📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Wacana Intelektual MADANI Siri 5/2026 bertemakan “Sains dan AI: Ke Arah Penyelidikan Interdisiplin Berimpak Tinggi”. Majlis ilmu ini telah membincangkan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkasa landskap penyelidikan masa hadapan yang lebih inovatif, lestari dan berimpak tinggi. Tiga panel berpengaruh telah berkongsi perspektif industri, kepentingan pembangunan ekosistem penyelidikan interdisiplin, dan potensi integrasi teknologi AI dalam bidang matematik dan sains. Program ini telah mencerminkan komitmen UTM dalam menerajui wacana strategik berkaitan masa hadapan sains, teknologi dan AI.
JOHOR BAHRU, 13 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda kecemerlangan akademik dan penyelidikan apabila menganjurkan Wacana Intelektual MADANI Siri 5/2026 bertemakan “Sains dan AI: Ke Arah Penyelidikan Interdisiplin Berimpak Tinggi” di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.
Program anjuran Fakulti Sains dengan kerjasama Majlis Profesor UTM (MPU) ini menghimpunkan tokoh akademik, penyelidik, penggubal dasar serta warga universiti bagi membincangkan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam memperkasa landskap penyelidikan masa hadapan yang lebih inovatif, lestari dan berimpak tinggi.
Majlis ilmu siri ke-5 ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus. Hadir sama dalam majlis yang dihadiri lebih daripada 300 peserta daripada kalangan staf dan pelajar ialah Ahli Lembaga Pengarah UTM, Prof. Ts. Dr. Abd Latif Saleh, dan Dekan Fakulti Sains, Prof. Madya Dr. Shafinaz Shahir.


Wacana ilmiah ini menampilkan tiga panel berpengaruh yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang sains, dasar dan teknologi. Panel pertama, Dato’ Dr. Bugs Tan Yew Kiang, berkongsi perspektif industri berkaitan hala tuju pembangunan sains dan teknologi negara dalam mendepani era AI, termasuk cabaran, peluang serta keperluan memperkukuh ekosistem inovasi dan bakat berkemahiran tinggi bagi menyokong agenda pembangunan negara.
Turut berkongsi pandangan sebagai ahli panel kedua ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Sains Malaysia (ASM), Hazami Habib, yang menekankan kepentingan pembangunan ekosistem penyelidikan interdisiplin, pemerkasaan budaya inovasi serta kesiapsiagaan institusi pendidikan tinggi dalam menghadapi transformasi digital dan perkembangan teknologi AI bagi memastikan kelestarian serta daya saing negara pada masa hadapan.
Sementara itu, panel ketiga, Prof. Ts. Dr. Muhammad Hisyam Lee daripada Fakulti Sains UTM, mengetengahkan potensi integrasi teknologi AI dalam bidang matematik dan sains sebagai pemangkin kepada penyelidikan berimpak tinggi, inovasi berasaskan data serta pembangunan penyelesaian strategik terhadap isu-isu kompleks yang dihadapi oleh masyarakat, industri dan negara.
Sesi wacana dikendalikan oleh Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin selaku moderator yang berjaya menerajui perbincangan ilmiah secara profesional, dinamik dan interaktif, sekali gus mewujudkan ruang perkongsian idea serta pandangan yang bernilai tinggi berkaitan perkembangan sains, teknologi dan AI. Selain membincangkan cabaran serta peluang AI dalam dunia penyelidikan, para panel turut menekankan keperluan melahirkan penyelidik yang adaptif, kreatif dan beretika dalam memanfaatkan teknologi baharu bagi menghasilkan penyelesaian yang memberi impak kepada negara dan masyarakat global.


Para panel turut berkongsi panduan dan nasihat kepada pelajar yang hadir mengenai langkah persediaan yang perlu diambil bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, termasuk penguasaan kemahiran digital, pemikiran kritis, adaptasi teknologi serta kesiapsiagaan menghadapi keperluan dan cabaran pasaran industri dalam era AI masa kini dan akan datang.

Program ini turut menjadi platform strategik dalam memperkukuh budaya intelektual dan kolaborasi rentas disiplin, sejajar dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 serta agenda Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan ilmu, inovasi dan kesejahteraan masyarakat. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UTM dalam menerajui wacana strategik berkaitan masa hadapan sains, teknologi dan AI, di samping memperkukuh peranan universiti sebagai hab kecemerlangan ilmu, penyelidikan, inovasi serta pembangunan modal insan berdaya saing demi menyokong agenda kemajuan negara. Diharapkan program anjuran Fakulti Sains dan MPU ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan menampilkan panel yang mampu memberikan impak berterusan ke arah menjayakan UTM ASCEND 2030.
Oleh Khairull Azmi Ishak dan Atraz Omar, Fakulti Sains UTM