Staf UTM perkukuh jaringan global melalui Erasmus+ International Week di Huelva, Sepanyol

SDGSDG4SDG17

📝 Ringkasan

Program Erasmus+ International Week di Universidad de Huelva, Sepanyol telah dihadiri oleh Dr. Zulfikar Ahmad dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini telah menghimpunkan 80 peserta dari lebih 30 buah negara dan institusi pengajian tinggi. Antara objektif program ini ialah memupuk kerjasama global dan pembangunan profesional merentas pelbagai sektor akademik dan pentadbiran. UTM telah menggunakan peluang ini untuk memperluaskan jaringan mereka dan menonjolkan bidang kepakaran mereka. Program ini juga telah membuka ruang untuk menonjolkan bidang kepakaran UTM sebagai rujukan bagi kerjasama ilmiah.

HUELVA, 8 Mei – Program Erasmus+ International Week di Universidad de Huelva, Sepanyol telah dihadiri oleh Dr. Zulfikar Ahmad, Pegawai Psikologi Kanan dari Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling UTM. Penyertaan bagi edisi 2026 ini berjaya menghimpunkan seramai 80 peserta daripada lebih 30 buah negara dan institusi pengajian tinggi dari seluruh dunia.

Para peserta terdiri daripada pensyarah, pegawai perhubungan antarabangsa, pegawai perhubungan strategik dan korporat, pegawai hal ehwal pelajar serta pentadbir. Pada penganjuran kali ini, kumpulan peserta telah dibahagikan kepada dua kumpulan besar, iaitu Staf Mobiliti dan Pioneer European University Alliance.

Dr. Zulfikar Ahmad bersama Mr. Julio Cesar dan Mr. Pablo Archila Perez daripada Rafael Landivar University, Guatemala sempena program Erasmus+ International Week di Universidad de Huelva, Sepanyol

Peserta kumpulan Staf Mobiliti merangkumi wakil daripada Amerika Syarikat, Bhutan, Cameroon, Chile, Croatia, Cyprus, Chechnya, Ecuador, Equatorial Guinea, Finland, Perancis, Georgia, Jerman, Greece, Guatemala, India, Indonesia, Itali, Latvia, Lithuania, Maghribi, Palestin, Poland, Portugal, Romania, Serbia, Slovakia, Turkiye, Ukraine dan Uzbekistan.

Antara objektif program ini ialah memupuk kerjasama global dan pembangunan profesional merentas pelbagai sektor akademik dan pentadbiran, serta membuka ruang perkongsian jaringan maklumat berkaitan bidang kepakaran setiap institusi. Dengan peluang yang diberikan, terdapat peserta yang telah hadir beberapa kali ke program ini dan menggunakan kesempatan tersebut untuk memperluaskan jaringan mereka.

Dr. Zulfikar Ahmad bersama sebahagian peserta program semasa slot City Tour yang menghimpunkan wakil daripada lebih 30 buah negara dan institusi pengajian tinggi

Program lima hari ini dipenuhi dengan pelbagai pengisian bermakna. Sesi pengenalan diri dan institusi menjadi pembuka kepada keseluruhan program, dan dalam sesi tersebut, promosi berkaitan UTM selaku tuan rumah bagi persidangan APAIE 2027 turut dibentangkan bagi menarik minat rakan kerjasama antarabangsa dalam kalangan peserta yang hadir. Kelas bahasa Sepanyol turut disediakan bagi kumpulan bukan penutur dan kumpulan penutur untuk memudahkan integrasi dan komunikasi sepanjang program.

Sesi Perbincangan Bersasar pula memberi peluang kepada peserta untuk mengadakan perbincangan bersama jabatan-jabatan mengikut keperluan peranan, termasuk dengan Student Support Service Centre. Pengisian budaya turut diselitkan melalui kelas tarian Flamenco bagi mendedahkan peserta kepada tradisi seni tempatan Andalusia, selain lawatan budaya ke tapak warisan tempatan khususnya di Taman Negara Ir Rocio dan pantai Cuesta Maneli yang menonjolkan kepentingan semula jadi dan sejarah Huelva.

Program ini turut menampilkan Study Abroad Fair sebagai platform utama bagi mempromosikan mobiliti antarabangsa dan keterlihatan institusi, Pameran Pioneer European University Alliance yang meraikan kerjasama dan inovasi dalam perikatan tersebut, sesi makan tengah hari rangkaian untuk menggalakkan pertukaran amalan terbaik dan pembentukan jaringan kerjasama baharu, serta jamuan makan malam yang menampilkan pertunjukan tarian Flamenco secara langsung sebagai penutup program.

Sesi lawatan dan perbincangan di Fakulti Kemanusiaan, Universidad de Huelva, sebahagian daripada pengisian program Erasmus+ International Week 2026

Dari sudut impak program, UTM secara amnya mempunyai nama dan reputasi yang dikenali di peringkat global. Hal ini dapat dilihat melalui reaksi positif peserta semasa sesi pembentangan. Walaupun UTM menjadi peserta kedua terakhir dengan masa pembentangan yang singkat, rata-rata respons positif daripada peserta memberikan gambaran bahawa mereka mengenali UTM, lebih-lebih lagi apabila kedudukan ranking dunia UTM berada lebih tinggi daripada institusi mereka. Melalui program ini juga, UTM berpeluang merancang potensi jaringan kerjasama pada masa hadapan bersama sebahagian negara di Asia, Amerika Latin, Balkan, Skandinavia dan Eropah.

Dr. Zulfikar Ahmad menyampaikan pembentangan pengenalan UTM kepada para peserta, termasuk promosi berkaitan penganjuran persidangan APAIE 2027 di UTM

Sesi perbincangan bersama Student Support Service Centre memberi ruang untuk berkongsi urusan pentadbiran dan pengurusan amalan terbaik antara Universidad de Huelva bersama para peserta. Antara perkara yang dibincangkan ialah hala tuju kerjaya pelajar selepas pengajian, kebajikan, kemudahan fasiliti dan program-program pembangunan pelajar.

Hasil daripada perbincangan dan perkongsian bersama peserta lain, UTM dilihat berpotensi menonjolkan bidang kepakaran terutama dalam sains gunaan, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrik, kelestarian alam, kecerdasan buatan dan pengurusan. Sebagai timbal balik, UTM juga berpotensi menghantar pelajar melalui program pertukaran atau mobiliti pelajar pada masa hadapan ke negara-negara peserta.

Bagi tujuan tersebut, slot Study Abroad Fair dilihat sebagai platform yang sesuai untuk mempromosikan program mobiliti pelajar dan destinasi pengajian antarabangsa dalam kalangan negara-negara peserta. Slot ini juga membuka ruang untuk menonjolkan bidang kepakaran sebagai rujukan bagi kerjasama ilmiah buat para akademik dalam mengembangkan kajian mereka.

Dr. Zulfikar Ahmad bergambar kenangan bersama Mr. Mahardika Agung Madepo dari Universitas Muhammadiyah Pontianak, Indonesia, dan Mr. Tshewang Rinzin dari Royal Thimphu College, Bhutan, menandakan tamatnya program Erasmus+ International Week 2026

Selaku tuan rumah bagi APAIE 2027, penyertaan Dr. Zulfikar Ahmad dalam program ini diharapkan dapat menarik lebih banyak penyertaan daripada negara-negara peserta. Matlamat ini selari dengan usaha meningkatkan promosi serta tahap keterlihatan UTM di peringkat global terutama dalam bidang kepakaran, jaringan kolaborasi, pengenalan kepada amalan terbaik dan pengantarabangsaan, seterusnya menyokong strategi UTM ASCEND 2030.

Explore More

UTM Open Day