Alumni UTM Dinobat Tokoh Belia Maal Hijrah Daerah Muar 1448H / 2026M

SDGSDG4SDG8SDG16

📝 Ringkasan

Danial Iskandar Jafridin, graduan Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan (Kemahiran Hidup) 2023 dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM, telah dinobatkan sebagai Tokoh Belia Maal Hijrah Daerah Muar bagi tahun 2026. Beliau telah diberi pengiktirafan atas sumbangan, kepimpinan dan komitmen beliau dalam memperkasa golongan belia dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat di daerah Muar. Danial, yang kini berkhidmat sebagai pendidik di di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota, Muar, telah menunjukkan kepimpinan yang aktif dalam membimbing pelajar dan terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan dan pembangunan belia.

MUAR, 17 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Aspirasi ini jelas terpancar melalui kejayaan alumni UTM, Danial Iskandar Jafridin, graduan Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan (Kemahiran Hidup) 2023 dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, yang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Belia Maal Hijrah Daerah Muar bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi.

Pengiktirafan yang disampaikan sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Muar itu diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan, kepimpinan dan komitmen beliau dalam memperkasa golongan belia serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat di daerah tersebut.

Danial yang kini berkhidmat sebagai seorang pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota, Muar  dikenali sebagai individu yang aktif membimbing pelajar serta terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan dan pembangunan belia. Beliau turut memegang jawatan sebagai Naib Yang Dipertua II Majlis Belia Daerah Muar, sekali gus memainkan peranan penting dalam menggerakkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Dari Kampus ke Masyarakat

Kepimpinan Danial mula terserlah sejak bergelar mahasiswa di UTM. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM bagi sesi 2021/2022, selain berkhidmat sebagai Bendahari MPP.

Sepanjang tempoh kepimpinannya, beliau aktif memperjuangkan kebajikan mahasiswa, menggerakkan pelbagai program pembangunan pelajar serta menjadi suara yang mewakili aspirasi warga kampus. Pengalaman tersebut menjadi asas kukuh dalam membentuk kemampuan beliau sebagai pemimpin muda yang berwibawa dan dekat dengan masyarakat.

Kecemerlangan Akademik dan Kepimpinan

Kecemerlangan Danial tidak hanya terserlah dalam bidang kepimpinan, malah turut diiktiraf melalui pencapaian akademiknya.

Pada tahun 2023, beliau telah menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) sempena Majlis Konvokesyen UTM Ke-67, salah satu anugerah paling berprestij yang diberikan kepada graduan yang menunjukkan kecemerlangan akademik dan kepimpinan secara seimbang.

Sebelum itu, beliau turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siswa Johor Terbaik (Akademik) dalam Anugerah Ikon Siswa Johor (AISJ) 2022, sekali gus membuktikan komitmen beliau terhadap kecemerlangan dalam pelbagai aspek.

Inspirasi Buat Generasi Muda

Pencapaian Danial membuktikan bahawa kepimpinan yang diasaskan dengan ilmu, integriti dan semangat khidmat kepada masyarakat mampu melahirkan impak yang berpanjangan.

Daripada memimpin mahasiswa di kampus kepada memperkasakan komuniti di peringkat daerah, perjalanan beliau mencerminkan aspirasi UTM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Tahniah Danial Iskandar Jafridin atas pengiktirafan yang membanggakan ini. Semoga terus cemerlang dalam memimpin, berkhidmat dan menginspirasi generasi muda akan datang.

 

Explore More

UTM Open Day