UTM dan Waqaf An-Nur anjur bengkel literasi kepimpinan pendidikan inklusif bagi Sekolah Agama Johor

SDGSDG4SDG10SDG16

📝 Ringkasan

Bengkel literasi kepimpinan pendidikan inklusif telah diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi meningkatkan kefahaman tentang konsep inklusif dalam pendidikan. Bengkel ini disertai oleh 40 orang peserta dari Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ). Objektif utama bengkel ini adalah untuk memastikan pemimpin dalam kalangan pegawai JAINJ, JPNJ dan pentadbir sekolah memahami konsep inklusif sebenar dan mampu memacu perubahan sistemik dalam kurikulum, pedagogi dan budaya sekolah bagi membantu pelajar berkeperluan khas belajar dan berdaya saing secara adil di kelas arus perdana.

JOHOR BAHRU, 8 Mei – Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM (CCIN) dan Waqaf An-Nur Corporation Berhad dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah menjayakan Bengkel Literasi Kepimpinan dan Ekosistem Pendidikan Inklusif. Bengkel siri pertama daripada Projek Pemerkasaan Transformasi Pendidikan Inklusif Sekolah Agama Johor ini berlangsung di Bilik Seminar 1, Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Projek ini dirancang untuk tempoh 12 bulan dan gerak kerjanya telah bermula sejak 1 April lalu melalui kaedah bengkel latihan dasar, sesi bimbingan serta perancangan strategik kolaboratif. Objektif utamanya adalah untuk memastikan pemimpin dalam kalangan pegawai JAINJ, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan pentadbir sekolah memahami konsep inklusif sebenar, seterusnya mampu memacu perubahan sistemik dalam kurikulum, pedagogi dan budaya sekolah bagi membantu pelajar berkeperluan khas belajar dan berdaya saing secara adil di kelas arus perdana.

Melalui inisiatif ini, para peserta dijangka dapat meningkatkan keupayaan menilai tahap inklusiviti sistem sedia ada, sekali gus merangka pelan strategik praktikal bagi tadbir urus sekolah yang lebih responsif, penglibatan murid yang menyeluruh serta pendidikan agama yang adil, rahmah dan mampan.

Peserta bengkel yang bertugas di JPNJ dan PPD sekitar negeri Johor

Bengkel siri pertama ini telah disertai oleh 40 orang peserta yang berkhidmat di JPNJ dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di sekitar Johor. Bengkel ini dikendalikan oleh Dr. Aida A. Rahman, Pensyarah Kanan di Akademi Bahasa, FSSH, UTM, yang mempunyai latar belakang dan pengalaman luas berkaitan pendidikan inklusif serta neurodiversiti di dalam dan luar negara. Sebagai seorang individu berkeperluan khas yang didiagnosis menghidap disleksia, perkongsian pengalaman beliau memberi nilai tambah yang realistik dan bermakna kepada para peserta.

Dr. Aida A. Rahman, Pensyarah Kanan Akademi Bahasa FSSH UTM, menyampaikan sesi bengkel kepada peserta

Secara menyeluruh, program pemindahan ilmu ini bertujuan meningkatkan literasi dalam kalangan komuniti sasaran melalui pemerkasaan kefahaman mengenai dasar inklusif berasaskan neurodiversiti. Program ini turut memberikan pemahaman berasaskan bukti kepada penggubal dasar mengenai keperluan murid berkeperluan khas di sekolah agama, serta memperkasa mereka dalam menyelaras polisi yang responsif dan merangka garis panduan pelaksanaan yang holistik berfokuskan kesejahteraan murid.

Melalui pendekatan sinergi universiti-industri, program ini menghubungkan penyelidikan universiti dengan amalan dasar menerusi pemindahan pengetahuan pakar kepada pentadbir sekolah. Program ini turut menyediakan ruang dialog strategik yang membolehkan perbincangan antara penggubal dasar dan pelaksana, sekali gus mengharmonikan keperluan lapangan dengan keputusan di peringkat negeri. Dalam masa yang sama, kerangka pelaksanaan jangka panjang dapat dibentuk dan berpotensi untuk diadaptasi di semua sekolah agama di Johor.

Sesi perkongsian antara Dr. Aida A. Rahman bersama peserta bengkel

Program ini dijangka memberi impak yang menyeluruh kepada ekosistem pendidikan inklusif di Johor. Dari sudut institusi, ia mengukuhkan peranan UTM sebagai peneraju bidang pendidikan inklusif di peringkat nasional dan membangunkan jaringan kolaborasi strategik dengan agensi pendidikan Islam negeri. Ia juga menyediakan peluang penyelidikan dan penerbitan dalam bidang transformasi pendidikan berasaskan neurodiversiti, menjadi platform latihan industri dan pembangunan profesional kepada pensyarah serta pelajar, serta memperkukuh reputasi universiti melalui impak komuniti yang signifikan, sejajar dengan agenda pemindahan ilmu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Dari sudut komuniti pula, program ini memperkasa kepimpinan pentadbir dan pegawai JAINJ dalam pelaksanaan dasar inklusif, meningkatkan keberkesanan pengajaran melalui kompetensi Reka Bentuk Universal untuk Pembelajaran (UDL) dan pedagogi responsif terhadap murid neurodivergen, serta mengukuhkan hubungan antara rumah dan sekolah melalui penglibatan aktif ibu bapa. Melalui pendekatan ini, akses pendidikan agama yang lebih adil bagi murid neurodivergen dan neurotipikal dapat disediakan, sekali gus membentuk budaya sekolah yang rahmah, menerima kepelbagaian dan mementingkan kesejahteraan semua murid.

Explore More

UTM Open Day