BERANANG, 28 Jun – Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) terus mengukuhkan agenda pemindahan ilmu menerusi pelaksanaan program ECOSTONE 2.0: Pengukuhan Kelestarian Komuniti Melalui Teknologi Simenfero.
Program berimpak tinggi yang berlangsung selama dua hari itu diadakan di Balairaya Kampung Sungai Kembong Hilir, Beranang, Selangor dan berjaya menarik penyertaan seramai 21 orang penduduk kampung yang proaktif dalam mempelajari teknologi landskap lestari.
Inisiatif ini dijayakan menerusi jaringan kerjasama strategik yang melibatkan UTM, UNITEN, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Kembong Hilir serta sokongan rakan korporat, IJM Corporation Berhad.
Sesi pembukaan pada hari pertama dimulakan dengan bacaan doa, diikuti ucapan aluan oleh Wakil Ketua Kampung, Paridhonathrat Abd. Razak. Seterusnya, Ts. Dr. Nur Liyana Mohd Kamal selaku Ketua Projek UNITEN menyampaikan ucapan aluan serta taklimat keselamatan, diikuti taklimat pengisian program oleh Ketua Fasilitator, Mohd Nor Azsuan Mohd Yaacob.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan pengurusan universiti, termasuk Ir. Ts. Dr. Daud Mohamad dari UNITEN serta Ts. Mohd Hazri Ishak dan Nor Hafizah Ahmad Fuad yang mewakili UTM.
Sebagai kesinambungan daripada fasa terdahulu, ECOSTONE 2.0 memfokuskan kepada pemerkasaan masyarakat setempat serta jaminan kelestarian projek dalam jangka panjang.
Pada hari pertama, para peserta didedahkan kepada Bengkel Pembangunan Produk yang merangkumi beberapa fasa penting, termasuk teknik membina rangka produk, formula bancuhan simen, kaedah memotong dan membengkokkan besi, penggunaan alatan tangan yang sesuai serta penyediaan dan penggunaan acuan secara berkesan.
Latihan intensif ini diteruskan pada hari kedua menerusi Bengkel Pemurnian dan Pemasangan Produk, yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik mengeluarkan produk daripada acuan, pemasangan bangku, aplikasi cat serta proses kemasan akhir bagi memastikan ketahanan dan kualiti produk untuk kegunaan luar.
Hasil daripada perkongsian kepakaran ini, komuniti setempat berjaya menghasilkan dua unit bangku laman dan satu set meja landskap yang diperbuat daripada simenfero berkualiti tinggi. Kesemua prasarana tersebut telah ditempatkan di kawasan bersebelahan gelanggang sepak takraw untuk dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
Bagi menjamin kelestarian program dalam jangka panjang, semua peralatan yang digunakan sepanjang bengkel telah diserahkan kepada penduduk kampung bagi membolehkan mereka menghasilkan produk yang sama secara berdikari pada masa hadapan.
Program diakhiri dengan majlis penutupan pada hari kedua yang diserikan dengan ucapan penghargaan daripada Ketua Kampung, Jumad Omar; Ketua Projek UNITEN; serta Hafizah Ahmad Pua’at selaku wakil UTM. Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderamata dan sijil penyertaan kepada para peserta.
Penganjuran program ini memberikan impak yang amat positif, apabila semua pihak menyatakan penghargaan dan kepuasan terhadap hasil akhir projek yang berjaya dilaksanakan. Kejayaan tersebut diharapkan dapat memupuk semangat keusahawanan sosial dan inovasi dalam kalangan penduduk, sekali gus menjadi model terbaik jalinan kolaborasi antara universiti, industri dan komuniti dalam memperkasa pembangunan masyarakat secara holistik.