UniMaroon Half Marathon, bukti bahawa mampu serlahkan bakat warga UTM dan masyarakat setempat dalam acara larian

SDGSDG3SDG4SDG11SDG12SDG17

📝 Ringkasan

UniMaroon Half Marathon telah berjaya diadakan dengan jayanya oleh Kelab Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini menarik lebih 2,228 peserta, termasuk ahli jawatankuasa, mahasiswa UTM dan komuniti setempat. Acara larian 21 km, 10 km dan 5 km berlangsung dengan lancar dan memperkenalkan persekitaran kampus UTM kepada orang awam. Program ini bukan sahaja menguji kekuatan fizikal dan mental peserta, malah meningkatkan hubungan silaturahim antara mahasiswa UTM dan komuniti setempat.

JOHOR BAHRU, 24 Mei – UniMaroon Half Marathon telah berlangsung dengan jayanya anjuran oleh Kelab Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI). Program ini merupakan sebuah program sukan yang berskala besar yang bertujuan untuk menggalakkan budaya aktiviti gaya hidup sihat serta meningkatkan kecergasan fizikal. Selain itu, program ini merupakan program sukan berskala besar serta jumlah peserta yang memberangsangkan dengan penyertaan seramai 2,228 orang yang terdiri daripada ahli jawatankuasa program, mahasiswa UTM serta komuniti setempat.

Majlis perasmian ini turut dirasmikan oleh Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman, serta barisan Penasihat SEJATI iaitu Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim, Syafik Rahmat dan Mohd Iskandar Ishak.

Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman bersama Penasihat SEJATI, Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim dan ahli jawatankuasa UniMaroon Half Marathon

Seawal jam 3 pagi, Dataran UTM telah dibanjiri oleh peserta yang akan menyertai acara larian 21 km, 10 km dan 5 km. Aktiviti larian ini telah berlangsung di sekitar kawasan kampus UTM, secara tidak langsung dapat memperkenalkan persekitaran kampus UTM kepada orang awam yang turut serta dalam aktiviti larian ini kerana mereka berpeluang untuk menikmati keindahan pemandangan di kawasan kampus sambil mereka berlari. Tambahan pula, keadaan cuaca yang baik membolehkan para peserta dapat meneruskan larian dengan tenang sehingga ke garisan penamat.

Program larian ini bukan sahaja dapat menguji kekuatan fizikal dan mental para peserta malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain terutama mahasiswa UTM dan orang awam yang turut serta dalam program ini.

Para peserta acara 10 km menghampiri garisan penamat

Penglibatan aktif dalam menjayakan program berskala besar seperti  ini telah menunjukkan keupayaan mahasiswa UTM dalam menguruskan program berimpak tinggi.

Menurut pihak penganjur, pelaksanaan program ini bukanlah sesuatu yang mudah malah banyak cabaran dan pengorbanan yang telah dilalui sepanjang mengendalikan program ini. Secara tidak langsung, dapat menambahkan pengalaman dan mengasah kemahiran insaniah (softskills) ahli jawatankuasa dalam mengendalikan program berskala besar yang melibatkan ribuan peserta yang menyertai program ini.

Peserta Acara 5km sedang berlari sehingga ke garisan penamat

Program ini turut dimeriahkan dengan pembukaan reruai jualan barangan peralatan sukan oleh Decathlon, jualan minuman isotonik oleh F&N, dan juga jualan barangan cenderamata oleh pihak penganjur UniMaroon Half Marathon seperti jersi, topi, bingkai gambar, dan rantai kunci.

Selain itu, turut diadakan aktiviti cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM1,000, iaitu barangan berbentuk peralatan sukan dan lain-lain lagi yang ditaja oleh pihak Decathlon bagi memeriahkan lagi suasana program tersebut.

Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Balai Keselamatan UTM yang berperanan dalam memastikan kelancaran pengurusan lalu lintas serta keselamatan peserta sepanjang program berlangsung.

Penganjuran UniMaroon Half Marathon turut disokong oleh beberapa rakan strategik dan penaja, antaranya Decathlon, N8 Sports Nutrition, Vida, F&N, Lot 5 Barbershop dan Maroon Society yang menyumbang kepada kejayaan program ini.

Kegembiraan terpancar daripada salah sebuah keluarga yang menyertai acara larian ini

Penganjuran program UniMaroon Half Marathon ini bukan hanya sebuah acara sukan larian, malah menjadi simbol penyatuan yang mencerminkan penglibatan aktif warga UTM dan komuniti setempat bergiat aktif dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Penyertaan lebih 2,000 peserta menunjukkan sambutan yang menggalakkan terhadap penganjuran program berasaskan sukan ini.

Pihak penganjur menerima maklum balas positif menerusi platform media sosial yang disifatkan sebagai memberangsangkan dan penuh dengan kata-kata pujian dari segi pengurusan acara dan pengalaman larian yang menyeronokkan.

Program ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya hidup sihat yang mekar dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat. Segala pandangan dan cadangan yang diterima akan dijadikan penambahbaikan pada masa hadapan.

Barisan ahli jawatankuasa UniMaroon Half Marathon

Explore More

UTM Open Day