JOHOR BAHRU, 20 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) terus memperkukuh agenda pembelajaran berasaskan pengalaman dan penglibatan komuniti menerusi penganjuran Pameran Libatsama Komuniti dan Karnival Kokurikulum (Community Engagement Showcase & Co-Curriculum Carnival – CESCO 2026) yang berlangsung di Bangunan Blok L50, UTM Johor Bahru.
Program tahunan itu menghimpunkan lebih 2,400 pelajar sebagai peserta, melibatkan 1,680 pelajar daripada 56 kursus Elektif Pembelajaran Servis dan Libatsama Komuniti (kokurikulum) serta kira-kira 750 pelajar daripada 25 seksyen kursus akademik yang mengintegrasikan pendekatan Pembelajaran Servis – Universiti untuk Masyarakat (SULAM) bagi Semester II Sesi 2025/2026.
Selain penyertaan pelajar yang memberangsangkan, CESCO 2026 turut menerima sambutan menggalakkan daripada warga kampus dan masyarakat setempat dengan anggaran kehadiran antara 1,500 hingga 2,000 pengunjung sepanjang program berlangsung. Kehadiran tersebut mencerminkan minat yang tinggi terhadap aktiviti pembelajaran servis, projek libatsama komuniti serta pameran hasil pembelajaran yang dipersembahkan oleh para pelajar.
CESCO merupakan kesinambungan kepada Hari Kokurikulum UTM yang mula diperkenalkan pada tahun 2019 sebagai platform untuk pelajar mempamerkan hasil pembelajaran yang diperoleh menerusi kursus kokurikulum. Program itu kemudiannya dijenamakan semula pada tahun 2023 sebagai CESCO bagi memberi penekanan yang lebih jelas terhadap agenda penglibatan komuniti dan pembelajaran berimpak.
Menerusi penganjuran ini, pengunjung berpeluang mendapatkan pendedahan mengenai pelbagai aktiviti pembelajaran servis (service learning) dan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang telah dilaksanakan oleh pelajar sepanjang semester.

Pengarah CESCO 2026, Dr. Lukman Hakim Ismail, berkata penganjuran program seperti ini menggalakkan interaksi antara pelajar daripada pelbagai disiplin sekali gus memperkukuh kemahiran insaniah, kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan secara praktikal.
Menurut beliau, program tersebut turut memberi pendedahan kepada pelajar mengenai hala tuju universiti dalam pembangunan modal insan dan peningkatan kebolehpasaran graduan melalui aktiviti pembelajaran servis serta penglibatan komuniti.

Penganjuran CESCO 2026 turut menyokong aspirasi UTM ASCEND 2030, khususnya pelaksanaan Action Plan KT1-26 yang memberi penekanan kepada kursus-kursus SULAM dalam menangani isu pengurangan jejak karbon, cabaran masyarakat dan kemanusiaan. Melalui pendekatan ini, pelajar berpeluang mengaplikasikan ilmu akademik dalam situasi sebenar, sekali gus menghasilkan impak positif kepada komuniti.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Dekan UGS, Prof. Madya Dr. Mahyuddin Arsat. Antara kemuncak program ialah penyampaian anugerah kepada kursus dan projek terbaik yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelaksanaan pembelajaran servis dan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Bagi kategori Kursus Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (Experiential Learning) Terbaik, ULRF2482 (Pembuatan Perabot) muncul sebagai penerima Anugerah Utama Best of the Best dan turut dinobatkan sebagai johan. Naib johan dimenangi oleh ULRF2282 (Komuniti Lestari), manakala tempat ketiga menjadi milik ULRF2132 (Penyelenggaraan Kenderaan Automotif).
Sementara itu, bagi kategori Kursus Pembelajaran Servis (Service Learning) Terbaik, anugerah johan dimenangi oleh projek di bawah penyeliaan Dr. Aminah Mohsin. Selain itu, ULRF2652 (Golf) telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Poster Terbaik, manakala ULRF2072 (Kemahiran Pertanian) memenangi Anugerah Booth Terbaik.

Kejayaan penganjuran CESCO 2026 membuktikan komitmen berterusan UTM dalam memperkasakan pembelajaran berasaskan pengalaman dan pembelajaran servis sebagai medium pembangunan graduan holistik. Melalui penglibatan aktif pelajar bersama komuniti serta sambutan menggalakkan daripada pengunjung, program ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan, malah memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang menyumbang secara langsung kepada pembangunan masyarakat dan negara.