📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah meneroka kerjasama strategik dengan syarikat teknologi global, Tencent Ltd., dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan bakat digital. Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem AI yang komprehensif, termasuk integrasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, pembangunan kemahiran pelajar serta pengukuhan hubungan industri-universiti. UTM dan Tencent Ltd. telah bersetuju untuk merangka Memorandum Perjanjian (MoA) yang akan memperincikan skop kerjasama dan melaksanakan sekurang-kurangnya tiga program utama dalam tahun 2026.
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam pendidikan dan inovasi apabila meneroka potensi kerjasama strategik dengan syarikat teknologi global, Tencent Ltd., dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan bakat digital.
Perbincangan yang berlangsung di Damansara Heights ini menghimpunkan kepimpinan kanan UTM yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, bersama dekan-dekan fakulti utama. Delegasi Tencent Ltd. pula diketuai oleh Naib Presiden bagi rantau Asia Pasifik, Bluefin Zhao, disokong oleh barisan kepakaran dalam seni bina penyelesaian, pembangunan perniagaan dan kerjasama strategik.

Kerjasama yang dicadangkan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem AI yang komprehensif, merangkumi integrasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran, pembangunan kemahiran pelajar serta pengukuhan hubungan industri-universiti. Perbincangan ini selari dengan kedudukan UTM sebagai antara peneraju dalam pembangunan AI di Malaysia, yang diperkukuh melalui penglibatan Naib Canselor UTM selaku pengerusi dalam platform perbincangan strategik AI di peringkat negara. Kedudukan ini sekali gus meletakkan UTM sebagai rujukan utama dalam pembangunan bakat dan ekosistem AI negara.
Menurut Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah, UTM menyambut baik peluang kerjasama ini selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi hab pendidikan berteraskan teknologi di peringkat negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
“UTM sentiasa komited untuk memperkukuh ekosistem pembelajaran berasaskan teknologi terkini. Kerjasama dengan Tencent membuka ruang kepada pelajar dan staf untuk mendapat akses kepada teknologi AI bertaraf industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Tencent turut menyatakan minat untuk membangunkan kerjasama jangka panjang bersama UTM, termasuk usaha membina saluran bakat dengan sasaran pengambilan graduan universiti secara berskala besar. Pelbagai inisiatif turut dikenal pasti dalam perbincangan tersebut, antaranya pelaksanaan program Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning – WBL), latihan industri, pensijilan profesional AI, serta penganjuran program berimpak tinggi seperti sesi Wacana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO Talk) dan program AI hackathon.
Sebagai langkah seterusnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk merangka Memorandum Perjanjian (MoA) yang akan memperincikan skop kerjasama, termasuk pelaksanaan sekurang-kurangnya tiga program utama dalam tahun 2026 yang melibatkan pembangunan bakat, pensijilan profesional dan inisiatif inovasi AI.
Kerjasama ini dilihat berpotensi memperkukuh lagi kedudukan UTM sebagai peneraju dalam bidang AI di Malaysia, serta menyokong agenda nasional dalam pembangunan ekonomi digital dan modal insan berkemahiran tinggi.