Alumni UTM, Ben Teh, Group Chief Sales Officer redONE Mobile perkukuh jaringan strategik dengan UTM

JOHOR BAHRU, 26 Jun  – Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada alumni UTM, Ben Teh, Group Chief Sales Officer (CSO) redONE Mobile, di Kediaman Rasmi Naib Canselor. Pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan potensi kerjasama strategik antara UTM dan redONE dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

Ben Teh  merupakan graduan Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, 2001 dari UTM serta merupakan antara pengasas redONE Holdings, sebuah syarikat telekomunikasi yang berkembang sebagai antara Mobile Virtual Network Operator (MVNO) terkemuka di rantau Asia Tenggara. Sebagai Group CSO, beliau menerajui strategi komersial, pembangunan rangkaian pengedar serta pertumbuhan perniagaan syarikat.

Pertemuan tersebut menjadi platform bagi membincangkan potensi memperkukuh kerjasama strategik antara UTM dan redONE, khususnya dalam bidang pembangunan bakat, inovasi digital, keusahawanan serta inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada mahasiswa dan alumni.

Terdahulu, redONE telah menjalin kerjasama dengan UTM menerusi pelaksanaan Digital Entrepreneur Programme, satu inisiatif yang dibangunkan bersama bagi memperkasakan graduan melalui latihan keusahawanan digital, pembangunan kompetensi masa hadapan serta peningkatan kebolehpasaran graduan. Program tersebut dilaksanakan melalui UTMSPACE dengan sokongan rakan industri.

Selain itu, redONE turut menunjukkan komitmen berterusan terhadap komuniti UTM melalui sokongan kepada pelbagai inisiatif termasuk pembangunan sukan universiti.

Prof. Mohd Shafry turut merakamkan penghargaan kepada Ben Teh atas kesediaan beliau untuk terus menyumbang kepada alma mater dan menyifatkan alumni sebagai rakan strategik universiti yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan universiti–industri, memperluas peluang kolaborasi serta menyokong aspirasi UTM sebagai universiti penyelidikan bertaraf global.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkukuh hubungan bersama alumni yang kini menerajui pelbagai organisasi dan industri, sekali gus membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik yang memberi impak kepada pembangunan bakat, inovasi serta kecemerlangan universiti pada masa hadapan.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bersama Alumni UTM, Ben Teh, Group Chief Sales Officer (CSO) redONE Mobile

Explore More

UTM Open Day