Bintang Universe 2026: Sudirman 2.0 Singing Competition cungkil bakat seni vokal mahasiswa UTM

SDGSDG4SDG17

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan pertandingan nyanyian Bintang Universe 2026: Sudirman 2.0 untuk mencungkil bakat vokal mahasiswa serta memberi pendedahan terus kepada industri muzik melalui kolaborasi strategik bersama label rakaman utama. Program ini bukan sahaja bertujuan memperingati legenda Allahyarham Dato’ Sudirman Hj. Arshad, malah menjadi platform bagi melahirkan graduan yang holistik dengan keyakinan diri dan kreativiti yang tinggi sebelum beralih ke peringkat kebangsaan.

JOHOR BAHRU, 13 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh pembangunan bakat seni dalam kalangan mahasiswa menerusi penganjuran Bintang Universe 2026: Sudirman 2.0 Singing Competition, sebuah pertandingan yang menjadi platform untuk mencungkil dan mengembangkan bakat seni vokal mahasiswa, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk mewakili universiti ke pertandingan Bintang Universe peringkat kebangsaan.

Program ini dianjurkan oleh para pelajar kursus ULRF2552 Persembahan Seni Vokal di bawah Kluster Kesenian dan Kebudayaan, Kursus Ko-Kurikulum Berkredit, Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS), UTM dengan bimbingan pensyarah kursus, Ardiyanto Arda@Ardah. Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada kolaborasi strategik bersama Universal Music Malaysia dengan kerjasama EMI Music Malaysia, Faithful Music, Def Jam Recordings Malaysia, L.Y. Music Factory serta beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan UTM.

Kolaborasi ini bukan sahaja memperingati jasa seniman legenda negara, Allahyarham Dato’ Sudirman Hj. Arshad, malah membuka peluang kepada mahasiswa untuk menyerlahkan bakat seni vokal, meningkatkan keyakinan diri serta memperoleh pendedahan secara langsung kepada industri muzik tanah air.

Pertandingan peringkat UTM dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu sesi uji bakat dan peringkat separuh akhir. Sesi uji bakat yang berlangsung pada 5 dan 6 Jun 2026 di Student Studio, Student Union Building (SUB), UTM menarik penyertaan seramai 30 peserta yang terdiri daripada pelajar prasiswazah, pascasiswazah dan pelajar antarabangsa. Daripada jumlah tersebut, 10 peserta terbaik dipilih untuk berentap di peringkat separuh akhir.

Sesi uji bakat Bintang Universe 2026: Sudirman 2.0 Singing Competition UTM yang berlangsung di Student Studio, SUB

Peringkat separuh akhir berlangsung pada 13 Jun 2026 di Dataran Gemilang, Kolej 9 dan 10, UTM. Kesemua peserta mempersembahkan persembahan yang bertenaga dan penuh penghayatan menerusi gabungan elemen vokal, busana, tarian dan lakonan yang kreatif, sekali gus menyerlahkan kreativiti, keyakinan diri serta kemampuan mereka menguasai pentas.

Peserta mempersembahkan nyanyian pada peringkat separuh akhir di Dataran Gemilang, Kolej 9 dan 10

Pertandingan peringkat separuh akhir ini diadili oleh Pegawai Kebudayaan, Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Mohd. Fauzi Abdul Rais, selaku ketua juri, bersama pensyarah kursus ULRF2552 dan Penasihat Persatuan Seni Vokal UTM, Ardiyanto Arda@Ardah.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Penyelaras Kluster Kesenian dan Kebudayaan, Kursus Ko-Kurikulum Berkredit UTM, Prof. Madya Dr. Fong Wan Heng, sekali gus menjadi simbol penghargaan terhadap komitmen para peserta, jawatankuasa penganjur, barisan juri serta rakan kolaborasi industri dalam menjayakan pertandingan ini.

Prof. Madya Dr. Fong Wan Heng, Penyelaras Kluster Kesenian dan Kebudayaan, menyampaikan ucapan perasmian dalam majlis penutupan

Dalam pertandingan tersebut, Coreen Liane Thompson dinobatkan sebagai juara, diikuti oleh Mohammad Hafiz Arjaman sebagai naib johan, manakala Nurul Balqys Syasya Baharudin meraih tempat ketiga. Tempat keempat dan kelima masing-masing dimenangi oleh Mohamad Arif Hakimi Mohamad Ghani dan Alban John Paul. Para pemenang menerima hadiah berupa wang tunai, hamper, trofi dan sijil penghargaan.

Barisan pemenang bergambar bersama tetamu kehormat, juri dan penganjur pertandingan

Kesemua peserta yang layak akan meneruskan saingan ke peringkat akhir Bintang Universe 2026: Sudirman 2.0 Singing Competition UTM yang dijadualkan berlangsung pada Oktober 2026. Juara pertandingan akhir bakal mewakili UTM ke pertandingan Bintang Universe anjuran Universal Music Malaysia yang dijangka berlangsung pada Disember 2026.

Penganjuran pertandingan ini mencerminkan komitmen UTM dalam menyediakan platform pembangunan bakat mahasiswa secara holistik. Selain mengasah kemahiran seni persembahan, program ini turut memupuk keyakinan diri, kreativiti, kemahiran komunikasi serta semangat berkarya dalam kalangan mahasiswa, sejajar dengan usaha melahirkan graduan yang cemerlang dari segi akademik serta memiliki sahsiah dan kepimpinan yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

 

Oleh Prof. Madya Dr. Fong Wan Heng dan Ardiyanto Arda@Ardah

Explore More

UTM Open Day