📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melahirkan banyak graduan yang menjadi Datuk Bandar di seluruh negara. Mereka ini termasuk Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Haji Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, dan Datin Paduka Hazlina Jalil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang. Mereka ini telah menggunakan ilmu dan kepakaran mereka untuk memimpin pembangunan bandar dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Di sebalik setiap jalan raya yang tersusun, sistem saliran yang berfungsi, dan pembangunan bandar yang berkembang, terserlah kepimpinan yang dibentuk melalui disiplin ilmu yang tepat, sistematik dan berpandangan jauh. Pendekatan ini menjadi teras di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sebuah institusi yang bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah pemimpin strategik yang mencorakkan landskap pembangunan negara. Antara manifestasi paling jelas ialah kehadiran alumni UTM dalam barisan kepimpinan bandar di Malaysia yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar.
Dari perancangan bandar hingga pengurusan infrastruktur dan kesejahteraan komuniti, alumni UTM memainkan peranan penting dalam menerajui bandar-bandar utama negara ke arah masa depan yang lebih mampan dan inklusif.
Antara tokoh yang menonjol termasuk Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa UTM (1992) serta berpengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya. Kepakaran beliau menjadi asas kepada pendekatan strategik dalam mengurus ibu negara yang semakin kompleks.
Beliau sebelum ini merupakan Presiden Perbadanan Putrajaya dari 2022 hingga November 2025, dengan kepimpinan yang memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025 dan Pelan Transformasi Hijau Putrajaya. Dalam tempoh tersebut, beliau turut menerajui pembangunan Kota MADANI di Presint 19, Putrajaya, sebuah projek bandar pintar bernilai RM4 bilion.
Di Johor Bahru, Dato’ Haji Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, merupakan alumni UTM dalam bidang Sarjana Muda Ukur (Pengurusan Harta Tanah) (1995). Latar belakang ini memperkukuh pendekatan pembangunan bandar yang seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Datin Paduka Hazlina Jalil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, merupakan alumni Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Strategik) UTM (2010). Beliau menerajui Pasir Gudang dengan pendekatan strategik yang memberi penekanan kepada pembangunan industri dan kesejahteraan komuniti setempat. Lebih membanggakan, beliau merupakan wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar di Negeri Johor.
Di Seremban, Dato’ Ir. Ts. Haji Masri Baharuddin, alumni Diploma Kejuruteraan Awam (1989) dan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam (1992) UTM, mengetuai Majlis Bandaraya Seremban dengan memanfaatkan kepakaran teknikal dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur serta perancangan bandar yang mampan.
Keupayaan ini turut disokong oleh kecemerlangan akademik UTM di peringkat global apabila universiti ini diiktiraf sebagai #1 di Malaysia bagi bidang Seni Bina dan Alam Bina serta Kejuruteraan Awam dan Struktur dalam QS World University Rankings by Subject 2026. Pencapaian ini mencerminkan kekuatan asas keilmuan yang diterjemahkan oleh alumni ke dalam amalan kepimpinan sebenar, daripada perancangan bandar hingga pengurusan infrastruktur dan kesejahteraan komuniti.
Selaras dengan aspirasi Pelan Strategik UTM ASCEND 2030, universiti ini terus memperkukuh peranannya dalam melahirkan bakat global dan kepimpinan berimpak tinggi yang menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat antarabangsa. Pendekatan ini berteraskan falsafah “Kerana Tuhan untuk Manusia”, dengan penekanan kepada pendidikan dan inovasi yang berpaksikan nilai manusiawi dan adab dalam membentuk graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi kepakaran, tetapi juga berintegriti dan berjiwa rakyat.
Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan peranan UTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan modal insan negara, selaras dengan komitmennya dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten, tetapi juga meletakkan khidmat kepada masyarakat sebagai keutamaan.
Dengan lebih 250,000 alumni di seluruh dunia, UTM terus memainkan peranan penting dalam membina jaringan kepimpinan yang menyokong pembangunan negara di pelbagai sektor, termasuk pentadbiran bandar dan kerajaan tempatan.