan dengan yakin.

Menurut Dr. Nurul Zainab, pencapaian ini membuktikan bahawa belia Orang Asli mempunyai potensi besar untuk menguasai kemahiran TVET dan seterusnya menjadi agen pemindahan ilmu dalam komuniti mereka.
“Keupayaan peserta untuk mengajar orang lain menunjukkan bahawa mereka benar-benar memahami kemahiran yang dipelajari. Ini merupakan petunjuk penting bahawa latihan yang diberikan telah berjaya meningkatkan kompetensi dan keyakinan mereka. Pendekatan ‘melatih pelatih’ seperti ini penting bagi memastikan manfaat program dapat diperluaskan kepada lebih ramai ahli komuniti pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan P10X Academy, Sarwanie Mohd Sauti, menyifatkan prestasi belia Orang Asli sepanjang tempoh latihan sebagai amat memberangsangkan. Menurut beliau, peserta menunjukkan kebolehan yang tinggi dalam mempelajari kemahiran teknikal dan mampu menguasai tugasan yang diberikan dalam tempoh yang singkat.
“Belia Orang Asli sebenarnya sangat cepat belajar dan mempunyai potensi yang besar untuk berjaya dalam bidang kemahiran. Mereka mampu memahami serta mengaplikasikan teknik yang diajar dengan baik apabila diberikan peluang dan bimbingan yang sesuai,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa beberapa aspek pembangunan diri masih perlu dipertingkatkan bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri. Antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah disiplin kehadiran, ketepatan masa serta kemahiran interpersonal, kerana majikan juga menilai sikap, komunikasi dan keupayaan bekerja dalam satu pasukan, bukan sekadar kemahiran teknikal semata-mata.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pegawai Operasi (COO) P10X Academy, Che Salwani Enche Mohd Noor, menegaskan bahawa pembangunan modal insan perlu diberikan perhatian sebelum peserta mengikuti latihan kemahiran. Menurut beliau, aspek seperti keyakinan diri, komunikasi, disiplin dan etika kerja perlu dipupuk lebih awal bagi membantu belia Orang Asli menyesuaikan diri dengan persekitaran latihan dan pekerjaan.
“Peserta menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan sepanjang program ini. Namun, pembangunan modal insan pada peringkat awal adalah penting bagi membantu mereka membina keyakinan diri dan bersedia untuk menerima latihan kemahiran dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa enam peserta tersebut akan menjalani peperiksaan penilaian kemahiran sebagai langkah terakhir sebelum menamatkan program sepenuhnya, sebelum mereka dijangka mula mencari peluang pekerjaan di bengkel-bengkel kereta dan syarikat automotif yang berkaitan dengan bidang yang telah dipelajari.

Menurut Che Salwani lagi, program tersebut turut mendapat perhatian daripada Pegawai Pembangunan Masyarakat Orang Asli Negeri Selangor, Fauziah Omar, yang melihat inisiatif berkenaan sebagai pendekatan yang unik dan berpotensi tinggi dalam meningkatkan taraf sosioekonomi belia Orang Asli.
“Puan Fauziah sangat tertarik dengan program ini kerana ia merupakan satu pendekatan yang unik dan belum pernah ditawarkan kepada belia Orang Asli sebelum ini. Beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan dan lebih banyak pengambilan baharu dapat dilaksanakan pada masa hadapan supaya lebih ramai belia Orang Asli dapat memperoleh kemahiran yang relevan dengan keperluan industri,” jelas beliau.

Kejayaan enam belia Orang Asli Kuala Pangsun ini membuktikan bahawa dengan peluang, latihan yang sesuai serta sokongan berterusan daripada institusi pendidikan, industri dan agensi kerajaan, komuniti Orang Asli mampu menguasai kemahiran berteknologi tinggi serta bersaing dalam pasaran pekerjaan semasa. Program ini juga menjadi contoh bagaimana pemindahan ilmu melalui pendekatan STEM dan TVET dapat menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi komuniti secara mampan dan inklusif.