Dato’ Ir. Ibrahim Esa, Alumni UTM, Dilantik Ketua Pengarah JKR

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11

📝 Ringkasan

Dato’ Ir. Ibrahim Esa, alumni Fakulti Kejuruteraan Awam UTM dan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam pada tahun 1991, telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) mulai hari ini (8 Jun 2026). Beliau memiliki lebih 32 tahun pengalaman dalam bidang kejuruteraan awam dan pengurusan projek pembangunan infrastruktur. Sebelum pelantikan ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan).

KUALA LUMPUR, 8 Jun  – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada alumninya, YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim Esa, atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR) berkuat kuasa hari ini.

Dato’ Ir. Ibrahim merupakan alumni Fakulti Kejuruteraan Awam UTM yang menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam pada tahun 1991. Beliau mempunyai lebih 32 tahun pengalaman dalam bidang kejuruteraan awam, pengurusan projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam negara.

Sebelum pelantikan ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) dan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek pembangunan kerajaan, pengukuhan tadbir urus teknikal serta pembangunan infrastruktur awam negara.

Hubungan beliau dengan UTM terus kekal erat melalui pelbagai inisiatif kerjasama strategik antara JKR dan universiti. Antaranya termasuk penglibatan dalam menyokong perkongsian antara Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) dengan UTM menerusi pertukaran dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memajukan teknologi kejuruteraan tempatan dan memperkukuh ekosistem penyelidikan negara.

Beliau turut terlibat dalam program kolaborasi akademik dan teknikal seperti National Symposium on Sustainable Infrastructure and Engineering (SustaIN) yang dianjurkan bersama oleh JKR Malaysia dan UTM, selain menyokong pelbagai platform perkongsian ilmu termasuk JKR Research Colloquium yang menghimpunkan penyelidik, akademia dan pengamal industri.

Sebagai pemimpin kanan JKR, Dato’ Ir. Ibrahim juga sentiasa menyokong usaha merapatkan jurang antara industri dan akademia melalui kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada pembangunan bakat, penyelidikan berimpak tinggi serta kemajuan sektor kejuruteraan negara.

Pelantikan ini mencerminkan keupayaan alumni UTM untuk terus menyumbang di peringkat tertinggi perkhidmatan awam negara, sekali gus memperkukuh reputasi UTM sebagai institusi yang melahirkan pemimpin profesional, jurutera dan peneraju pembangunan negara.

Seluruh warga UTM mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim Esa atas pelantikan ini.

 

Explore More

UTM Open Day